#1284: Sifat Qana’ah

Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri, boleh jelaskan berkenaan maksud qana’ah dan kelebihannya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً

Maksudnya: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik.” 

(Surah al-Nahl: 97)

Ibn Kathir berkata: lni adalah janji Allah SWT, di mana seorang mukmin yang mengerjakan amal soleh akan diberikan kehidupan yang baik di dunia dan di akhirat. Supaya dia meraih janji ini, maka dia hendaklah menjadi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, mengerjakan amal soleh yang diperintahkan dan disyariatkan oleh Allah SWT, mengerjakannya dengan ikhlas kerana Allah, serta mengikuti Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya. 

Sesiapa yang tetap seperti itu, dia akan meraih apa yang dijanjikan oleh Allah, sama ada dia lelaki mahupun perempuan. Orang beriman yang soleh ini akan diberi kehidupan yang baik oleh Allah SWT. Kehidupan yang baik ini mencakupi seluruh bentuk ketenangan daripada segala aspek. 

  • lbn Abbas mentafsirkan kehidupan yang baik dengan rezeki yang baik dan halal. Dalam riwayat lain, dia mentafsirkannya dengan kebahagiaan. 
  • Ali bin Abi Talib mentafsirkannya dengan sikap qana’ah. 
  • Al-Hasan, Qatadah dan Mujahid berkata, “Kehidupan seseorang tidak baik sehinggalah dia berada di syurga.” 
  • Al-Dahhak berkata, “la adalah rezeki halal, ibadah, dan beramal dengan penuh ketaatan dan jiwa yang lapang.”

Pendapat yang benar, kehidupan yang baik meliputi seluruh pendapat di atas. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/601)

Al-Sabuni berkata: “Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik di dunia dengan sifat qana’ah dan rezeki yang halal, juga taufik untuk melaksanakan amalan yang soleh.” (Lihat Sofwah al-Tafasir, 2/15)

Justeru, maksud dengan hayah tayyibah (حَيَاة طَيِّبَة) ialah kesempurnaan, kebahagiaan, kesenangan, sifat qana’ah dan cukup daripada bergantung kepada yang lain sebaliknya sentiasa mengharapkan kepada Allah SWT. Begitu juga jauh daripada kesempitan jiwa dan keletihan. 

Abdullah al-Tustari berkata: “Kehidupan yang baik di mana seorang hamba dicabut daripada terbelenggu dengan urusannya sendiri tetapi kembali kepada Allah Rabb al-‘Alamin.”

Daripada Jabir bin Abdillah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

القَنَاعَةُ كَــنْـزٌ لَا يَفْنَى

Maksudnya: “Qana’ah ibarat harta simpanan yang tidak akan binasa.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Zuhd al-Kabir (104), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (6922) dan Ibn Syahin dalam al-Targhib fi Fadha’il al-A’mal (306). Dinilai sebagai dha’if jiddan dalam Dha’if al-Targhib (500).

Seseorang yang bersifat qana’ah, maka dia akan menjadi orang yang paling bersyukur. Abu Hurairah R.A menyampaikan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُنْ وَرِعًا تَكُنْ أَعْبَدَ النَّاسِ، وَكُنْ قَنِعًا تَكُنْ أَشْكَرَ النَّاسِ، وَأَحِبَّ لِلنَّاسِ مَا تُحِبُّ لِنَفْسِكَ تَكُنْ مُؤْمِنًا، وَأَحْسِنْ جِوَارَ مَنْ جَاوَرَكَ تَكُنْ مُسْلِمًا، وَأَقِلَّ الضَّحِكَ، فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحِكِ تُمِيتُ الْقَلْبَ.

Maksudnya: “Jadilah orang yang wara’, maka engkau akan menjadi orang yang paling ahli beribadah. Jadilah orang yang qana’ah, maka engkau akan menjadi orang yang paling ahli bersyukur. Cintailah orang lain sebagaimana engkau mencintai diri sendiri, maka engkau akan menjadi orang mukmin yang baik. Berbuat baiklah kepada jiran tetanggamu, maka engkau akan menjadi orang Islam yang baik. Sedikitkan ketawa, kerana banyak ketawa akan mematikan hati.”

Riwayat al-Tirmizi (2305), Ahmad (8095), Ibn Majah (4217), al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (385). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Jami’ (4580)

Dengan berqana’ah juga akan memuliakan seseorang. Imam al-Syafi’i Rahimahullah berkata:

الْعَبْدُ حُرٌّ إِنْ قَنِعَ وَالْحُرُّ عَبْدٌ إِنْ طَمَعْ

فَاقْنَعْ وَلَا تَطْمَعْ فَمَا شَيْءٌ يَشِينُ سِوَى الطَّمَعْ

Hamba itu merdeka selama mana dia bersifat qana’ah

Sebaliknya, orang merdeka menjadi hamba selama mana tamak

Maka berqana’ahlah dan jangan kamu tamak

Tidak ada sesuatu yang hina kecuali tamak.”

(Lihat Diwan al-Imam al-Syafi’i, hlm. 57)

Qana’ah tidak akan duduk pada hati semua orang khususnya ada yang bersifat tamak, melainkan pada hati orang beriman. Kata Bisyr al-Hafi:

القَنَاعَةُ مَلِكٌ لَا يَسْكُنُ إِلَّا فِي قَلْبٍ مُؤْمِنٍ.

Maksudnya: “Qana’ah ibarat raja yang tidak mahu duduk bertempat tinggal kecuali di hati orang beriman.”

Qana’ah juga disebut sebagai permulaan kepada sikap zuhud. Abu Sulaiman al-Darani berkata:

القَنَاعَةُ مِنَ الرِّضَا بِمَنْزِلَةِ الوَرَع مِنَ الزُّهْدِ، هَذَا أَوَّلُ الرِّضَا وَهَذَا أَوَّلُ الزُّهْدِ

Maksudnya: “Qana’ah daripada redha kedudukannya sama dengan wara’ daripada zuhud. Qana’ah adalah permulaan redha, manakala wara’ adalah permulaan zuhud.”

Orang yang bersifat qana’ah dalam mengatur urusan dunianya disifatkan sebagai orang yang berakal sihat. Abu Bakar al-Maraghi berkata:

العَاقِلُ مَنْ دَبَّرَ أَمْرَ الدُّنْيَا بِالْقَنَاعَةِ وَالتَّسْوِيْفِ، وَأَمْرَ الْآخِرَةِ بِالْحِرْصِ وَالتَّعْدِيْلِ، وَأَمْرَ الدِّيْنِ بِالْعِلْمِ وَالاجْتِهَادِ.

Maksudnya: “Orang yang berakal sihat adalah orang yang mengatur urusan dunia dengan sikap qana’ah dan memperlambat diri (kerana sentiasa mengambil pertimbangan akhirat), dan dia mengatur urusan akhirat dengan sikap loba dan mempercepat, serta mengatur urusan agama dengan ilmu dan ijtihad.”

Sebahagian ulama’ ditanya, “Siapakah orang yang paling qana’ah?” Kemudian dijawab:

أَكْثَرُهُمْ لِلنَّاسِ مَعُوْنَةً وَأَقَلُّهُمْ عَلَيْهِم مُؤْنَة

Maksudnya: “Orang yang selalu memberi pertolongan, meskipun kekayaannya sedikit.” (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyah, 1/295)

Abu Abdillah bin Khafif berkata:

الْقَنَاعَةُ تَرْكُ التَّشَوُّفِ إِلَى الْمَفْقُودِ، وَالِاسْتِغْنَاءُ بِالْمَوْجُودِ.

Maksudnya: “Qana’ah adalah meninggalkan tamak terhadap sesuatu yang tidak ada dan menganggap cukup dengan sesuatu yang ada.”

Muhammad bin ‘Ali al-Turmuzi berkata:

القَنَاعَةُ رِضَا النَّفْسِ بِمَا قُسِمَ لَهَا مِنَ الرِّزْقِ

Maksudnya: “Qana’ah adalah jiwa yang redha terhadap pembahagian rezeki yang telah ditentukan.”

Wahab berkata:

إِنَّ الْعِزَّ وَالْغِنَى خَرَجَا يَجُولَانِ يَطْلُبَانِ رَفِيْقًا، فَلَقِيَا القَنَاعَةَ فَاسْتَقَرَّا

Maksudnya: “Kemuliaan dan kekayaan akan keluar mengelilingi untuk mencari teman. Apabila mereka menemui qana’ah, maka mereka akan menetap.” (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyah, 1/295)

Muhammad al-Kattani berkata:

مَنْ بَاعَ الْحِرْصَ بِالْقَنَاعَةِ، ظَفِرَ بِالْعِزِّ وَالْمُرُوءَةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menjual loba dengan qana’ah, maka dia akan memperoleh kemuliaan dan harga diri.” (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyah, 1/296)

Semoga kita dapat hiasi diri dengan sifat qana’ah dalam mengharungi bahtera kehidupan dan sentiasa bersyukur dengan rahmat dan kurniaan daripada Allah SWT.

Bertarikh:13 April 2023 bersamaan 22 Ramadhan 1444H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *