#1170: Aku Puasa Esok Hari

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ke tidak ketika niat puasa saya menyebut aku puasa esok hari. Adakah memadai?

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Pertamanya, suka saya nyatakan sebuah hadith Nabi SAW:

Daripada Umar bin al-Khattab RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang akan mengikut apa yang diniatkan.” 

Riwayat Muslim (1907)

Antara istifadah daripada hadis ini ialah:

Pertama: Ulama telah bersepakat mengatakan bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh mukmin yang mukallaf tidak dikira daripada sudut syara’ dan tidak diberi pahala dengan hanya melakukannya kecuali disertai dengan niat. Hal ini juga sepakati  oleh Ibn Hajar al-Asqalani yang berkata: “Amalan menepati syara’.”

Niat adalah salah satu daripada rukun di dalam ibadat langsung (العبادة المقصودة) seperti solat, haji dan puasa. Ibadat-ibadat tersebut tidak dikira sah kecuali apabila dilakukan dengan niat.

Manakala ibadat yang tidak langsung yang hanya menjadi wasilah seperti wudhu’ dan mandi, maka ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa niat adalah syarat sempurna sahaja bagi menghasilkan pahala. Manakala ulama mazhab Syafie dan lain-lain menyatakan bahawa niat juga merupakan syarat sah. Oleh itu, ibadat-ibadat tidak langsung tidak sah kecuali dengan niat.

Kedua: Maksud niat di sini seperti kata Syeikh al-Sa’di adalah melakukan amalan dengan sengaja untuk mendekatkan diri kepada Allah, meraih redha dan pahala daripada-Nya. Kenyataan Baginda SAW “Sesungguhnya setiap amalan bergantung dengan niat” memberi maksud amalan yang berkenaan dengan ketaatan bukan amalan yang bersifat harus apatah lagi yang makruh dan haram.

Ketiga: Imam al-Ghazali berkata: “Niat yang lurus dan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah Rabb al-Alamin lebih tinggi martabat dan kedudukannya daripada pekerjaan yang semata-mata hanya berdasarkan pada niat untuk memperoleh keduniaan. Niat lurus dan hati ikhlas itulah yang membuat amal seseorang diterima oleh Allah SWT. Sedangkan niat buruk lambat laun nescaya akan menghilangkan rasa taat kepada Allah dan akhirnya akan mengubah menjadi kesukaan membuat maksiat. Daripada perbuatan maksiat, orang tidak akan memperolehi apapun selain kekecewaan dan kerugian. Justeru, keikhlasan merupakan kemuncak dalam penerimaan amalan walau apa jua sekalipun bidang yang diceburi kerana ia akan menentukan dan menjadi neraca sama ada diterima atau tidak di sisi Allah.” (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 8)

Menjawab persoalan di atas hukumnya tidak memadai niat puasa Ramadhan dengan hanya berniat “Aku puasa esok hari” sahaja. Dia perlu menyebut fardhu kerana ia adalah ibadat yang disandarkan kepada waktu. Walaupun begitu, mengikut pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi’i ialah tidak wajib disertakan niat perkataan “fardhu” kerana puasa Ramadhan itu sendiri daripada mukallaf yang semestinya fardhu. (Lihat I’anah al-Talibin, 2/253 dan Mughni al-Muhtaj, 1/523)

Walaupun begitu, nasihat saya, sempurnakanlah niat adalah lebih baik, kerana ia lebih yakin dankeluar daripada khilaf. Semoga Allah SWT terima ibadat puasa kita.

Bertarikh: 30 Mac 2023 bersamaan 8 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *