#2156: Hukum Beli Barangan Berwarna atau Bercorak Pelangi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukumnya membeli barang-barang atau pakaian yang berwarna pelangi dan corak pelangi? Umum mengetahui warna sebegini adalah warna rasmi LGBT. Akan tetapi barang-barang atau pakaian yang berwarna pelangi ini dibeli bukan dari sumber menyokong LGBT. Sekian, terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Pelangi menurut Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat ialah cahaya yang melengkung dan bermacam-macam warnanya di langit. Warna pelangi terdiri daripada gabungan 7 buah warna yang berbeza mengikut turutannya, ia bermula daripada atas dengan warna merah, jingga, kuning, hijau, biru, indigo (biru gelap) dan ungu.

MD: Cara Mudah Nak Ingat 7 Warna Pelangi.

Gambar pelangi

Berkenaan gerakan LGBT pula, ia merupakan akronim bagi ‘Lesbian, Gay, Bisexual, and Transgender’. Unicorn dan warna pelangi telah dijadikan sebagai simbolik bagi gerakan ini semenjak tahun 1970 hingga 1980, yang mana pada akhirnya telah menjadikan satu bendera khusus berwarna-warni sebagai lambang rasmi mereka. Bendera ini telah dipopularkan oleh seorang artis yang berasal dari San Francisco yang bernama Gilbert Baker, pada tahun 1978.

Akan tetapi, warna pelangi yang digunakan oleh gerakan ini pada hakikatnya sedikit berbeza dengan warna pelangi yang kebiasaannya dilihat. Warna pelangi mereka hanya terdiri daripada gabungan 6 buah warna, ia bermula daripada warna merah, oren, kuning, hijau, biru dan ungu.

Gambar Bendera Pelangi Kebanggaan Gay Homoseksual, Bendera, Lgbt, Terpencil Latar belakang untuk Muat turun Percuma

Gambar bendera LGBT

Disebalik setiap warna bendera ini juga mempunyai maksud yang tersendiri, merah membawa maksud kehidupan (life), oren bermaksud kesembuhan (healing), kuning bermaksud cahaya matahari (sunlight), hijau bermaksud alami atau semula jadi (nature), biru bermaksud kejernihan (serenity), dan ungu bermaksud jiwa (spirit). [1]

Membeli Barangan Berwarna Pelangi

Apabila telah jelas perbezaan antara warna pelangi dan warna pada bendera gerakan songsang LGBT, maka dapatlah kita ketahui bahawa keduanya adalah berbeza.

Melihat kepada persoalan yang ditanyakan, tidak menjadi masalah jika seseorang ingin membeli barangan yang mempunyai corak atau warna pelangi. Tambahan pula diyakini bahawa penjual barangan tersebut tidak membawa ideologi gerakan songsang LGBT atau mempunyai kecenderungan ke arah fahaman mereka.

Kadang kala, kita mendapati baju bayi atau kanak-kanak yang dijual dengan warna pelangi. Hal ini kerana, pada usia yang masih kecil kanak-kanak mempunyai tarikan yang tinggi untuk mengenali jenis-jenis warna. Para penjual mengambil inisiatif menjual barangan berwarna pelangi bagi menarik minat perhatian pembeli.

Sekalipun begitu, jika mempunyai pilihan warna lain ketika membeli, maka dahulukanlah untuk membeli selain daripada warna pelangi. Hal yang demikian ekoran peningkatan jumlah penyokong gerakan songsang ini di Malaysia, yang semakin lama semakin giat menyebarkan doktrin mereka dengan melakukan demonstrasi atau perarakan agar masyarakat mengiktiraf ideologi mereka. Dapat dilihat di seantero dunia, gerakan ini menggesa masyarakat setempat untuk menerima ideologi songsang mereka dalam masyarakat, sedangkan ia amatlah bertentangan dengan fitrah biologi manusia dan juga syara‘.

Allah SWT berfirman:

فَاطِرُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَمِنَ الْأَنْعَامِ أَزْوَاجًا ۖ يَذْرَؤُكُمْ فِيهِ ۚ

Maksudnya: “Dia lah yang menciptakan langit dan bumi; Ia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkan-Nya (zuriat keturunan) kamu semua.”

(Surah al-Syura: 11)

Imam Ibn al-Jauzi ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan bahawa Allah SWT menciptakan bagi lelaki pasangan perempuan dari penciptaan yang sama (manusia), dan juga menciptakan bagi haiwan pasangan mereka daripada jantan dan betina. (Lihat Zad al-Masir, 4/60)

Jika dilihat dari sudut sains pula, pembiakan berlaku apabila adanya persenyawaan antara benih lelaki dan benih perempuan, iaitu dengan berlakunya persenyawaan antara sperma dan juga ovum sebelum membentuk zigot.

Kesimpulan

Kami katakan, membeli barangan yang mempunyai warna atau corak pelangi adalah harus selagi mana tidak membuka ruang-ruang fitnah. Jika diyakini akan terbukanya ruang fitnah, maka hukumnya adalah haram berdasarkan kaedah Sadd al-Zari‘ah (menutup pintu yang membawa kepada perkara yang diharamkan).

Akan tetapi, mengelakkan diri daripada membeli barangan yang mempunyai warna pelangi adalah langkah selamat bagi menjauhkan daripada tanggapan buruk masyarakat. Hal ini kerana, yang membezakan antara warna pelangi dan bendera LGBT hanyalah pengurangan sebuah warna, iaitu indigo (biru gelap). Dikhuatiri ada yang tersalah anggap bahawa si pemakai atau pembeli barangan berwarna pelangi memberikan sokongan dan solidariti terhadap gerakan LGBT ini. Ia juga bertujuan menjauhkan diri daripada termasuk dari golongan mereka yang disebutkan oleh Rasulullah SAW sebagai menyerupai sesuatu kaum. Telah diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.

Riwayat Abu Daud (4031) dan Ahmad (5114)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.”

(Surah al-‘Imran: 8)

Wallahu a‘lam

[1] Lihat https://outrightinternational.org/insights/flags-lgbtiq-community#:~:text=The%20colors%20included%20pink%20to,harmony%20and%20violet%20for%20spirit. Diakses 6 Julai 2023.

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *