Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Saya nak tanya tentang sejadah yang ditulis nama di dalam tulisan khat. Adakah dibolehkan sejadah tersebut dibawa solat atau sebaliknya? Sebab kebanyakkan jemaah yang ke tanah suci, akan jadikan sejadah tersebut sebagai souvenir (cenderahati). Mohon pencerahan daripada pihak ustaz. Terima kasih.

 

Jawapan: 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, ruku’lah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang)

Surah al-Haj (77)

Maka, lazimnya pada hari ini penggunaan sejadah digunakan dalam solat ketika sujud. Bahkan, sejadah kini dijadikan sebagai hadiah terutamanya sejadah yang ditenun namanya. Justeru itu, berbalik kepada soalan di atas kami nyatakan secara asasnya, asal sesuatu perkara adalah harus, selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya sepertimana kaedah fiqh menyebut:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut). (Lihat al-Asybah wa al-Nazhoir, hlm.60)

Oleh itu, jika sekiranya tulisan disejadah itu sekadar tulisan nama bagi tujuan hadiah, maka hukumnya dibolehkan. Namun, sekiranya di sejadah tersebut mempunyai ayat al-Quran, maka kami berpandangan hukumnya tidak boleh kerana dikhuatiri akan terpijak dan ada penghinaan.

Kami juga cuba melihat dari sisi yang lain iaitu adakah dengan terteranya nama pada sejadah tersebut, apabila kita solat dan memandang ke tempat sujud, selalu mengingat kepada nama kita dan mungkin terkhayal dengan angan-angan akan bentuk khat yang ditulis tersebut? Jika ini berlaku, sudah tentu sedikit sebanyak akan menafikan khusyuknya dalam solat yang menjadi intipati utama apabila kita solat untuk mencapainya. Firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ‎﴿١﴾‏ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ‎﴿٢﴾‏

Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.

Surah al-Mukminun (1-2)

Berkenaan sejadah, kami telah menulis beberapa artikel tentang sejadah. Saudara boleh rujuk di link bawah:

  • #1410: Sejadah Sandar[1]
  • #769: Lelaki Menggunakan Sejadah Daripada Sutera[2]
  • #495 Sujud atas Sejadah yang Terlalu Empuk[3]

Semoga pencerahan ini dapat memberi kefahaman yang baik kepada kita semua dalam memahami hukum-hakam dalam Islam. Amin.

[1] https://maktabahalbakri.com/1410-sejadah-sandar/

[2] https://maktabahalbakri.com/769-lelaki-menggunakan-sejadah-daripada-sutera/ 

[3] https://maktabahalbakri.com/495-sujud-atas-sejadah-yang-terlalu-empuk/#_ftn2

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply