#1720: Kepuk Dua Tingkat di Tanah Perkuburan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Tanah perkuburan ibu saya meletakkan syarat membuat kepuk dua tingkat. Perlukah kami akur sedangkan Allah mengajar kita agar tidak berlebihan-lebihan? Bagaimana jika keluarga yang tidak berkemampuan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu makna kepuk tersebut.  Menurut Kamus Dewan Perdana terbitan DBP, kepuk ialah binaan berbentuk segi empat daripada kayu, konkrit atau marmar dan sebagainya, yang dibina di sekeliling kubur.[1]

Pada asasnya, kepuk di tempat kita adalah bertujuan supaya tanah tidak roboh atau mendap kerana kadar hujan yang tinggi bagi membezakan antara tanah kubur dan bukan, agar tidak dipijak dan menjadi jalan. Secara umumnya, perkara ini adalah khilaf dalam kalangan ulama. Ringkasnya, jika ia dibenarkan beberapa pertimbangan perlu diambil kira, iaitu:

  • Tidak menyerupai bangunan.
  • Tidak menggunakan duit yang banyak sehingga berlaku pembaziran.
  • Tidak sama dengan perkuburan bukan Islam.
  • Niat bukan untuk bermegah-megah.

Sekiranya kesemua syarat di atas dipenuhi, maka kami berpendapat pembinaan kepuk bagi kubur adalah diharuskan. Apatah lagi tujuannya yang utama adalah bagi menghalang tanah kubur runtuh dan mendap kerana kadar hujan yang tinggi di negara kita, dan seterusnya membezakan antara tanah kubur dan bukan, agar tidak dipijak dan menjadi jalan. Perbahasan lanjut berkenaan perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah bertajuk: “Membina Kepuk di Kubur.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat sebaik-baiknya saudara yang bertanya berbincang dengan baik bersama pihak pengurusan di tanah perkuburan berkenaan. Hal ini kerana berkemungkinan ada sebab-sebab tertentu yang memestikan untuk membina kepuk tersebut seperti mengelakkan tanah runtuh, tanah mendap atau seumpamanya. Manakala daripada pihak saudara, jelaskan kepada mereka halangan-halangan yang timbul seperti faktor kewangan dan seumpamanya. Carilah jalan penyelesaian yang terbaik.

Pada masa sama, kami juga mengambil kesempatan di sini, menasihatkan dan mengingatkan kepada semua agar bertaqwa kepada Allah. Apa-apa perkara yang ingin dibuat atau dijalankan, biarlah selari sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Itulah kejayaan yang sebenar-benarnya. Firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya:Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Ma’idah: 100)

Marilah kita berdoa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=kepuk&d=175768&#LIHATSINI. Diakses pada 18 Mei 2023.

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *