#116 Antara Qadha Solat dan Solat Sunat
Soalan
Assalamualaikum ustaz. Saya tidak pernah solat sejak umur baligh hingga umur 22 tahun. Setakat kefahaman saya, saya perlu mengganti kesemua solat yang ditinggalkan tersebut dengan segera. Saya ingin bertanya, bolehkah dalam masa melakukan solat ganti itu, saya melakukan solat sunat? Atau ada sesetengah solat sunat sahaja yang boleh dilakukan? Mohon pencerahan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Firman Allah SWT:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
Maksudnya: Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; (2) Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;
(Surah al-Mukminun: 1-2)
Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat di atas berkata: ‘Ali bin Abi Talhah menceritakan daripada Ibn Abbas R.anhuma: ” خَاشِعُونَ” (orang-orang yang khusyuk) iaitu orang-orang yang takut lagi penuh ketenangan. Daripada Ali bin Abi Talib R.A: Yang dimaksudkan dengan khusyu’ di sini ialah kekhusyukan hati. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/110)
Pertama sekali ingin kami ucapkan tahniah atas keprihatinan dan kesedaran saudara tentang kepentingan solat, di waktu ramai orang pada zaman ini yang mengabaikan solat fardhu mereka. Islam amat menitik beratkan soal solat. Daripada Abdullah bin Buraidah, daripada ayahnya R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
العَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلَاةُ، فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ
Maksudnya: “Batasan antara kita (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah solat, maka barangsiapa yang meninggalkan solat maka dia telah kafir.”
Riwayat al-Tirmizi (2621), al-Nasa’ie (463), Ibn Majah (1079) dan Ahmad (22987)
Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلاَمُ ، وَعَمُودُهُ الصَّلاَةُ
Maksudnya: “Pokok segala urusan adalah Islam, dan tiangnya adalah solat.”
Riwayat al-Tirmizi (2616). Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih.
Dikatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَرَكَ الصَّلَاةَ فَلَا دِينَ لَهُ، وَالصَّلَاةُ عِمَادُ الدِّينِ
Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan solat maka tiadalah agama baginya dan solat itu merupakan tiang agama.”
Riwayat al-Baihaqi (2550) dalam Syu’ab al-Iman. [3]
Solat merupakan ibadah agung dalam agama Islam. Justeru, Islam amat menitikberatkan perihal solat fardhu walau di mana berada dan keadaannya. Kewajipannya mesti ditunaikan dalam apa jua keadaan apabila mencukupi syarat wajib.
Syarak juga mengkehendaki kita agar mengajar anak-anak bersolat sewaktu umur kanak-kanak. Rasulullah SAW bersabda:
مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا، وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ
Maksudnya: “Suruhlah anak-anak kamu menunaikan solat pada umur mereka 7 tahun, dan pukullah mereka (jika mereka enggan bersolat) pada umur mereka 10 tahun.”
Riwayat Abu Daud (495)
Jika kita pernah terlalai daripada menunaikan solat fardu, maka hendaklah kita menggantikan solat-solat fardu itu semampu kita kerana itu dikira hutang yang wajib kita langsaikan. Sabda Rasulullah:
فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
Maksudnya: “Maka adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.”
Riwayat al-Bukhari (1953) dan Muslim (1148)
Dalam isu di atas, kami berpandangan bahawa menyegerakan qadha’ solat fardhu itu adalah keutamaan bagi saudara dalam hal ibadat namun dibenarkan bagi saudara melakukan solat sunat yang bersebab contohnya solat Dhuha dan Tahiyyatul Masjid. Juga digalakkan agar saudara memperbanyakkan bersedekah, beristighfar, zikrullah dan berbudi kepada manusia. Semoga Allah mengampuni dan merahmati kita semua.
Marilah sama-sama kita berdoa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 13/11/2021 bersamaan 8 Rabiul Akhir 1443H
[1] Imam al-Suyuthi menilai hadith ini sebagai dhaif. (Lihat al-Jami’ al-Saghir, 2/64). Imam al-Sakhawi menyatakan bahawa hadith ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi dengan sanad yang dhaif. (Lihat al-Mughni, 1/174) Imam al-Sakhawi menilai sanad hadith ini adalah dhaif. Beliau juga menukilkan bahawa: Imam Ibn Solah mengatakan hadith ini tidak diketahui di dalam Musykil al-Wasith dan Imam al-Nawawi menghukum hadith ini sebagai munkar dan bathil. (Lihat al-Maqasid al-Hasanah, hlm. 427)