Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana keadaan solat golongan lelaki, di mana kedudukan saf mereka adalah bersebelahan dengan saf orang perempuan? Tetapi terdapat tirai yang menjadi penghadang antara kedua saf tersebut.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kadang-kadang persoalan seperti di atas banyak berlaku ketika berada di Mekah al-Mukarramah khususnya pada musim haji, ketikamana puncak kedatangan jemaah haji. Ketika itu, boleh jadi berlaku seperti persoalan yang ditanya, terutamanya di tempat-tempat yang begitu padat jemaahnya.

Para fuqaha membahagikan isu solat orang lelaki bersebelahan dengan orang perempuan ini kepada beberapa keadaan seperti berikut:

Keadaan Pertama: Solat orang lelaki bersebelahan dengan orang perempuan dengan imam yang sama.

Dalam kes ini, para fuqaha berpendapat bahawa solat tersebut adalah sah bagi kedua-dua lelaki dan perempuan namun hukumnya adalah makruh. Ini kerana, yang sunnahnya adalah orang perempuan solat di belakang orang lelaki. Manakala bagi Imam Abu Hanifah, kedudukan tersebut menyebabkan solat orang lelaki itu terbatal sekiranya tidak ada penghadang di antara keduanya. Namun, sekiranya terdapat pembatas, maka Imam Abu Hanifah berpendapat selari dengan jumhur fuqaha yang menyatakan ianya tidak merosakkan solat.

Keadaan Kedua: Solat orang lelaki bersebelahan dengan orang perempuan namun solat secara berasingan.

Ini bermaksud, solat yang dilakukan ini dilakukan secara sendiri-sendiri tanpa mengikut imam. Akan tetapi, ia berlaku secara bersebelahan di antara lelaki dan perempuan. Sebagai contoh, dalam satu ruangan yang mana seorang lelaki dan perempuan yang selesai berjamaah, kemudian keduanya berdiri menunaikan solat sunat secara bersendirian namun dilakukan bersebelahan. Adakah batal solat salah seorang dari keduanya. Berikut kami kongsikan beberapa pendapat fuqaha berkenaan isu ini:

Imam al-Nawawi berkata: Apabila seorang lelaki mengerjakan solat dan di sebelahnya terdapat seorang perempuan, maka tidak batal solatnya dan solat perempuan tersebut. Sama ada dia seorang imam ataupun makmum. Inilah mazhab kita (Al-Syafi’eyyah) dan inilah juga pendapat Imam Malik dan kebanyakan ulama. Dan Imam Abu Hanifah berkata: Sekiranya perempuan tersebut bukan dalam keadaan sedang bersolat, atau dia di dalam solat yang tidak bercampur (solat bersendirian) dengan solat lelaki tersebut, maka sah solat lelaki itu dan sah juga solat wanita tersebut. Sekiranya wanita itu menyertai solat lelaki tersebut (solat bersama), dan dia berdiri di sebelah lelaki, maka batallah solat orang yang berada di sebelah perempuan tersebut. Namun solat perempuan itu tidak batal dan begitu juga solat orang yang berikutnya kerana di antara keduanya terdapat penghadang.[1]

Imam al-Nawawi juga berhujah dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidatina A’isyah R.Anha beliau berkata:

وَاللَّهِ لَقَدْ رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يُصَلِّي، وَإِنِّي عَلَى السَّرِيرِ ـ بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْقِبْلَةِ ـ مُضْطَجِعَةً

Maksudnya: “Demi Allah sesungguhnya aku telah melihat Nabi S.A.W sedang menunaikan solat, dan aku berada di atas katil – di antara baginda dan kiblat – dalam keadaan aku berbaring.”[2]

Imam al-Nawawi berkata: Sekiranya solat tidak terbatal dalam keadaan A’isyah tidak melakukan ibadah maka sekiranya dia sedang beribadah maka itu adalah lebih utama (tidak batal).[3]

Kenyataan Imam Al-Nawawi ini menjelaskan perbezaan pendapat berkenaan isu orang perempuan berada di hadapan orang lelaki semasa solat. Di dalam kes ini, A’isyah yang sedang berbaring berada di hadapan Nabi SAW yang sedang solat. Justeru, ini menunjukkan bahawa solat Nabi SAW tidak terbatal dengan keberadaan A’isyah di hadapan baginda. Maka, demikianlah juga seorang lelaki yang sedang solat dan di sebelahnya juga terdapat seorang perempuan yang sedang bersolat. Qiyas digunakan bahawa sekiranya perempuan yang tidak melakukan ibadah tidak membatalkan solat orang lelaki, adalah lebih utama jika dia sedang solat maka turut tidak membatalkan solat orang lelaki.

Kesimpulan

Berdasarkan beberapa hujah dan pandangan para fuqaha di atas, kami cenderung kepada pendapat jumhur ulama yang mengatakan bahawa solat seorang lelaki bersebelahan dengan orang perempuan dengan terdapatnya tirai penghadang adalah tidak membatalkan solat. Bahkan Imam Abu Hanifah juga bersetuju dengan pandangan ini. Lebih-lebih lagi melihat kepada keadaan surau yang sempit dengan kehadiran jemaah yang begitu ramai hadir untuk menunaikan solat tarawih pada bulan Ramadan. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang jelas dalam beragama.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 13/11/2021 bersamaan 8 Rabiul Akhir 1443H

[1] Lihat al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 3/231

[2] Riwayat al-Bukhari (514)

[3] Lihat al-Majmu’, 3/252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *