#1731: Nasihat Kepada Penuntut Ilmu Syari’e

Soalan :

Assalamualaikum Datuk, moga Datuk dan warga kerja Maktabah al-Bakri sihat walafiat. Datuk, saya merupakan pelajar IPG kos pendidikan Islam. Namun, saya minat akan kursus Syariah atau Quran Sunnah. Soalan saya, apakah nasihat Datuk untuk saya, bagi memantapkan ilmu tersebut? Di manakah saya boleh menambah lagi pengetahuan selain di tempat pengajian saya? Adakah boleh pelajar seperti saya (pendidikan islam) untuk melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya dalam bidang Syariah atau Quran Sunnah? Mohon pencerahan dan komentar Datuk. Sekian, terima kasih. Barakallahufik!

Jawapan :

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda  SAW hingga ke hari kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah swt :

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya:  “Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”

(Surah al-Taubah: 122)

Dalam pencarian ilmu terdapat dua jalan; jalan pertama adalah memperoleh ilmu Syar‘i daripada para ulama dan ia amatlah penting untuk memastikan bahawa ulama yang menjadi sumber ilmu adalah ulama yang terpercaya dalam pengetahuannya dan teguh dalam agamanya, baik dalam aqidah mahupun amal perbuatan. Hal ini kerana beberapa orang mengaku sebagai ulama, guru, atau mufti, padahal mereka adalah orang-orang yang jahil dan hanya memiliki pengetahuan yang sedikit. Akibatnya, mereka dapat menyesatkan orang lain tanpa memiliki ilmu yang cukup. Namun, jika seseorang terkenal kerana kejujuran, pengetahuan, agama, amanah, keutuhan aqidah, dan kebersihan pemikiran, maka ilmu dapat diperoleh darinya. Cara memperoleh ilmu dari para ulama lebih mudah daripada membaca buku, kerana seorang alim ibarat seorang memberikan makanan yang sudah dimasak dan matang. Dengan demikian, memperoleh ilmu dari jalan ini lebih singkat. Selain itu, seorang alim juga akan mengajari bagaimana cara memperoleh ilmu, bagaimana menyimpulkan hukum-hukum dari dalil-dalil, bagaimana melakukan penyeimbangan antara pendapat-pendapat para ulama, dan sebagainya.

Jalan kedua adalah dengan merujuk kepada buku-buku seperti buku-buku Feqah, Usul Fiqh, Tafsir dan buku-buku yang berkaitan dengan ilmu Syar‘i. Namun, memperoleh ilmu melalui buku adalah sebuah jalan yang panjang yang memerlukan kesungguhan, ketelitian, kecermatan, dan juga memerlukan pembacaan secara luas dari kitab-kitab para fuqaha secara umum. Jika hanya terbatas kepada pembacaan kitab-kitab tertentu, mungkin  terdapat dalil-dalil yang tidak ada pada kitab tersebut namun dimiliki oleh fuqaha lainnya. Oleh kerana itu, jalan ini adalah jalan yang panjang. Ada di antara para ulama yang memperoleh ilmu daripada buku-buku, dan Allah memberi kemudahan bagi mereka dalam hal ini. Mereka menjadi mahir dan menjadi rujukan dalam bidang tersebut.

Selain menuntut ilmu di tempat pengajian semasa,kami cadangkan juga saudara atau saudari menghadiri majlis-majlis ilmu seperti daurah kitab khususnya dalam bidang yang dikehendaki yang dianjurkan oleh mana-mana institusi baik institusi masjid atau institusi pengajian tinggi. Ini dapat menambahkan dan memantapkan lagi pengetahuan saudara atau saudari tentang ilmu agama khususnya dalam ilmu Syariah.

Pada masa kini peluang untuk menyambung pengajian amatlah mudah. Banyak IPT atau IPTS membuka peluang untuk menyambung pengajian di peringat ijazah, sarjana dan kedoktoran. Untuk maklumat lanjut berkaitan menyambung pengajian saudara/saudari bolehlah merujuk kepada institusi-institusi yang berkaitan.

Kami akhiri dengan doa :

اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *