#1283: Melihat Aurat Sendiri

Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri, apa hukum seseorang bertelanjang dan melihat auratnya sendiri?

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah yang menyebut:

كَمَا يَجِبُ سَتْرُ الْعَوْرَةِ عَنْ أَعْيُنِ النَّاسِ يَجِبُ كَذَلِكَ سَتْرُهَا وَلَوْ كَانَ الإنْسَانُ فِي خَلْوَةٍ، أَيْ فِي مَكَانٍ خَالٍ مِنَ النَّاسِ. وَالْقَوْل بِالْوُجُوبِ هُوَ مَذْهَبُ الْحَنَفِيَّةِ عَلَى الصَّحِيحِ، وَهُوَ مَذْهَبُ الشَّافِعِيَّةِ وَالْحَنَابِلَةِ، وَقَال الْمَالِكِيَّةُ: يُنْدَبُ سَتْرُ الْعَوْرَةِ فِي الْخَلْوَةِ.

“Sepertimana wajib untuk menutup aurat daripada pandangan manusia, maka wajib juga menutup aurat meskipun seseorang berada secara bersendirian, iaitu ketika dia berada di tempat yang sunyi (jauh) daripada pandangan manusia. Para ulama yang berpendapat dengan hukum wajib ini adalah ulama mazhab Hanafi mengikut pendapat yang sahih, ulama’ Syafi’iyyah dan Hanabilah. Manakala ulama mazhab Maliki menyebut: “Sunat hukumnya menutup aurat sendiri ketika bersunyian.”

وَالسَّتْرُ فِي الْخَلْوَةِ مَطْلُوبٌ حَيَاءً مِنَ اللَّهِ تَعَالَى وَمَلاَئِكَتِهِ، وَالْقَائِلُونَ بِالْوُجُوبِ قَالُوا: إِنَّمَا وَجَبَ لإِطْلاَقِ الأمْرِ بِالسَّتْرِ؛ وَلأِنَّ اللَّهَ تَعَالَى أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ، وَفِي حَدِيثِ بَهْزِ بْنِ حَكِيمٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَال: 

Menutup aurat ketika bersendirian adalah dituntut sebagai (menzahirkan) sikap malu kepada Allah SWT dan para malaikat-Nya. Mereka yang berpendapat dengan wajib menyatakan: “Sesungguhnya diwajibkan menutup aurat (walaupun ketika bersendirian) adalah berdasarkan kepada perintah untuk menutup yang bersifat mutlak, dan juga kerana Allah SWT itu lebih layak untuk seseorang malu terhadap-Nya, sepertimana disebut dalam hadis Bahz bin Hakim, daripada bapanya, daripada datuknya, katanya:

قُلْتُ: يَا رَسُول اللَّهِ، عَوْرَاتُنَا مَا نَأْتِي مِنْهَا وَمَا نَذَرُ؟ قَال: احْفَظْ عَوْرَتَكَ إِلاَّ مِنْ زَوْجَتِكَ أَوْ مِمَّا مَلَكَتْ يَمِينُكَ، فَقَال: الرَّجُل يَكُونُ مَعَ الرَّجُل؟ قَال: إِنِ اسْتَطَعْتَ أَنْ لاَ يَرَاهَا أَحَدٌ فَافْعَل، قُلْتُ: وَالرَّجُل يَكُونُ خَالِيًا؟ قَال: فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ.

Maksudnya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah. Aurat kami ini, siapa yang boleh lihat dan siapa yang perlu kami awasi?” Rasulullah SAW bersabda: “Peliharalah auratmu, melainkan daripada isterimu atau hamba sahayamu.” Dia bertanya lagi: “Jika lelaki ketika bersama dengan lelaki?” Baginda SAW menjawab: “Jika engkau mampu agar tidak dilihat aurat oleh seorang pun, maka hendaklah engkau lakukan.” Dia bertanya lagi: “Jika seorang lelaki itu bersendirian?” Baginda SAW bersabda: “Maka Allah lebih berhak untuk seseorang itu malu terhadap-Nya.” 

Riwayat Abu Daud (4017), al-Tirmizi (2769), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (8972), Ibn Majah (1920) dan Ahmad (20034). Imam al-Tirmizi berkata, Hadis ini hasan. Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya hasan dalam takhrij al-Musnad.

وَالسَّتْرُ فِي الْخَلْوَةِ مَطْلُوبٌ إِلاَّ لِحَاجَةٍ، كَاغْتِسَالٍ وَتَبَرُّدٍ وَنَحْوِهِ

Justeru, menutup aurat ketika bersendirian itu adalah dituntut melainkan jika terdapat hajat dan keperluan, seperti mandi, menyejukkan badan dan seumpamanya. 

(Lihat Hasyiyah Ibn ‘Abidin, 1/270; al-Fawakih al-Dawani, 2/407; Minah al-Jalil, 1/134; Mughni al-Muhtaj, 1/185 dan Kassyaf al-Qina’, 1/264. Seperti dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 24/176)

Terdapat sebuah hadis daripada Nabi SAW bahawa Nabi Musa AS mandi dalam keadaan tidak berpakaian di tempat yang jauh daripada orang ramai. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah  SAW bersabda:

كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ يَغْتَسِلُونَ عُرَاةً، يَنْظُرُ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ، وَكَانَ مُوسَى صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَغْتَسِلُ وَحْدَهُ، فَقَالُوا: وَاللهِ مَا يَمْنَعُ مُوسَى أَنْ يَغْتَسِلَ مَعَنَا إِلَّا أَنَّهُ آدَرُ، فَذَهَبَ مَرَّةً يَغْتَسِلُ، فَوَضَعَ ثَوْبَهُ عَلَى حَجَرٍ، فَفَرَّ الحَجَرُ بِثَوْبِهِ، فَخَرَجَ مُوسَى فِي إِثْرِهِ، يَقُولُ: ثَوْبِي يَا حَجَرُ، حَتَّى نَظَرَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ إِلَى مُوسَى، فَقَالُوا: وَالله مَا بِمُوسَى مِنْ بَأْسٍ، وَأَخَذَ ثَوْبَهُ، فَطَفِقَ بِالحَجَرِ ضَرْبًا».” فَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ: وَالله إِنَّهُ لَنَدَبٌ بِالحَجَرِ، سِتَّةٌ أَوْ سَبْعَةٌ، ضَرْبًا بِالحَجَرِ.

Maksudnya: “Orang-orang Bani Israil dahulu mandi bertelanjang, mereka melihat kepada satu sama lain dan Nabi Musa A.S mandi seorang diri.” Maka mereka berkata: “Demi Allah, tiada yang menegah Musa mandi bersama melainkan kerana burut zakarnya.” Pernah sekali Musa pergi untuk mandi lalu meletakkan pakaiannya di atas batu. Maka batu itu lari membawa pakaiannya. Musa terus keluar (dari tempat mandinya) mengejar batu itu sambil berkata: “Pakaianku wahai batu.” Sehingga orang-orang Bani Israil melihat kepada Musa. Pada ketika itu barulah mereka berkata: “Tidak ada apa-apa kekurangan pun pada Musa. Musa mengambil pakaiannya dan memukul batu itu.” Abu Hurairah berkata: “Demi Allah sesungguhnya ada enam atau tujuh kesan pukulan di atas batu itu.”

 Riwayat al-Bukhari (278) 

Ibn Battal menjelaskan: “Adapun mandian yang dilakukan oleh Bani Israil dalam keadaan telanjang dengan melihat antara satu sama lain, maka ia menunjukkan mereka menderhakai Musa pada perkara tersebut, tidak mengikut sunnahnya kerana Baginda mandi sekira-kira tiada orang yang melihat kepada Baginda, dan mencari kawasan yang tiada orang. Sedangkan, mereka wajib mengikuti Baginda dalam perbuatan tersebut. Walaupun perbuatan mereka mandi telanjang ketika berseorangan di bawah pengetahuan Musa dan dia memperakuinya, namun tidak wajib bagi kita mengikutinya kerana dalam Syariat kita, hendaklah menutup aurat daripada ditonjolkan aurat pada mata-mata manusia. Ia adalah fardhu ke atas kita. Manakala menutupnya (aurat) adalam keadaan berseorangan adalah baik, dan bukan wajib.” (Lihat Syarah Sahih al-Bukhari, 1/392)

Selain itu, terdapat hadis lain, yang menceritakan bahawa Nabi Ayub AS juga mandi tanpa seurat benang. Sabda Nabi SAW:

بَيْنَا أَيُّوبُ يَغْتَسِلُ عُرْيَانًا فَخَرَّ عَلَيْهِ جَرَادٌ مِنْ ذَهَبٍ، فَجَعَلَ أَيُّوبُ يَحْتَثِي فِي ثَوْبِهِ، فَنَادَاهُ رَبُّهُ يَا أَيُّوبُ، أَلَمْ أَكُنْ أَغْنَيْتُكَ عَمَّا تَرَى قَالَ بَلَى وَعِزَّتِكَ وَلَكِنْ لاَ غِنَى بِي عَنْ بَرَكَتِكَ ‏

Maksudnya: “Sewaktu Nabi Ayyub AS mandi dalam keadaan telanjang, tiba-tiba jatuhlah di depannya seekor belalang emas. Ayyub pun segera hendak mengambil kainnya, maka baginda pun dipanggil oleh Tuhannya, “Wahai Ayyub, bukankah engkau telah cukup kaya hingga tidak memerlukan lagi barang (belalang emas) yang kau lihat itu?” Ujar Ayyub, “Benar wahai Tuhanku, tetapi aku tidak boleh mengabaikan keberkatan-Mu.”

Riwayat al-Bukhari (279) 

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Imam al-Bukhari menggunakan hadis tentang kisah Nabi Musa dan Nabi Ayyub ini sebagai hujah bahawa dibolehkan mandi secara telanjang. Hal ini kerana, menurut Ibn Battal, bahawa Nabi Musa dan Nabi Ayyub adalah Nabi yang kita diperintahkan untuk mengikuti mereka. Tetapi kaedah pendalilan daripada hadis ini tepat jika kita berpegang kepada prinsip kaedah dalil syarak para Nabi terdahulu sebelum syariat kepada Nabi Muhammad dan berpegang ia adalah syarak bagi kita juga. 

Kemudian Ibn Hajar berkata bahawa bentuk pendalilan yang lebih jelas ialah dengan mengatakan Nabi SAW menceritakan kisah dua Nabi ini tanpa memberi sebarang komentar dari sudut mereka mandi telanjang. Ini bermakna syarak mereka dalam hal ini bersamaan dengan syarak kita. Oleh itu, hukum mandi telanjang adalah makruh, dan sebahagian Syafi’iyyah menguatkan pendapat haram. Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Yang masyhur adalah makruh jika bersendirian.” 

Ibn al-Muhallab berkata: “Pada hadith Musa dan Ayyub adalah dalil keharusan bertelanjang ketika bersendirian untuk tujuan mandi dan sebagainya, sekira-kira tenteram daripada mata-mata manusia, kerana Ayyub dan Musa adalah antara manusia yang diperintahkan kita agar mengikut petunjuk mereka.” (Lihat Syarah Sahih al-Bukhari oleh Ibn al-Batthal, 1/393) Dalil keharusan di atas adalah berdasarkan syarak umat sebelum kita. 

Imam al-Nawawi berkata: “Inilah mazhab kita (harus untuk mandi telanjang). Al-Qadhi ‘Iyadh menukilkan majoriti ulama’ tentang keharusan mandi dalam keadaan telanjang ketika berseorangan.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/197)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Kesimpulannya, hukum sesiapa yang mandi tanpa seurat benang (telanjang) – sekiranya dia berada di tempat yang tersembunyi dan tidak dilihat oleh sesiapa pun yang diharamkan daripada melihat auratnya – maka halal baginya untuk melakukannya. Namun, yang afdhal adalah menutup auratnya kerana malu terhadap Allah SWT.” (Dinukilkan dalam Mirqaat al-Mafatih, 2/368)

Berdasarkan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa hukum membuka aurat ketika bersendirian adalah harus, sekiranya terdapat keperluan seperti seseorang itu ingin qadha hajat, tabarrud (menghilangkan panas), berubat, menukar pakaian dan seumpamanya. Wallahu a’lam.

Bertarikh:13 April 2023 bersamaan 22 Ramadhan 1444H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *