#1223: Doa Rasulullah SAW Sejahtera Ramadhan

Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri, saya selalu mendengar orang menyebut, ya Allah selamatlah aku untuk Ramadhan, dan selamatlah Ramadhan untukku? Sebenarnya ini doa Rasulullah SAW atau siapa?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dalam menjawab persoalan ini, kami nyatakan terlebih dahulu doa tersebut, iaitu:

اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا

Maksudnya: “Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadhan, sejahterakanlah Ramadhan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu).”

Doa ini diriwayatkan oleh sejumlah dari kalangan salafus soleh, di mana mereka berdoa dengan doa seperti ini. Antaranya seperti yang diriwayatkan oleh al-Tabarani dengan isnadnya yang zahirnya hasan, daripada Makhul, di mana beliau berdoa apabila memasuki bulan Ramadhan:

اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا

Maksudnya: “Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadhan, sejahterakanlah Ramadhan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu).”

Riwayat al-Tabarani di dalam al-Du’a (913) dan Abu Nu’aim al-Asbahani dalam Hilyah al-Auliya’ (3/69)

Hadith ini memberi maksud ‘اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ’ (“Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadhan,”) iaitu agar kita selamat daripada penyakit, kemudaratan, bencana dan musibah yang menyebabkan kita tidak mampu untuk beribadat dengan sebaik mungkin dan sepenuhnya di bulan Ramadhan.

Sedangkan ‘وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي’ (“sejahterakanlah Ramadhan bagiku,”) iaitu seseorang sekalipun sihat dan mampu melakukan ibadat dengan sebaik mungkin, tetapi tempat yang dihuni ketika berada di bulan Ramadhan dalam keadaan peperangan atau wabak penyakit atau gempa bumi yang menyebabkan mereka tidak mampu untuk melakukan ibadat kerana musibah tersebut. Justeru, kedua-duanya kita mohon selamat dan sejahtera agar kita dapat beribadat dengan sebaik mungkin.

Maka ramailah ulama’ berdoa apabila masuknya Ramadhan al-Mubarak atau hampir menjelmanya Ramadhan, agar diberi kesihatan yang baik, dan diselamatkannya sehingga mampu melaksanakan ibadat puasa dan ibadat-ibadat yang lain dengan sebaik mungkin.

Semoga kita juga berjaya dalam melaksanakan ibadat di bulan Ramadhan yang mulia ini. Amin.

Bertarikh: 5 April 2023 bersamaan 14 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *