#1534: Hukum Melaksanakan Haji Menggunakan Bantuan Perbelanjaan daripada Anak-Anak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah sah seseorang yang menunaikan haji dengan menggunakan wang yang diberikan oleh anak-anak?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Agama Islam merupakan satu agama yang menganjurkan dan menggalakkan umatnya agar saling tolong-menolong ke arah kebaikan. Hal ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam membuat kebajikan dan ketaqwaan.”

 (Surah al-Maidah: 2)

Syeikh al-Sobuni berkata: Iaitu bertolong-tolonganlah kamu dalam perkara melakukan kebaikan dan kebajikan dan meninggalkan kemungkaran serta (bertolong-tolonganlah dalam) perkara yang membawa ketaatan kepada Allah SWT. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/301)

Menurut Syeikh al-Maraghi, isu bantu-membantu dalam melaksanakan sesuatu kebajikan dan ketakwaan adalah merupakan salah satu sendi utama dalam membimbing masyarakat ke arah kehidupan yang lebih sempurna seperti mana yang dianjurkan di dalam al-Quran. Oleh itu, manusia hendaklah sentiasa memberi pertolongan dalam mana-mana urusan yang membawa kepada kebaikan. Pertolongan ini termasuklah sesama individu ataupun masyarakat dalam soal kehidupan dunia mahupun kehidupan akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1474)

Melihat kepada persoalan di atas, haji yang dilakukan oleh seseorang dengan menggunakan wang yang diberikan oleh anak-anak adalah sah dan tertunailah rukun Islam yang kelima ke atasnya. Sememangnya kita dianjurkan untuk sentiasa membantu ibubapa kita dan melayan mereka dengan layanan yang paling baik. Selain itu, salah satu perbuatan yang baik dalam menyantuni ibu bapa ialah dengan memberi perbelanjaan kepada mereka untuk menunaikan ibadah haji. Firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”

 (Surah al-Isra’: 23)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata di dalam tafsirnya pada ayat ini, Allah SWT mengikat banyak ayat berkaitan dengan ibadah dengan tuntutan berlaku baik atau ihsan kepada kedua ibubapa dengan sebaik-baiknya di dalam pergaulan dengan mereka. Ini kerana, mereka adalah sebab hakiki selepas Allah SWT akan kewujudan manusia. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/54)

Kami katakan bagi seseorang itu berhak menerima sumbangan atau tidak dalam melaksanakan ibadat haji. Akan tetapi jika anak-anak sanggup berkorban dengan seikhlas hati tanpa paksaan untuk membantu kedua orang tuanya dalam menampung perbelanjaan ibadat maka ia termasuk dalam birr al-walidain dan ta‘awaun bi al-birr wa al-taqwa yang terpuji. Semoga kedua orang tuanya mendapat haji yang mabrur dan anaka-anaknya mendapat pahala atas kebaikannya itu.

Kesimpulan

Berdasarkan soalan di atas, kami nyatakan bahawa ibadah haji yang dilaksanakan dengan menggunakan wang perbelanjaan yang diberikan oleh anak-anak adalah sah dan diterima di sisi Allah SWT.

Manakala bagi anak-anak yang menanggung kos perbelanjaan ibu bapa mereka untuk melaksanakan ibadah haji adalah dikira termasuk dalam perlakuan ihsan anak terhadap ibu bapa mereka.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

Bertarikh: 16 Mei 2023 bersamaan 27 Syawal 1444H

1 thoughts on “#1534: Hukum Melaksanakan Haji Menggunakan Bantuan Perbelanjaan daripada Anak-Anak

  1. Mohd fadhli says:

    Assalamualaikum dato seri, saya nak tanya bagaimana saya sebagai anak hendak membayarkan fidyah puasa orang tua tetapi tidak diketahui bilangan hari yg ditinggal dan bila ia ditinggalkan. Adakah saya perlu membayarkan fidyah mereka?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *