#1474: Islam dan ‘Kecerdasan Buatan’

 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah pandangan Islam terhadap penghasilan ‘Kecerdasan Buatan’?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

(Surah al-Taubah: 105)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Setiap manusia akan mendapat balasan atas perbuatannya. Jika perbuatan itu baik, balasannya juga baik. Jika perbuatan itu buruk, balasannya juga buruk. Amalan perbuatan itu dilihat dan disaksikan Allah, rasul-Nya dan orang-orang beriman.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/53)

Isu Artificial Intelligence (AI) telah kami bincangkan dengan panjang lebar dalam siri terbaharu al-Mawaqif yang disiarkan pada 11 Mei 2023. AI merupakan singkatan kepada Artificial Intelligence atau dalam Bahasa Melayu dipanggil kecerdasan/kepintaran buatan. Ia merupakan kecerdasan yang dimiliki dan ditunjukkan suatu sistem pengaturcara yang mampu melakukan tugas dan fungsi mirip pemikiran manusia. AI telah difahami sebagai satu bidang ilmu komputer di pertengahan tahun 1950-an. 

Istilah AI telah diterapkan dalam program dan sistem komputer yang mampu melakukan tugas-tugas yang lebih kompleks daripada program komputer biasa, walaupun masih jauh dapat menandingi pemikiran manusia. Walaupun masih jauh daripada kepintaran manusia, kemampuan AI kini digunakan secara meluas di bidang-bidang seperti pemprosesan maklumat, permainan komputer, keselamatan negara, perdagangan elektronik, dan sistem diagnostik.

Kami katakan berdasarkan kefahaman yang terhad ini, bahawa AI adalah penggunaan teknologi tinggi dalam urusan kehidupan dan kehendak manusia ke arah yang lebih mudah, pantas, berkesan dan tidak terhad penghasilannya.

Menjangkakan Sesuatu yang Belum Berlaku atau Mungkin Berlaku

Sebagaimana teknologi lain, AI mempunyai sisi baik dan buruk. Kedua-duanya hendaklah dinilai berdasarkan neraca maqasid syariah, iaitu makna dan tujuan yang dikehendaki syarak dalam mensyariatkan sesuatu hukum bagi menjamin kemaslahatan umat manusia.

Ulama zaman dahulu tidak memberi jawapan yang khusus berkenaan dengan AI kerana ia baru muncul pada zaman mutakhir. Dari segi fiqh tawaqqu‘, ia dikira baharu berlaku. Justeru secara umumnya, hukum asal sesuatu perkara adalah diharuskan sehinggalah terdapatnya dalil yang melarang atau mengharamkannya. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebutkan, “Aku tidak mengetahui terdapatnya perselisihan daripada mana-mana ulama salaf (terdahulu) bahawa apa-apa perkara yang tidak ada dalil yang menunjukkan kepada pengharamannya, maka ia adalah mutlak tidak dilarang. Sesungguhnya terdapat banyak nas mengenai perkara tersebut daripada mereka yang membicarakan berkenaan usul al-fiqh dan cabang-cabangnya. Aku merasakan sebahagian daripada mereka menyebutkan bahawa dalam hal itu telah mencapai ijma‘ yang diyakini atau sangkaan (yang kuat) seperti mana tahap yakin. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 21/538).

Di bawah payung fiqh tawaqqu’, terdapat beberapa contoh ijtihad fiqh iftiradhi yang mungkin agak pelik pada zaman silam, pada namun pada zaman kini ia terbukti berlaku. Contohnya Ibn Abidin pernah menyebut bahawa jika seseorang itu solat dalam keadaan menanggung bersamanya bekas yang mengandungi air kencing, maka solatnya tidak sah (Ibn Abidin, 1966 1:403). Hal tersebut kedengaran janggal pada zaman tersebut, namun pada zaman ini ia terbukti relevan bagi kes-kes pesakit yang memakai colostomy bag atau continous bladder drainage. Maka, hukumnya sudah pasti perlu dinilai semula.

Begitu juga dengan nukilan daripada Imam al-Syatibi yang menyatakan bahawa mereka yang menuju ke Mekah untuk menunaikan haji secara ‘terbang di langit’ atau ‘berjalan di atas air’ tidak dianggap sebagai perbuatan bidaah, kerana ia hanya merupakan wasilah untuk melaksanakan satu kefardhuan (Al-Shāṭibī, t.t., 1:253). ‘Berjalan di atas air’ sudah berlaku pada zaman tersebut melalui kapal. Pun begitu, penerbangan dengan di langit dalam ertikata yang lebih tepat hanya berlaku pada zaman sekarang melalui kapal terbang dan helikopter.

Imam al-Hattab al-Maliki pula dalam syarah beliau terhadap Mukhtasar al-Khalil mengandaikan satu masalah fiqh: Jika seorang wali Allah terbang ke langit sejam sebelum terbitnya fajar, dan ketika di langit dia melihat fajar atau matahari itu sendiri; dalam keadaan ini haram untuknya solat Subuh, kerana fajar yang dijadikan oleh Allah SWT sebagai sebab kepada wajibnya solat Subuh ialah fajar yang kita lihat ketika di bumi (Al-Tarabalisi, 1992, 1:382). Atas dasar inilah para ulama pada zaman sekarang berhukum pada isu solat di atas kapal terbang mestilah mengikut masuknya waktu solat berdasarkan waktu di bumi, bukannya semata-mata melihat fajar ketika di atas kapal terbang.

Isu-isu fiqh sebegini akan terus timbul selagi akal manusia berfikir. Dengan kemajuan teknologi Kecerdasan Buatan yang ada pada hari ini, timbul satu lagi permasalahan yang dibincangkan oleh para ulama iaitu berkenaan etika dan maqasid syariah yang perlu dibangunkan bagi memandu teknologi sebegini. Secara mudahnya, bagaimana untuk memprogramkan Kecerdasan Buatan dengan etika dan moral?

Etika dan Moral Islam

Beberapa persoalan boleh ditimbulkan:

  1. Bolehkah kereta pintar melanggar orang lain untuk menyelamatkan pemandunya? 
  2. Adakah dibenarkan untuk memprogramkan robot ketenteraan untuk membunuh pengganas?
  3. Adakah boleh bot perdagangan (trading bot) memaklumkan semua orang tentang ramalan masalah pasaran, atau merahsiakan sahaja untuk mendapatkan wang daripada ramalan? 
  4. Apakah hukum manusia berkahwin dengan humanoid atau hologram?
  5. Adakah sah jual beli tanah di metaverse? 
  6. Bagaimana pula dengan hartanah maya? 
  7. Bolehkah diwariskan, difaraidkan dan didagangkan? 
  8. Jika sesebuah kereta bercirikan AI terpaksa memilih untuk menyelamatkan pemandunya dengan membahayakan nyawa orang lain, adakah ia dibenarkan?

Untuk sebab itu, kod etika holistik mesti dibangunkan untuk mendidik dan melindungi manusia, sesuai dengan maqasid syariah. Kami kemukakan di sini beberapa cadangan garis panduan asas berkenaan dengan AI:

  •   Perlu kefahaman yang jelas, tujuan dan matlamat penggunaan dan penciptaannya. Ini kerana Nabi SAW bersabda:

وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَـوَى

Maksudnya:Sesungguhnya setiap orang memperolehi apa yang diniatkan.”

Riwayat al-Bukhari (1)

Kaedah yang masyhur menyatakan:

الْأُمُوْرُ بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Setiap perkara bergantung kepada niatnya.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 30)

  • Sebarang bentuk AI hendaklah menyanggahi sifat sanam (berhala) atau timthal (patung) yang bernyawa. Ini sebahagian daripada sadd al-zari‘ah.
  • Elakkan sebarang bentuk gharar dan penipuan. Justeru, sebarang penggunaan dan penciptaan AI wajar disertakan penafian (disclaimer) yang boleh diketahui umum.
  • Penggunaan dan penciptaan AI hanya untuk tujuan urusan harian kehidupan dan perkara teknikal berkaitan agama. Ia tidak mungkin menggantikan taklif rabbani terhadap manusia seperti perintah pelaksanaan ibadat, solat, dan lain-lain. Begitu juga ia tidak menyanggahi norma manusia seperti perkahwinan dengan AI yang berlaku di Jepun dan sebahagian negara Barat.
  • AI tidak boleh  menyentuh sensitiviti agama seperti isu ghaibiyyat dan lakaran wajah Rasulullah SAW misalnya.
  • Perlu dibuat kajian yang lebih mendalam tentang penisbahan kesalahan jenayah, kemalangan, dan kesalahan AI samada melibatkan sistem atau manusia. Kami menjangkakan, pihak kehakiman dan perundangan juga perlu melihat isu ini dengan lebih serius.
  • Jika ada keperluan untuk pentarjihan hukum, kepakaran manusia masih diutamakan kerana AI sama sekali tidak akan membuat keputusan terhadap perkara yang diluar data yang diperolehnya.
  • AI dilarang sama sekali menceroboh karamah insaniyyah. Ia adalah konsep yang menekankan pembentukan adab, akhlak dan integriti. Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.”

(Surah al-Isra’ :70)

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya mengatakan mengenai karamah insaniyyah yang dikurniakan oleh Allah SWT, bahawa manusia diberi nikmat yang pelbagai. Antara nikmat tertinggi yang Allah SWT kurniakan adalah kemuliaan dan kehormatan diri, dimana dua nikmat ini tidak ada pada makhluk yang lain. Selain itu, manusia juga diberikan akal dan kelebihan bertutur yang sempurna, bagi membezakan perkara baik dan buruk serta mengucapkan kata-kata yang baik.  (Lihat al-Jami’ li Ahkam Al-Quran, 5/190).

Justeru, sebarang penggunaan AI yang dilihat mencemarkan maruah dan nilai seorang Muslim, hendaklah dielakkan.

  • Dengan perkembangan terkini AI, maka kaedah penghakiman dan pembuktian di mahkamah syariah melalui video, audio dan imej tidak lagi menjadi bayyinah dan syahadah yang boleh diterima pakai, tetapi sekadar qarinah (circumstantial evidence) semata-mata. Inilah hikmah mengapa Islam menekankan yang berhak menjadi saksi adalah manusia yang sebenar yang mempunyai sifat-sifat dan syarat-syarat yang diterima.

Kesimpulan

Kami mengakhiri dengan menyatakan hadith Nabi SAW:

الْكَلِمَةُ الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ فَحَيْثُ وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا

Maksudnya:Hikmah kebijaksanaan merupakan harta yang hilang milik orang Mukmin; di mana sahaja dia dapatinya, maka dialah yang paling berhak ke atasnya.”

Riwayat al-Tirmizi (2687)

Akhir kalam, kami mengharapkan semoga jawapan ini dapat memberi pencerahan serta kefahaman yang baik kepada kita dalam berinteraksi dengan AI mengikut neraca syariah dalam mencari mardhatillah.

Bertarikh: 11 Mei 2023 bersamaan 22 Syawal 1444H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *