#1721: Niat Solat Sebelum Angkat Takbir

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada kemusykilan tentang niat solat. Bolehkah kita berniat, “Sahaja aku solat fardhu 4 rakaat menjadi makmum tunai kerana Allah Taala,” sebelum mengangkat takbir? Jadi masa takbir, saya sebut Allahu Akbar sahaja tanpa niat di hati. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, para ulama telah menyatakan ijma‘ mengenai kewajipan berniat dalam solat dan solat tidak sah tanpanya. Al-Khiraqi menyebutkan, apabila seseorang ingin mendirikan solat, maka bertakbirlah (yakni ucapkan Allahu Akbar) dan berniat ketika takbiratul ihram itu solat fardhu (yang ingin didirikan). Kami tidak mengetahui adanya perselisihan (khilaf) dalam umat mengenai kewajipan berniat untuk mendirikan solat, dan suatu solat tidak sah tanpanya. (Lihat Mukhtasar al-Khiraqi, hlm. 22).

Dalam erti kata lain, niat merupakan salah satu rukun solat. Niat ialah mengingati tujuan sesuatu perbuatan ketika mula melakukannya. Tempat niat ialah di dalam hati. Untuk menjadikan solat sah, seseorang hendaklah menyertakan niat di dalam hati ketika bertakbiratul Ihram dan sedar akan tujuannya untuk bersolat semasa melafazkan takbir tersebut serta mengingati jenis solat dan fardhunya. Sementara niat untuk bersolat pula tidak disyaratkan melafazkannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/129).

Niat menurut bahasa adalah mengarah diri kepada sesuatu perbuatan. (Lihat al-Mu‘jam al-Wasit, hlm. 1021). Manakala menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, niat ialah maksud atau tujuan sesuatu perbuatan. (Lihat Kemus Dewan Edisi Keempat, hlm.  1080).

Dari segi istilah pula, terdapat beberapa definisi yang diberikan. Antaranya ialah:

  • Al-Nawawi menyebutkan bahawa niat ialah keazaman (tekad) di dalam hati atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/310).
  • Ibn ‘Abidin pula menyebutkan bahawa niat ialah tujuan melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amal perbuatan. (Lihat Rad al-Mukhtar, 1/105).

Berdasarkan kepada definisi di atas, kita dapat simpulkan bahawa niat ialah lintasan dalam hati ketika adanya tekad dan keazaman untuk melakukan sesuatu perkara.

Adapun talaffuz atau melafazkan niat, jumhur fuqaha dalam kalangan ulama mazhab Hanafi, Syafi‘i, Hanbali bahawa perbuatan talaffuz atau melafazkan niat ini adalah digalakkan (sunat). Hal ini adalah untuk mengingatkan lisan hati, lalu menjadilah ia niat yang dihadirkan secara hakiki.[1]

Dinyatakan dalam Nihayah al-Muhtaj (1/457) daripada kitab ulama mazhab Syafi‘i bahawa niat itu tempatnya di dalam hati secara sepakat para ulama. Justeru, tidaklah cukup untuk sekadar melafazkannya sedangkan hatinya lalai daripadanya, dan hal ini adalah terpakai pada seluruh bab (ibadah). Begitu juga tidak memberi mudarat (kesan), jika seseorang itu melafazkan sesuatu berbeza dengan apa yang ada di dalam hatinya, seolah-olah dia meniatkan solat Zuhur tetapi lisannya melafazkan untuk solat Asar. Disunatkan juga untuk melafazkan niat (talaffuz) sejurus sebelum mengangkat takbir, bagi membantu lisan hati (untuk berniat) kerana ia jauh daripada waswas.

Sesungguhnya telah sabit berkenaan galakkan (sunat) untuk melafazkan niat bagi ibadah haji dengan bertalbiah, sebagaimana hadith Anas bin Malik R.A, katanya:

سمعت رسول اللهِ ﷺ يلبي بالحجِّ والعمرةِ جميعًا يقولُ لبيك عمرةً وحجًا لبيكَ عمرةً وحجًا

Maksudnya:Aku mendengar Rasulullah SAW bertalbiah (melafazkan niat) untuk haji dan umrah secara sekali. Baginda mengucapkan, ‘لبيك عمرةً وحجًا’ (Kami menyahut panggilan-Mu untuk umrah dan haji), ‘لبيك عمرةً وحجًا’ (Kami menyahut panggilan-Mu untuk umrah dan haji).’

Riwayat al-Bukhari (4353); Muslim (1232); Abu Daud (1795) dan lafaz hadith daripadanya; al-Tirmizi (821); al-Nasa’i (2731); Ibn Majah (2969) dan Ahmad (12091)

Oleh sebab itu, sebahagian ulama mengqiaskan galakkan (sunat) melafazkan niat untuk berwuduk dan solat ke atas galakkan melafazkan niat bagi ibadah haji. Ibn Hajar al-Haitami ketika menjelaskan kenyataan Imam al-Nawawi yang menyatakan, “Disunatkan untuk melafazkan niat sejurus sebelum bertakbir,” menyebutkan ia adalah bagi membantu atau memudahkan lisan hati (untuk berniat), begitu juga sebagai jalan keluar daripada khilaf mereka yang mewajibkannya sekalipun pendapat tersebut adalah syaz. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/12).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, perbuatan saudara mengucapkan niat sebelum mengangkat takbir itu dipanggil sebagai talaffuz (melafazkan niat) dan ia dihukumkan sebagai sunat di sisi jumhur fuqaha. Sedangkan niat yang dimaksudkan ialah lintasan dalam hati ketika adanya tekad dan keazaman untuk melakukan sesuatu perkara, dan tempatnya di dalam hati. Justeru, perbuatan saudara melafazkan niat sebelum bertakbir, lalu mengangkat takbir untuk mendirikan solat, menjadi bukti yang kuat menunjukkan bahawa dia ingin mendirikan solat, dan perbuatannya itu sudah dikira sebagai niat. Begitu juga solat yang dilakukannya adalah sah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=3636. Diakses pada 22 Mei 2023.

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H

1 thoughts on “#1721: Niat Solat Sebelum Angkat Takbir

  1. Wan Ahmad Noor Azalan bin Wan Isa says:

    Assalamualaikum Dato’ Seri,saya ni mengalami masalah was was ,susah nak masuk niat ketika bertakbir,jadi nagaimana untuk mengatasinya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *