#2157: Dosa Mencerca Allah SWT

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kami dapati ada dalam media sosial seseorang mencerca Allah SWT sama ada di dalam dewan atau di jalan-jalan raya. Apa hukumnya dan apa tindakan kita?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertama sekali, isu tidak puas hati dan menghina serta mencerca Allah SWT adalah dilarang. Ini kerana dengan menghina Allah SWT akan membawa kerosakan yang parah. Fadhilatul Syeikh Abdul Aziz al-Tarifi berkata, “Memacak dan meletakkan berhala-berhala pada salah sebuah negeri, tawaf di sekelilingnya dan sujud kepada berhala tersebut lebih ringan di sisi Allah SWT dari mengisytiharkan celaan dan cercaan kepada Allah SWT di mana-mana tempat, sama ada di dewan atau di jalan raya mahu pun di pasar.” 

Ini kerana pengisytiharan cercaan kepada Allah SWT lebih besar daripada syirik dengan menyembah berhala. Tanpa dinafikan kedua-duanya termasuk dalam perbuatan kufur melainkan orang yang syirik membesarkan Allah SWT dan menyekutukannya. Sedangkan orang yang memaki Allah SWT ia menghina-Nya, wa iya zubillah.

Antara bentuk penghinaan kepada Allah SWT apabila kita sendiri memaki tuhan-tuhan yang lain selain daripada Allah SWT. 

وَلاَ تَسُبُّوْا الَّذِيْنَ يَدْعُوْنَ مِنْ دُوْنِ اللهِ فَيَسُبُّوْا اللهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda Yang mereka sembah Yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas Dengan ketiadaan pengetahuan.”

Surah al-An’am (108)

As-Sobuni dalam tafsirnya Sofwatul tafasir (1/410)” berkata: “Dan janganlah kamu mencela sembahan-sembahan orang musyrikin dan berhala-berhala mereka maka, mereka kelak akan membalasnya dengan celaan kepada Allah dalam keadaan jahil dan akan bersifat melampau disebabkan mereka tidak mengetahui kebesaran Allah S.W.T.

Ibnu Abbas berkata, orang-orang musyrikin Mekah berkata kepada Nabi Muhammad SAW; “Berhentilah daripada menghina tuhan-tuhan kami ataupun kami akan menghina Tuhan kamu”. Maka Allah menurunkan larangan-Nya ini.

Prof. Wahbah al-Zuhaili berkata dalam tafsirnya Al-Munir (7/327): “Ulama’ berkata bahawa hukum ayat ini kekal iaitu larangan menghina segala kebesaran agama mereka seperti salib, sembahan mereka, tempat ibadat mereka, dan jangan terdedah melakukan perbuatan tersebut kerana ianya seolah-olah menggalakkan maksiat iaitu penghinaan kepada Allah dan Rasul-Nya.”

Antara tindakan yang sepatutnya kita lakukan adalah jangan sekali-kali menghina mana-mana tuhan orang lain agar Allah SWT Tuhan kita yang sebenar tidak dihina. Keduanya, berilah kepada mereka kefahaman kerana jahalah yang wujud pada mereka menyebabkan mereka kabur akan hakikat kebenaran, lebih-lebih lagi berkenaan dengan Allah SWT.

Mereka lakukan dek kerana sifar maklumat dan makrifah yang sebenar kepada Allah SWT. Kita juga boleh melihat saluran undang-undang dengan melaporkan hal tersebut kepada pihak berwajib seperti kerajaan agar ianya dapat dihentikan. Maka, peranan pihak kerajaan melalui penguatkuasaan atau badan-badan yang berkenaan boleh mengambil tindakan sewajarnya. Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT semoga negara kita sentiasa menjadi negara yang aman damai dan bahagia masyarakatnya yang akhirnya menatijahkan baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَائِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالَمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لَمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيم.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *