#1475: Menuduh Kufur kepada Perkara Khilaf atau Ijtihad

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum menuduh kufur kepada perkara yang khilaf atau ijtihad?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abu Zar R.A, bahawasanya beliau mendengar Nabi SAW bersabda: 

لاَ يَرْمِي رَجُلٌ رَجُلًا بِالفُسُوقِ، وَلاَ يَرْمِيهِ بِالكُفْرِ، إِلَّا ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ، إِنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ كَذَلِكَ

Maksudnya: “Tidaklah seseorang lelaki menuduh seorang lelaki yang lain dengan kefasiqan, dan tidak pula menuduhnya dengan kekufuran, melainkan akan kembali kepadanya (tuduhan-tuduhan itu), jika orang yang dituduh itu tidaklah seperti itu.”

Riwayat al-Bukhari (6045)

Menurut Syeikh al-Azhar, Syaikh Mahmud Syaltut, kekhilafan yang berlaku dalam perkara yang tidak ada kata putus (qat’i) (قطعي) tentang kefahaman yang sebenarnya (dilalah al-nas) (دلالة النص), menghalang daripada tuduhan sesat atau fasik. Syaikh Mahmud Syaltut menjelaskan lagi bahawa dalil naqli yang sampai ke peringkat yakin dan boleh disabitkan sebagai akidah mestilah memenuhi syarat tidak syak (putus) daripada satu sumber nas (qat’i al-wurud) (قطعي الورود) dan tidak syak (putus) dari sudut kehendak dan kefahaman nas (qat`i al-dilalah) (قطعي الدلالة).

Adapun syarat pertama, iaitu tidak syak daripada sudut sumber, makna tidak ada keraguan tentang kesahihannya daripada nabi saw dan keadaan ini berlaku kepada ayat-ayat al-Quran dan al- Hadith mutawatir sahaja. Sementara syarat kedua, iaitu tidak syak dari sudut kehendak dan kefahaman nas. Hal ini bermaksud kefahaman nas yang muhkam yang tidak boleh ditakwil lagi, seperti ayat-ayat yang menceritakan tentang hari Akhirat. Apabila syarat tersebut dipenuhi, maka ia boleh diyakini dan layak dijadikan sebagai akidah dan sesiapa mengingkarinya kufur. (Lihat al-Islam Aqidah wal Syariah, hlm. 56)

Berdasarkan kepada kenyataan Syeikh Mahmud Syaltut tersebut tuduhan sesat atau fasik tidak boleh ditujukan kepada mereka, apatah lagi tuduhan kufur. Hal yang sama juga ditegaskan oleh Syeikh Muhammad Abd al-Rahman Baysar yang melarang dilemparkan tuduhan takfir kepada ulama yang berselisih pandangan dalam permasalahan ketuhanan (al-uluhiyyah). Perkara yang lebih utama ialah mengagungkan Allah SWT dan menyucikan-Nya daripada segala persamaan dengan makhluk. Di samping itu, ulama yang mentakwil ayat-ayat al-mutasyabihah bertujuan untuk mempertahankan akidah daripada musuh-musuh Islam yang terdiri daripada ahli kitab, penganut agama Majusi dan lain-lain lagi. Tambahan pula, takwil yang dilakukan masih lagi dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh kegunaan bahasa Arab.(Lihat Kaifa Nata‘amal ma’a al-Quran al-Karim, oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 339)

Ahl al-Sunnah mewajibkan kepada diri mereka supaya berdoa kepada mereka yang telah pergi terlebih dahulu (Salaf al-Ummah) agar diampunkan oleh Allah SWT, bukan dengan mengkufurkan mereka Allah S.W.T berfirman:

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ ‎

Maksudnya: “Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.”

(Surah al-Hasyr: 10)

Firman Allah SWT di atas menyebutkan sunnah para Salaf terdahulu daripada golongan Muhajirin yang mendoakan  keampunan buat saudara mereka dari golongan Ansar. Kata Imam al-Tabari: “(Maksud) firman Allah SWT dalam ayat di atas: Dan orang-orang yang datang sesudah orang-orang yang mendirikan kediaman dan beriman sebelum Muhajirin yang pertama, mereka berkata: ‘Ya Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami’ dari kalangan Anshar. Allah SWT maksudkan Muhajirin (iaitu orang-orang yang berhijrah) datang sesudah mereka, bahawa mereka memohon ampun untuk saudara-saudara mereka dari kalangan Ansar.” (Lihat al-Jami‘ wa al-Bayan fi Ta’wil Ayi al-Quran, 23/287)

Di samping itu, dalam pendekatan lain, ulama ahl Sunnah wa al-Jamaah tidak menentukan kekufuran kepada peribadi tertentu’ secara khusus. Justeru, kami katakan isu kafir hendaklah dijarakkan dan dijauhkan oleh orang Islam agar kita sentiasa berwaspada.

Tugas kita yang hakiki adalah mengajak dan mendakwah orang kepada Islam dan bukan mengeluarkan orang daripada daerah keislaman kecuali jika perkara tersebut dikenali sebagai perkara yang maklum minal al-din bid darurah yang diingkarinya. Marilah kita akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

 

Bertarikh: 12 Mei 2023 bersamaan 23 Syawal 1444H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *