#1222: Digandakan Pahala Di Bulan Ramadhan

Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri, benarkah berbuat baik di bulan Ramadhan digandakan pahala dan begitu juga, berbuat jahat digandakan dosa?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Umum mengetahui, nas menunjukkan yang berbuat baik akan digandakan sepuluh dan tidaklah kejahatan dibalas dengan satu kejahatan. Hal berdasarkan nas:

مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا ۖ وَمَن جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَىٰ إِلَّا مِثْلَهَا وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ ‎

Maksudnya: “Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).”

(Surah al-An’am: 160)

Ibn Kathir berkata: “Allah mengkhabarkan bahawa Dia memberi pahala bagi setiap orang yang mengerjakan amal kebaikan dengan sepuluh kali ganda untuk satu amal kebaikan. Adapun sesiapa yang melakukan kejahatan, maka dia hanya akan dibalas sesuai dengan amal kejahatannya itu. Allah tidak akan pernah menzalimi sesiapa pun. Seperti mengurangkan kebaikan seseorang atau menambahkan kejahatan seseorang.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/192)

Akan tetapi, dalam bulan Ramadhan, sebagaimana kita ketahui ia digandakan pahala, maka ulama’ juga menyatakan, ia digandakan dosa. Dengan sebab itu ulama membuat beberapa kenyataan dan pendapat, antaranya:

Tempat-tempat yang mulia, apabila dilakukan taat, ditambah ganjaran pahalanya. Begitu juga jika dilakukan maksiat dikenakan hukuman yang amat pedih. Benarlah firman Allah SWT:

‏ وَمَن يُرِدْ فِيهِ بِإِلْحَادٍ بِظُلْمٍ نُّذِقْهُ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang perbuatan yang di larang dengan cara yang zalim, Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.”

(Surah al-Hajj: 25)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menukilkan bahawa Mujahid berkata: Lafaz ‘بِظُلْمٍ’ bermaksud melakukan suatu kejahatan. Ibn Abi Hatim menyatakan bahawa ini termasuk salah satu keistimewaan tanah Haram, iaitu sesiapa yang ingin melakukan kejahatan di dalamnya, dia telah mendapat hukuman sekalipun belum terlaksana.

Kata Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili lagi: Kesimpulannya, bahawa ayat ini bersifat umum mencakupi segala bentuk kemaksiatan. Tanah Haram Makkah memiliki satu keistimewaan yang membezakannya daripada tanah-tanah yang lain, iaitu orang yang memiliki niat ingin melakukan suatu kejahatan di tanah haram Makkah, meskipun tidak jadi dilakukan, dia tetap mendapat hukuman. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 9/189)

Sama juga dengan masa seperti bulan Ramadhan. Tiba-tiba seseorang itu melakukan maksiat, Maka menceroboh kemuliaan bulan Ramadhan seperti contohnya tidak berpuasa secara sengaja tanpa sebarang uzur syar’i, maka Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَفْطَرَ يَوماً مِنْ رَمَضَانَ في غَيْرِ رُخْصَةٍ رَخَّصَهَا الله لَهُ ، لمَ ْيَقْضٍ عَنْهُ صِيَامُ الدَّهْرِ كُلُّهُ وَإِنْ صَامَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang berbuka puasa sehari daripada Ramadan tanpa sebarang rukhsah yang diizinkan Allah, nescaya tidak memadai sekalipun dia qadha’ puasa tersebut walaupun selama-lamanya.”

Riwayat Abu Daud (2396), al-Tirmizi (723), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (3281), Ibn Majah (1672) dan Ahmad (9908). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut mennyatakan isnadnya dha’if dalam takhrij al-Musnad.

Justeru, hendaklah berawasan dan memelihara pada waktu yang mulia seperti bulan yang mulia dan tempat-tempat yang mulia, dari melakukan dosa.

Semoga Allah SWT sentiasa menjadikan kita orang yang bertaubat, beristighfar dari sebarang kesilapan yang kita lakukan. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

(Surah al-Baqarah: 286)

Bertarikh: 5 April 2023 bersamaan 14 Ramadhan 1444H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *