#1573: Memakai Kain Ihram Selain Warna Putih

Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Saya ingin bertanya, kerana pada akhir-akhir ini bahkan saya sendiri pernah memakainya iaitu kain ihram yang sebahagian kainnya tidak berwarna putih. Misalnya ada warna hijau atau merah. Saya tahu bahawa kain ihram adalah berwarna putih tanpa ada corak dengan warna lain. Justeru, bolehkah kita memakai kain ihram yang ada corak warna lain? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ

Maksudnya:Dan sempurnakanlah Ibadah Haji dan Umrah kerana Allah.

(Surah al-Baqarah: 196)

Ayat di atas ditafsirkan bahawa sesiapa yang berniat ihram dengan salah satu daripada ibadah ini (haji atau umrah), maka wajib ke atas dirinya untuk menyelesaikan dan menyempurnakan ibadah berkenaan. Namun, terdapat pendapat lain menyatakan bahawa maknanya adalah menyempurnakan ibadah haji dan umrah secara berasingan — yakni satu-persatu — bukannya dengan cara tamattu‘ dan qiran. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38).

Ihram merupakan rukun utama bagi haji dan umrah. Ibn Ruslan menyebutkan dalam matan al-Zubad:

أَرْكَانُهُ الإِحْرَامُ بِالنِّيَّةِ قِفْ # بَعْدَ زَوَالِ التِّسْعِ إِذْ تُعْرَفْ

“Rukunnya adalah berihram dengan niat. Juga berwukuf selepas gelincir matahari pada 9 hari bulan jika diketahui.”

Namun yang dimaksudkan dengan ihram di sini ialah niat untuk memasuki (memulakan) amalan haji atau umrah dengan cara-caranya. Sekiranya seseorang itu berkeinginan untuk mengerjakan ibadah haji atau umrah, maka hendaklah dia berniat dalam hatinya dan melafazkan dengan mulutnya secara perlahan. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 475-476).

Memakai pakaian ihram

Secara umumnya apabila seseorang lelaki itu hendak melakukan ibadah haji atau umrah, maka dia hendaklah memastikan tidak memakai apa-apa pakaian yang dilarang untuk dipakai dalam ihram dan memakai pakaian ihram bagi lelaki iaitu satu kain di atas (rida’) dan satu kain di bawah (izar). Lalu melakukan niat memasuki ihram (memulakan amalan haji atau umrah) dari miqat kerana berihram dari miqat termasuk dalam perkara wajib haji dan umrah. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 488).

Ibn Hajar al-Haitami menyebutkan, bagi jemaah lelaki hendaklah memakai izar (kain lepas bawah) dan rida’ (kain atas) kerana hal itu telah sabit daripada perbuatan dan perintah Nabi SAW. Begitu juga disunatkan izar dan rida’ berwarna putih. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 4/60).

Imam al-Nawawi juga ada menyatakan, di antara adab-adab ihram (bagi lelaki) adalah menanggalkan pakaian yang diharamkan kepada orang yang berihram memakainya dan memakai kain lepas bawah (izar) dan atas (rida’). Kain ihram yang paling afdhal ialah kedua-duanya berwarna putih, baru dan bersih serta makruh dicelupkannya dengan warna. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 127).

Berbalik kepada persoalan di atas, dari segi warna disunatkan bagi izar dan rida’ tersebut untuk berwarna putih. Hal ini adalah berdasarkan hadith daripada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

الْبَسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبَيَاضَ، فَإِنَّهَا مِنْ خَيْرِ ثِيَابِكُمْ، وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ

Maksudnya:Pakailah kamu pakaian yang berwarna putih kerana ia sebaik-baik pakaian, dan kafankanlah dengan pakaian putih tersebut mayat-mayat kamu.”

Riwayat Abu Dawud (3878); al-Tirmizi (994); Ibn Majah (3566); Ahmad (2219); Imam al-Tirmizi menilainya sebagai hasan sahih.

Sekiranya tidak ada kain berwarna putih, maka dibolehkan untuk memakai kain berwarna lain selagi mana ia menepati syarat-syarat pakaian ihram seperti tidak berjahit dan sebagainya.

Antara hikmah pakaian putih kerana ia melambangkan kesucian, mengingatkan kematian kerana kita juga disunatkan kafan dengan kain putih, di samping menjadikan seluruh jemaah haji dengan pakaian yang sama walaupun mereka berbeza dari segi kaya miskin, tua muda, berpangkat atau sebaliknya, serta warganegara dan bangsa yang pelbagai. Semuanya itu, bermatlamatkan untuk mencari mardhatillah dan kembali menyahut perintah Allah SWT sebagaimana yang mereka laungkan dalam talbiah mereka. 

Adapun jika terdapat pada pakaian ihram tersebut warna-warna lain sikit-sikit, selama mana warna putih mengatasinya, maka tidak mengapa. Apatah lagi sebahagian tempat menjadikan warna-warna yang sikit itu sebagai tanda bagi mudah mengesan jemaahnya jika hilang, di samping memudahkan mereka untuk berkumpul agar tidak berpisah dengan jemaah-jemaah yang satu kumpulan dengan mereka bagi memudahkan pengurusan serta lain-lain sebab seumpamanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin. 

Kami menutup dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

× Bantuan?