#1546: Mengambil Buah-buahan yang Dihanyutkan Sungai

Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Saya ingin bertanya, apakah hukum mengambil buah-buahan yang dihanyutkan oleh air sungai? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, haram untuk mengambil harta benda orang lain tanpa keizinan pemiliknya. Hal ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu di antara kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).

(Surah al-Nisa’: 29)

Al-Maraghi menyatakan, lafaz “الْبَاطِل” bermaksud sia-sia, manakala menurut istilah agama adalah mengambil harta orang lain tanpa imbalan yang sewajarnya atau kerelaan pemiliknya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1168).

Begitu juga terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

لَا يَحِلُّ لِامْرِئٍ مِنْ مَالِ أَخِيهِ إِلَّا مَا أَعْطَاهُ مِنْ طِيبِ نَفْسٍ

Maksudnya:Tidak halal bagi seseorang itu mengambil daripada harta kepunyaan saudaranya kecuali yang diberikan dengan kerelaan hatinya.

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (11524)[1]

Imam al-Nawawi selepas menukilkan hadith di atas dalam kitabnya menyatakan, para ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) menyebutkan, jika seseorang melewati (kebun) buah-buahan atau tanaman orang lain, maka tidak boleh baginya untuk mengambil buah (atau hasil) daripadanya, begitu juga tidak boleh untuk memakannya tanpa izin pemiliknya melainkan dalam keadaan terdesak. Ketika itu, dia boleh memakannya, tetapi dia hendaklah menggantikannya.

Seterusnya Imam al-Nawawi menyatakan, hukum buah-buahan yang jatuh adalah sama seperti hukum buah-buahan yang berada di atas pokok. Maksudnya, diharamkan untuk mengambilnya dan memakannya tanpa izin. Sekiranya buah tersebut jatuh di luar pagar, hukumnya juga haram diambil dan dimakan jika diketahui adat kebiasaan pemilik pokok tidak membenarkannya. Begitu juga pendapat yang yang paling sahih, boleh untuk mengambil atau makan buah yang jatuh di luar pagar dengan syarat diketahui adat kebiasaan pemilik pokok membenarkannya atau ada sangkaan pemilik pokok mengizinkannya sebagaimana budak yang mumayyiz membawa hadiah, maka halal untuk memakannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/54).

Begitu juga Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari turut menyebutkan, jika sudah menjadi adat kebiasaan dengan memakan buah yang jatuh dari pokok, maka boleh (diambil dan dimakan) kerana sudah berlaku padanya hukum ibahah (harus) disebabkan oleh terhasilnya sangkaan (bahawasanya pemiliknya sudah mengizinkan) berdasarkan kepada adat kebiasaan tersebut. (Lihat Asna al-Matalib, 1/575).

Namun, jika sebaliknya iaitu adat kebiasaan setempat menunjukkan bahawa pemiliknya tidak mengizinkan, atau dalam masyarakat tidak ada kebiasaan mengambil buah yang jatuh sekalipun ia berada di luar pagar (yakni luar kawasan kebun), maka tidak boleh mengambil dan memakan buah itu. Ini jelas sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di atas. Selain daripada itu, Ibn Hajar al-Haitami juga ada menyebutkan, diharamkan untuk mengambil buah yang jatuh jika pokoknya berada di dalam pagar (kawasan kebun) dan jatuhnya itu dalam dalam kawasan kebun tersebut. Begitu juga hukumnya adalah haram jika buah itu jatuh di luar kawasan kebun dan adat kebiasaan masyarakat setempat tidak membenarkan buah itu diambil. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/338)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat boleh untuk mengambil buah-buahan yang dihanyutkan oleh air sungai. Ini kerana kebiasaannya buah-buahan yang jatuh dan dihanyutkan oleh sungai tidak lagi dituntut oleh pemiliknya dan bukanlah sesuatu yang sangat bernilai. Hal ini adalah sebagaimana tamar yang terjatuh, maka boleh untuk terus memakannya seperti mana hadith daripada Anas R.A, beliau berkata: Nabi SAW pernah menjumpai sebiji kurma di jalan, lalu Baginda bersabda:

لَوْلَا أَنِّي أَخَافُ أَنْ تَكُونَ مِنْ الصَّدَقَةِ لَأَكَلْتُهَا 

Maksudnya: “Seandainya aku tidak bimbang bahawa ia adalah kurma sedekah, nescaya aku akan memakannya.”

Riwayat al-Bukhari (2431)

Ibn Battal menyebutkan, hadith ini menunjukkan kepada keharusan mengambil sesuatu yang kecil yang tidak bernilai yang dijumpai, dan ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan dan luar daripada hukum luqatah. Hal ini kerana (kebiasaannya) pemiliknya tidak akan menuntutnya. Maka oleh sebab itu, Nabi SAW membolehkan untuk memakan kurma (yang dijumpai di jalan) kalaulah tidak kerana terdapatnya syak ia adalah kurma sedekah. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 6/555).

Lebih-lebih lagi, buah yang hanyut itu menjadi pahala sedekah kepada pemiliknya. Hal ini berdasarkan kepada riwayat daripada Anas bin Malik R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا، أَوْ يَزْرَعُ زَرْعًا، فَيَأْكُلُ مِنْهُ طَيْرٌ أَوْ إِنْسَانٌ أَوْ بَهِيمَةٌ، إِلَّا كَانَ لَهُ بِهِ صَدَقَةٌ

Maksudnya:Tidaklah seorang Muslim itu menanam tanaman atau menumbuhkan tumbuhan, lalu burung, manusia atau haiwan ternakan memakan sebahagian daripadanya (tanaman tersebut), melainkan ia menjadi sedekah baginya.”

Riwayat al-Bukhari (2320)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

[1] Imam al-Nawawi menilai sanadnya sebagai sahih (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/54)

 

Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *