#2155: Menipu Dalam Menunaikan Badal Haji

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan sindiket penipuan badal haji yang mana mereka memasuki Arafah tanpa permit dan mengambil gambar nama-nama yang dibadalkan itu secara silih berganti seolah-olah mereka melakukan badal haji untuk mereka. Apabila ditanya, mereka mengatakan bahawa mereka diupah untuk melakukan hal tersebut. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mewakilkan ibadah haji atau mengerjakan haji untuk orang lain dinamakan sebagai Badal Haji (upah haji). Imam al-Nawawi dalam syarahnya menyatakan, jumhur ulama berpendapat boleh untuk mewakilkan Haji ke atas orang yang telah meninggal dunia dan uzur yang tiada harapan untuk sembuh. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/27)

Begitu juga, Dr. Wahbah al-Zuhaili ada menyebutkan bahawa dibolehkan bagi seseorang itu untuk melakukan ibadah haji ke atas orang lain yang berada dalam keadaan uzur yang berpanjangan iaitu tubuh badannya tidak mampu untuk melakukan ibadah haji. Hal ini berkemungkinan kerana keadaannya yang sudah tua dan sakit yang tiada harapan untuk sembuh. Sedangkan dia berkemampuan dari segi harta untuk melakukan ibadah haji. Selain itu, tidak sah badal haji sekiranya tidak mendapat keizinan daripada tuan badannya sekiranya dia masih hidup. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/2098)

Hal ini adalah berdasarkan hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ الفَضْلُ رَدِيفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَجَاءَتِ امْرَأَةٌ مِنْ خَشْعَمَ، فَجَعَلَ الفَضْلُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا وَتَنْظُرُ إِلَيْهِ، وَجَعَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَصْرِفُ وَجْهَ الفَضْلِ إِلَى الشِّقِّ الآخَرِ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ فَرِيضَةَ اللَّهِ عَلَى عِبَادِهِ فِي الحَجِّ أَدْرَكَتْ أَبِي شَيْخًا كَبِيرًا، لاَ يَثْبُتُ عَلَى الرَّاحِلَةِ، أَفَأَحُجُّ عَنْهُ؟ قَالَ: «نَعَمْ»، وَذَلِكَ فِي حَجَّةِ الوَدَاعِ

Maksudnya: “Al-Fadhl membonceng tunggangan Rasulullah SAW, lalu datang seorang wanita daripada suku Khath‘am, lalu al-Fadhl melihat ke arah wanita tersebut, dan wanita itu melihat ke arahnya. Nabi SAW memalingkan wajah al-Fadhl ke sisi (arah) lain. Lalu wanita itu berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah mewajibkan ke atas para hamba-Nya untuk menunaikan haji. Aku mendapati bapaku seorang yang sudah tua, sehingga tidak mampu untuk menunggang haiwan tunggangan. Adakah aku boleh melaksanakan haji untuknya?’ Baginda bersabda: ‘Ya (boleh).’ Demikian (perkara ini) berlaku ketika Baginda melaksanakan haji wada‘.”

Riwayat al-Bukhari (1513)

Hadith di atas mengandungi penjelasan bahawa dibolehkan untuk melakukan badal haji bagi orang yang masih hidup tetapi telah tua dan tidak mampu lagi untuk menunaikan fardhu haji dengan sendiri. Ini merupakan pendapat Ibn al-Mubarak dan al-Syafi‘i. Di samping itu juga, ia mengandungi penjelasan bahawa seorang perempuan boleh menunaikan fardhu haji untuk pihak lelaki atau perempuan dan begitulah juga sebaliknya. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 1/637)

Oleh itu, jika wang yang dikumpulkan sudah mencukupi untuk menampung pembayaran ibadah haji, tetapi tidak dapat untuk melaksanakannya atas sebab keuzuran atau sakit yang tiada harapan untuk sembuh, maka dalam hal ini dia wajib untuk mengupah atau mewakilkan orang lain menunaikan haji bagi pihaknya. Begitu juga, disyaratkan kepada wakil atau orang yang hendak melakukan badal tersebut, mestilah sudah melakukan haji bagi dirinya. Hal ini adalah sebagaimana sebuah hadith daripada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمِعَ رَجُلًا يَقُولُ: لَبَّيْكَ عَنْ شُبْرُمَةَ، قَالَ: «مَنْ شُبْرُمَةُ؟» قَالَ: أَخٌ لِي – أَوْ قَرِيبٌ لِي – قَالَ: «حَجَجْتَ عَنْ نَفْسِكَ؟» قَالَ: لَا، قَالَ: حُجَّ عَنْ نَفْسِكَ ثُمَّ حُجَّ عَنْ شُبْرُمَةَ

Maksudnya: Nabi SAW mendengar seorang lelaki mengucapkan: “Labbaik ‘an Syubrumah (aku memenuhi panggilan-Mu, Ya Allah, atas nama Syubrumah.” Baginda SAW lantas bersabda: “Siapakah Syubrumah?” Dia menjawab: “Syubrumah ialah saudaraku.” — atau dia menjawab: “…kerabatku.” — Baginda SAW bertanya: “Adakah engkau sudah menunaikan haji untuk diri engkau sendiri?” Dia menjawab: “Belum.” Baginda SAW bersabda: “Tunaikanlah haji untuk diri engkau dahulu, kemudian barulah tunaikan haji bagi pihak Syubrumah.”

Riwayat Abu Dawud (1811) dan Ibn Majah (2903)

Menipu Dalam Menunaikan Badal Haji

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”

(Surah al-Anfal: 27)

Al-Maraghi menjelaskan akan larangan mengkhianati amanah sesama manusia dalam segala jenis urusan melibatkan urusan muamalat, akhlak dan aspek sosial. Begitu juga larangan mengkhianati pemerintah dalam perihal politik dan juga peperangan kerana perbuatan itu boleh memberi manfaat kepada pihak musuh. Justeru, dalam konteks larangan mengkhianati amanah sesama manusia, khianat terhadap amanah dalam pembelajaran dan pekerjaan turut dilarang oleh Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/191-194)

Secara umumnya, perbuatan menipu termasuk dalam perbuatan yang diharamkan serta pelakunya dianggap berdosa. Hal ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW melalui tempat timbunan makanan (yang dijual). Lalu Baginda memasukkan tangannya ke dalam timbunan tersebut. Tiba-tiba di dalamnya basah (rosak).  Maka Baginda bertanya: “Apa ini wahai tuan makanan?” Dia menjawab: “Ia terkena hujan, Wahai Rasulullah.” Baginda bersabda:

أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ، مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي

Maksudnya: “Kenapa kamu tidak meletakkannya di atas supaya orang ramai boleh melihatnya? Sesiapa yang menipu, maka dia bukan daripada kalanganku.”

Riwayat Muslim (102); Riwayat Ibn Hibban (4905) dan Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan bahawa sanad hadith ini sahih mengikut syarat Muslim.

Dalam riwayat Muslim yang lain datang dengan lafaz:

وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.”

Riwayat Muslim (101)

Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menukilkan daripada al-Khattabi, beliau menyebutkan bahawa hadith di atas bermaksud bukan berada di atas jalan dan mazhab kami (yakni panduan Nabi SAW). Dalam erti kata lain, sesiapa yang menipu saudaranya dan meninggalkan untuk menasihatinya, maka sesungguhnya dia telah meninggalkan petunjuk Baginda dan tidak berpegang dengan sunnah Baginda. Namun, terdapat sebahagian ulama berpendapat maksudnya ialah menafikannya daripada Islam. Akan tetapi takwilan ini tidak benar kerana makna yang dikehendaki daripada hadith tersebut ialah mengikuti panduan dan sunnah Nabi SAW. Hal ini dikuatkan lagi melalui firman Allah SWT:

فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي ۖ وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah daripada golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).”  

(Surah Ibrahim: 36)

Oleh itu, hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan bahawa haramnya pebuatan menipu dan perkara tersebut telah disepakati. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/231)

Diriwayatkan daripada Abdullah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Maksudnya: “Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berlaku jujur sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang jujur. Sesungguhnya pendustaan itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa kepada Neraka. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.”

Riwayat al-Bukhari (6094) dan Muslim (2607)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa hadith di atas mengandungi galakan kepada setiap insan untuk bersifat dengan sifat benar dan melaziminya, serta larangan daripada berdusta dan bermudah-mudah dengannya. Hal ini kerana jika terlalu bermudah-mudah dengan sifat menipu ini, lama kelamaan akan menjadi biasa — sehingga layak ditulis sebagai seorang penipu. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/160)

Justeru, dalam hal ini, perbuatan menipu badal haji merupakan perbuatan yang sangat keji kerana ia melibatkan penipuan dalam ibadah dan agama. Perbuatan menggunakan agama untuk mendapatkan kepentingan harta di dunia dan juga memakan harta manusia secara batil adalah perbuatan haram yang sangat ditegah dalam agama. Firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.”

(Surah al-Baqarah : 188)

Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya menyatakan bahawa umat Islam perlu menghormati harta orang lain seperti mana dia menghormati hartanya sendiri. Tidak dibenarkan untuk memiliki sesuatu harta tersebut dengan cara penipuan, riba, rasuah dan lain-lain yang menyalahi syariat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/374)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa badal haji adalah sesuatu yang dibolehkan sebagaimana syarat-syarat yang ditetapkan oleh syara’. Namun begitu, terdapat segelintir manusia yang mengambil kesempatan untuk menipu orang ramai dalam isu badal haji ini seperti meletakkan harga yang murah dan tidak menghadkan jumlah badal haji yang mereka iklankan. Hal ini jelas terdapat keraguan pada penganjuran tersebut kerana ia sangat tidak masuk akal dengan kos sebenar haji beserta dengan peraturan yang sangat ketat daripada Kerajaan Arab Saudi.

Justeru, kami menasihatkan kepada orang ramai supaya berhati-hati dalam memilih orang atau pihak yang melakukan badal haji. Sekiranya harga badal haji yang ingin dilakukan itu tidak masuk akal seperti terlalu murah daripada harga sebenar haji atau pembuat badal haji itu diragui oleh waris yang ingin mewakilkan haji tersebut, maka tinggalkanlah urusan tersebut sehingga waris benar-benar menjumpai orang yang amanah dalam menunaikan badal haji tersebut. Hal ini sesuai dengan kaedah yang diambil daripada riwayat Hasan bin Ali R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan.”

Riwayat al-Tirmizi (2708)

Ibn Daqiq al-‘Id berkata maksud yang meragukan kamu ialah: “Tinggalkan sesuatu yang menjadikan kamu ragu-ragu dan gantikanlah kepada perkara yang tidak meragukan.” (Lihat Syarh al-Arba’in al-Nawawiah, hlm. 61)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *