#1732: Adakah Wujud Zakat Tanah?

Soalan:

Saya ingin tanya untuk tanah yang disimpan/dibiar/tidak guna atau dibiarkan bersemak, wajibkah bayar zakat?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sepertimana  diketahui, membayar zakat merupakan rukun Islam yang ketiga selepas mendirikan solat lima waktu. Sebagaimana firman Allah SWT:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ

Maksudnya: “Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat.”

Surah al-Baqarah (43)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, dalam isu ini perlu kita fahami bahawa tiada zakat untuk tanah, melainkan mereka yang berniaga tanah, maka dikenakan zakat perniagaan apabila cukup haul. Di sini juga kami syorkan kepada saudara, jika saudara mempunyai  tanah yang terbiar, sebaiknya ia dihidupkan kerana dari situ kita akan perolehi manfaat daripadanya. Nabi SAW juga bersabda:

مَنْ أَحْيَا أَرْضًا مَيِّتَةً فَلَهُ فِيْهَا أَجْرٌ، وَمَا أَكَلَهُ الْعَوَافِيُّ  فَهُوَ لَهُ صَدَقَةٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menghidupkan tanah yang mati, maka di sana ia akan memperoleh pahala dan tanaman yang dimakan binatang kecil (seperti burung atau binatang liar), maka hal itu menjadi sedekah baginya.

Riwayat al-Tirmizi (1379), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (5757) dan Ahmad (14271)

Untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut berkenaan zakat, maka saudara juga boleh rujuk kepada Pusat Pungutan Zakat (PPZ) negeri masing-masing. Semoga Allah SWT jadikan kita antara yang sentiasa mengeluarkan zakat, sama ada zakat harta, perniagaan atau pun fitrah. Amin.

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *