#160 Melakukan Solat Hajat Sebelum Solat Rawatib

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana hukum seseorang yang melakukan Solat Hajat sesudah Solat Fardhu, sebelum mengerjakan Solat Sunat Rawatib? Atau dia mesti tunaikan solat ba’diyah selepas solat fardhu itu dahulu, baru lakukan Solat Hajat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asasnya, hajat pada bahasa ialah keperluan atau memohon sesuatu. Dalam kitab Lisan al-Arab (2/242) dan al-Mu’jam al-Wasit (1/527), hajat dengan makna kefakiran dan tidak dikeluarkan penggunaan fuqaha bagi lafaz hajat daripada makna lughawi. Mengikut ulama usul mengemukakan takrif khas berkenaan hajat seperti al-Syatibi katanya: “Apa-apa yang menjadi keperluan untuk melapangkan dan mengangkat kemudaratan yang membawa kepada masyaqqah dan hilangnya maslahat.” (Lihat al-Muwafaqat, 2/121).

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Aufa RA katanya: Rasulullah SAW keluar menemui kami dan bersabda:

مَنْ كَانَتْ لَهُ إِلَى اللَّهِ حَاجَةٌ، أَوْ إِلَى أَحَدٍ مِنْ بَنِي آدَمَ فَلْيَتَوَضَّأْ وَلْيُحْسِنِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ لِيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ لِيُثْنِ عَلَى اللَّهِ، وَلْيُصَلِّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Sesiapa yang ada sesuatu hajat pada Allah SWT atau pada sesiapa di kalangan anak Adam, hendaklah dia mengambil air wuduk dan berwuduklah dengan baik kemudian hendaklah dia solat dua rakaat kemudian memuji Allah SWT dan berselawat untuk Nabi SAW, seterusnya berdoa:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ الحَلِيمُ الكَرِيمُ، سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ العَرْشِ العَظِيمِ، الحَمْدُ لِلهِ رَبِّ العَالَمِينَ، أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ، وَالغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ، وَالسَّلَامَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ، لَا تَدَعْ لِي ذَنْبًا إِلَّا غَفَرْتَهُ، وَلَا هَمًّا إِلَّا فَرَّجْتَهُ، وَلَا حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلَّا قَضَيْتَهَا يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

Maksudnya: Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Pengasih dan Maha Mulia. Maha suci Allah, Tuhan yang memiliki singgahsana yang agung. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Ku mohon segala amalan yang membuka pintu rahmat dan keampunan-Mu. Kumohon lindungan daripada dosa, kaya dengan segala kebajikan dan selamat daripada dosa. Jangan lah engkau biarkan padaku walau satu dosa kecuali engkau maafkan ia, walau satu masalah kecuali engkau selesaikan ia, walau satu hajat yang engkau redhai kecuali engkau tunaikan ia, wahai tuhan yang Maha Pengasih.

Riwayat al-Tirmizi (479), al-Nasa’i dan Ibn Majah (260)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Solat hajat adalah sunat mengikut hadis ini, di mana ianya wujud dalam sunan al-Tirmizi dan Imam al-Tirmizi menghukumkan hadis ini sebagai hadis gharib.” (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 2/232).

Selepas itu hendaklah dia memohon urusan dunia atau akhirat seperti yang dikehendakinya nescaya ia akan ditakdirkan.

Hadis di atas dikuatkan lagi dengan sokongan sebuah hadis yang lain, dimana Baginda SAW bersabda:

إِذَا طَلَبْتَ حَاجَةً فَأَحْبَبْتَ أَنْ تَنْجَحَ، فَقُلْ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ الْـحَلِيمُ الْكَرِيمُ، بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْـحَيُّ الْـحَلِيمُ، سُبْحَانَ اللهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، وَالْـحَمْدُ لِلهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَ مَا يُوعَدُونَ لَمْ يَلْبَثُوا إِلَّا سَاعَةً مِنْ نَهَارٍ بَلَاغٌ فَهَلْ يُهْلَكُ إِلَّا الْقَوْمُ الْفَاسِقُونَ، كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَهَا لَمْ يَلْبَثُوا إِلَّا عَشِيَّةً أَوْ ضُحَاهَا، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ، وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ، وَالسَّلَامَةَ مِنْ كُلِّ ذَنْبٍ، اللَّهُمَّ لَا تَدَعْ لِي ذَنْبًا إِلَّا غَفَرْتَهُ، وَلَا هَمًّا إِلَّا فَرَّجْتَهُ، وَلَا دَيْنًا إِلَّا قَضَيْتَهُ، وَلَا حَاجَةً مِنْ حَوَائِجِ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ إِلَّا قَضَيْتَهَا بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

Maksudnya: “Apabila kamu menuntut sebarang hajat dan mahu supaya berjaya untuk diperkenankan, maka bacalah:

 لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ الْـحَلِيمُ الْكَرِيمُ، بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْـحَيُّ الْـحَلِيمُ، سُبْحَانَ اللهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، وَالْـحَمْدُ لِلهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَ مَا يُوعَدُونَ لَمْ يَلْبَثُوا إِلَّا سَاعَةً مِنْ نَهَارٍ بَلَاغٌ فَهَلْ يُهْلَكُ إِلَّا الْقَوْمُ الْفَاسِقُونَ، كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَهَا لَمْ يَلْبَثُوا إِلَّا عَشِيَّةً أَوْ ضُحَاهَا، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ، وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ، وَالسَّلَامَةَ مِنْ كُلِّ ذَنْبٍ، اللَّهُمَّ لَا تَدَعْ لِي ذَنْبًا إِلَّا غَفَرْتَهُ، وَلَا هَمًّا إِلَّا فَرَّجْتَهُ، وَلَا دَيْنًا إِلَّا قَضَيْتَهُ، وَلَا حَاجَةً مِنْ حَوَائِجِ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ إِلَّا قَضَيْتَهَا بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ[1]

Daripada Uthman Bin Hunaif RA, bahawa seorang buta telah datang menemui Rasulullah SAW seraya berkata: “Ya Rasulullah, tolong doakan kepada Allah agar aku diberikan penglihatan atau seumpamanya. Kemudian Baginda SAW bersabda:

فَانْطَلِقْ فَتَوَضَّأْ، ثُمَّ صَلِّ رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ قُلِ: اللَّهمَّ إنِّي أسألُكَ وأتوجَّهُ إليكَ بنبيِّي محمَّدٍ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ نبيِّ الرَّحمةِ، يا محمَّدُ إنِّي أتوجَّهُ إلى ربِّي بك أن يكشِفَ لي عَن بصَري، اللَّهم شفِّعهُ فيَّ وشفِّعني في نَفسي فرجعَ وقد كَشفَ الله عن بصرِهِ

Maksudnya: “Pergilah kamu dan berwudhu’ kemudian solat dua rakaat dan seterusnya bacalah doa اللَّهمَّ إنِّي أسألُكَ وأتوجَّهُ إليكَ بنبيِّي محمَّدٍ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ نبيِّ الرَّحمةِ، يا محمَّدُ إنِّي أتوجَّهُ إلى ربِّي بك أن يكشِفَ لي عَن بصَري، اللَّهم شفِّعهُ فيَّ وشفِّعني في نَفسي. Kemudian dia lakukan dan selepas itu Allah kembalikan penglihatannya.”

Riwayat al-Nasa’i (10496), al-Hakim dalam al-Mustadrak. Syeikh al-Albani menilainya sebagai sahih

Kedudukan Solat Hajat

Berkenaan dengan isu ini, kami menyatakan bahawa para ulama berbeza pendapat berkenaan hukum solat hajat. Ini kerana, dalil yang dijadikan hujah dalam isu ini diperselisihi status hukumnya. Sebahagian berpendapat bahawa hadis tersebut dhaif, dan tidak boleh untuk dijadikan hujah ke atas pensyariatan solat hajat. Manakala sebahagian yang lain berpandangan bahawa hadis tersebut boleh dikuatkan dengan syawahidnya, dan mereka turut menyatakan bahawa solat hajat ini termasuk di bawah fadhail al a’maal yang boleh menggunakan hadis dhaif sekiranya ia tergolong di bawah asal yang thabit.

 

Definisi Solat Rawatib Dan Kedudukannya

Dalam mazhab Al-Syafie, Imam al-Khatib al-Syarbini mendefinisikan rawatib sebagai solat yang mengikut solat-solat fardhu. Hikmah perlaksanaan solat-solat ini adalah untuk menyempurnakan atau melengkapkan kekurangan yang terhasil dari solat fardhu seperti tidak khusyuk dan juga meninggalkan tadabbur ke atas bacaan ayat Al-Quran. (Lihat al-Iqna’, 1/115).

Berdasarkan takrifan yang disebutkan di atas, solat rawatib adalah solat yang terikat dengan solat fardhu sama ada ia dilakukan sebelum solat fardhu iaitu yang dinamakan sebagai solat qabliyyah atau dilakukan setelah solat fardhu iaitu yang disebut sebagai solat ba’diyah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الصَّلاَةِ الْمَكْتُوبَةِ الصَّلاَةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ

Maksudnya: “Seafdhal-afdhal solat selepas solat fardhu adalah solat pada pertengahan malam.”

Riwayat Muslim (1163)

Imam Ibn Rajab al-Hanbali apabila mensyarahkan hadis berikut berkata: Iaitu maksudnya (sebaik-baik solat) selepas solat fardhu dan yang mengikutinya dari solat solat sunat rawatib. Sesungguhnya solat rawatib sebelum dan selepas solat fardhu adalah lebih afdhal dari qiyamullail di sisi jumhur para ulama kerana keterikatannya dengan solat solat fardhu. (Lihat Lataif al-Maarif, 1/34).

 

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa dari sudut hukum adalah dibolehkan solat hajat selepas sahaja dilakukan solat fardhu dan solat ba’diyah pula boleh dilakukan selama mana masih berada di dalam waktunya.

Namun sebaik-baiknya adalah dengan mengikut urutan yang diajar oleh Rasulullah SAW iaitu solat fardhu diiringi dengan solat rawatib. Malah, jika dijadikan solat fardhu dan solat rawatib itu sebagai wasilah kita hendak memohon hajat juga dibenarkan.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 8/12/2021 bersamaan 4 Jamadil Awal 1443H

[1] Riwayat al-Tabarani (3398) dalam al-Mu’jam al-Ausat


Comments

  1. Mohd Nasrul @ Mohd Nasir bin Ibrahim Avatar
    Mohd Nasrul @ Mohd Nasir bin Ibrahim

    Alhamdulillah Jazakumullahu Khairan kathiraa .saya solat sunat bakdiyah dahulu .nanti malam baru saya solat sunat hajat menunaikan kehendak mereka yang yang berhajat. Yang lain ikut solat hajat bersama imam selepas solat fardhu . Saya rasa macam suatu paksaan .dan saya tidak ikhlas jika solat sunat hajat selepas solat farhu . Tetapi saya tunaikan solat hajat kepada mereka yang berhajat waktu qiamullail tu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *