#2199: Kehebatan Ulama Seperti Tawus Dalam Berhujah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya pernah dengar kisah percakapan Tawus al-Yamani dengan Khalifah Hisyam yang cukup tegas. Boleh kisahkan kepada kami. Ceritakan sedikit pandangan Imam al-Ghazali.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sikap Tawus Al-Yamani Terhadap Khalifah Hisyam

Suatu ketika khalifah Hasyim bin Abdul Malik telah datang ke tanah suci Makkah untuk menunaikan ibadah haji. Setibanya di Mekah, dia berkata: “Bawalah kepadaku seorang lelaki dar sahabat Rasulullah SAW. Lalu dikatakan: “Mereka semuanya telah mati”. Maka ia berkata: “Dari kalangan tabi’in pula”.

Lantas dibawakan kepadanya Tawus Al-Yamani seorang ulama’ besar (rahimahumullah). Semasa dia masuk menemui Hisyam bin Abdul Malik, dia melucuti seliparnya di tepi hamparan Hisyam, tidak bersalam kepadanya dan tidak menyebut perkaraan ‘Amirul Mukminin’ tetapi dia hanya berkata: “Assalamu’alaikum, wahai Hisyam” tanpa menyebut gelarannya dan terus duduk di sampingnya sambil berkata: “Apa khabar wahai Hisyam?”

Lantaran itu Hisyam sangat murka sehingga hendak dibunuhnya. Lalu dia berkatalah kepadanya: “Engkau sedang berada di Tanah Haram Allah dan di Tanah Haram Rasulullah SAW. Itu tidak mungkin sebegitu…

Lantas dia berkata: “Wahai Tawus! Apakah yang menyebabkan kamu berbuat begini?”

Tawus menjawab: “Apakah yang telah aku buat?”

Hisyam semakin marah lalu berkata: “Kamu melucutkan seliparmu di tepi hamparanku, kamu tidak mencium tanganku, kamu tidak bersalam denganku, kamu tidak menyebut Amirul Mukminin, kamu tidak menyebut gelaranku, kamu duduk di sampingku tanpa izin daripadaku dan kamu berkata: “Apa khabar wahai Hisyam?”

Tawus menjawab: “Adapun mengenai perbuatanku melucuti seliparku di tepi hamparanmu, kerana kebiasaanku melucutinya di hadapan Rabbul Izzati pada tiap-tiap hari sebanyak lima kali, tetapi Dia tidak pun menyiksa aku dan murka kepadaku.

Adapun katamu: “Kamu tidak mencium tanganku, kerana aku telah mendengar Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib RA berkata:

لَا يَحِلُّ لِرَجُلٍ أَنْ يُقَبِّلَ يَدَ أَحَدٍ، إِلَّا امْرَأَتَهُ بِشَهْوَةٍ أَوْ وَلَدَهُ بِرَحْمَةٍ.

Maksudnya: “Tidak halal bagi seorang laki-laki mencium tangan sesiapa pun kecuali isterinya dengan syahwat ataupun anaknya lantaran rahmat.” (Lihat Fasl al-Khitab fi al-Zuhd wa al-Raqa’iq wa al-Adab, 9/120)

Adapun katamu: “Memberi salam tanpa menyebut Amirul mukminin’. Kerana tidak semua manusia redha mengaku pemerintahan kamu, sedangkan aku benci untuk berdusta.”

Adapun katamu: “Engkau tidak menyebut gelaranku sedangkan Allah SWT telah memanggil Nabi-nabiNya dan kekasihnya semasa berfirman: “Wahai Daud, wahai Yahya dan wahai Esa, dia menyebut gelaran musuh-musuhnya semasa berfirman: “Binasa kedua tangan Abu Lahab.”

Adapun katamu: “Kamu duduk di sampingku. Sesungguhnya aku telah mendengar Amirul Mukminin Ali Ibn Abi Talib berkata: “Apabila engkau hendak melihat seorang dari ahli neraka, lihatlah hanya dia seorang sahaja yang duduk sementara orang lain di sekelilingnya berdiri.”

Hisyam bin Abdul Malik berkata: “Nasihatilah aku.”

Tawus pun berkata: “Aku telah mendengar Amirul Mukminin Ali bin Abu Talib RA berkata: “Sesungguhnya di dalam neraka ada banyak ular seperti puncak gunung dan banyak kala jengking laksana Baghal (binatang kacuk dari kuda dan himar) yang sentiasa mematuk dan menyengat setiap penguasa yang tidak adil terhadap rakyatnya.”

Kemudian Tawus terus bangun dan beredar pergi.

Kemudian Imam Al-Ghazali menyebut di dalam tajuk ini dalam bukunya Ihya Ulumuddin: Tidak harus menemui pemerintah melainkan dengan dua alasan :

  • Alasan Pertama:

Mereka dipaksa masuk menghadapi pemerintah, bukan untuk memuliakannya tetapi kerana beberapa muslihat. Ulama’ itu tahu sekiranya dia tidak datang menghadap mereka, ulama’ itu akan disiksa, diganggu atau disakiti atau merosakkan taat rakyat kepada mereka dan mencetuskan huru hara politik terhadap mereka. Dalam keadaan begini, ulama’ harus menemui pemerintah yang memanggilnya, bukan kerana taat kepada mereka, tetapi untuk memelihara kepentingan rakyat, supaya pemerintahan tidak menjadi kacau bilau.

  • Alasan Kedua:

Ulama’ masuk menemui pemerintah untuk membela seorang muslim yang teraniaya ataupun membela dirinya sendiri dari kezalimannya. Dengan itu dia boleh mengkritik atau mengadukan perkara itu. Itu merupakan satu kelonggaran (rukhsah) dengan syarat tidak berdusta dan tidak menyanjung-nyanjung mereka. Semasa menemui mereka, ulama’ itu mestilah memberi nasihat yang mungkin diterima oleh mereka. Itulah alasan-alasan yang mesti diperhitungkan apabila ulama’ hendak memasuki majlis para pemerintah. (Lihat Ihya Ulumuddin, 6/5)

Sebahagian para ulama’ salafussaleh di zaman Islam yang lalu, tidak mahu menemui pemerintah kerana memelihara kesucian diri mereka, kerana zuhud dari dunia dan menjauhkan diri mereka dari segala syubahat (perkara yang samar-samar) yang tidak tentu haramnya, ataupun kerana menunjukkan keteguhan dan kekuatan iman serta sikap mereka terhadap pemerintah. Di antara mereka ialah Al-Imam Sa’ed bin Musaiyib di hadapan Khalifah Abdul Malik bin Marwan. (Lihat Islam Di Antara Ulama dan Pemerintah, hlm. 281-285)

Dengan ini fahamlah kita betapa haibahnya ulama zaman dahulu yang berani dan cintakan kebenaran. Walaupun mereka hadapi celaan orang-orang yang mencela, mereka tetap berpegang dengan prinsip dan takutkan Allah SWT. Merekalah yang disebut oleh Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚ ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.

Surah al-Maidah (54)

Akhir kalam marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *