#2249: Mengganti Harta Seseorang dengan Harga Asal atau Harga Semasa

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, jika seseorang itu merosakkan barang orang lain, adakah dia perlu membayar harga asal barang tersebut, atau menggantikan barang tersebut mengikut harga semasa barang tersebut?

Sebagai contoh, Ali rosakkan telefon Abu yang berharga RM1000. Namun, harga telefon Abu di pasaran terkini adalah RM700. Adakah Ali perlu membayar RM1000 kepada Abu, atau membelikan untuknya telefon yang sama dengan harga RM700 (harga pasaran semasa)? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Harta setiap daripada kita merupakan hak eksklusif peribadi yang tidak boleh digunakan oleh orang lain melainkan dengan izin dan redha. Bahkan syara‘ mengharamkan perbuatan mengambil hak muslim yang lain dengan menjanjikan azab seksa api neraka bagi pelakunya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Kemudian Allah SWT berfirman dalam ayat seterusnya:

وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ عُدْوَانًا وَظُلْمًا فَسَوْفَ نُصْلِيهِ نَارًا ۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرًا

Maksudnya: “Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka. dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya).”

(Surah al-Nisa’: 30)

Imam Ibn Kathir mengatakan, siapa yang mengerjakan perkara yang telah Allah larang dengan sengaja secara zalim, sedangkan dia tahu akan pengharaman tersebut tetapi sengaja mengambil risiko dengan melakukannya, Allah SWT berfirman: “maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka.” Ini merupakan amaran yang dahsyat dan ancaman yang pasti. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/237)

Larangan mengambil hak orang lain ini juga thabit dalam hadith, seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hamid al-Sa‘idi R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَاللَّهِ لَا يَأْخُذُ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنْهَا شَيْئًا بِغَيْرِ حَقِّهِ، إِلَّا لَقِيَ اللهَ تَعَالَى يَحْمِلُهُ يَومَ القِيَامَةِ

Maksudnya: “Demi Allah, tidaklah seseorang daripada kamu mengambil sesuatu yang bukan haknya melainkan dia akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat kelak dengan membawa barang tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (6979) dan Muslim (1832)

Diriwayatkan daripada Abu Bakrah Nafi‘ bin al-Harith R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ، وَأَمْوَالَكُمْ، وَأَعْرَاضَكُمْ، بَيْنَكُمْ حَرَامٌ، كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا، فِي شَهْرِكُمْ هَذَا، فِي بَلَدِكُمْ هَذَا

Maksudnya: “Sesungguhnya darahmu, hartamu dan kehormatanmu terpelihara antara sesama kamu sebagaimana terpeliharanya hari ini, bulan ini dan negerimu ini.”

Riwayat al-Bukhari (67) dan Muslim (1679)

Menjawab persoalan yang ditanyakan, sebetulnya adalah mengganti semula barang yang dirosakkan tersebut atau menggantikannya semula mengikut harga semasa.

Imam al-Syafi‘i menyatakan, sekiranya seseorang merampas sesuatu barangan makanan daripada orang lain sama ada sebutir bijian, sebiji tamar atau barang masakan, kemudian dia memakannya, maka dia perlu membayar ganti rugi dengan sesuatu yang sejenis dengannya. Sekiranya dia tidak memperoleh ganti yang sejenis, maka perlu membayar dengan nilai yang setara dengannya. (Lihat al-Umm, 3/259)

Disebutkan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah bahawa tiada sebarang perbezaan pendapat bahawa jika seseorang itu merosakkan harta, dan jika harta tersebut mithliy (مِثْلِيٌّ) yakni ada gantiannya yang serupa, maka dia wajib menggantinya. Jika harta tersebut qimiy (قِيمِيٌّ) yakni tidak ada gantian yang serupa tetapi mempunyai nilai khusus, dia wajib membayar berdasarkan nilai tersebut. Begitu juga, kita tidak mengetahui sebarang perbezaan pendapat bahawa menganggarkan nilai mengambil kira tempat berlakunya kerosakan tersebut.

Jika barang yang rosak tersebut mithliy (ada gantiannya yang serupa), tetapi dia tidak menjumpai orang yang menjualnya di pasaran, maka dia boleh menukarkan gantian dalam bentuk wang. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 1/226)

Dapat difahami bahawa, jika seseorang itu merosakkan barang orang lain, maka dia perlu menggantikan barang tersebut dengan membelinya (mengikut harga pasaran semasa) dan memberikan barang tersebut kepada pemiliknya, atau membayar semula kepada pemiliknya dengan nilai yang setara dengan nilai semasa barang tersebut di tempat berlakunya kerosakan tersebut.

Peristiwa begini juga pernah berlaku pada zaman Rasululllah SAW. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Saidatina ‘Aisyah R.Anha, katanya: “Aku belum pernah melihat orang yang pandai memasak makanan seperti Safiyyah. Dia memasakkan makanan untuk Rasulullah SAW dan hantarkan kepadanya. Lalu perasaan marah kerana cemburu menyelubungiku maka aku pecahkan bekas makanan tersebut.” Apabila ‘Aisyah memohon maaf atas perbuatannya kepada Rasulullah SAW, beliau bertanya: “Apakah kafarah (ganti) bagi perbuatanku itu?”, Baginda SAW bersabda:

إِنَاءٌ مِثْلُ إِنَاءٍ وَطَعَامٌ مِثْلُ طَعَامٍ

Maksudnya: “Bekas bersamaan dengan bekas, makanan bersamaan dengan makanan.”

Riwayat Abu Dawud (3568), al-Nasa’ie (3957) dan Ahmad (25155)

Kesimpulan

Kami katakan, jika seseorang itu merosakkan barang orang lain, wajib ke atasnya mengganti semula barang tersebut. Terdapat 2 cara untuk mengganti semula:

  • Menggantikan dengan barang yang sama jenis.
  • Menggantikan dengan nilai yang setara dengan barang tersebut.

Justeru kami katakan, dalam isu seperti ini hendaklah ikut kepada harga semasa kerana itu yang lebih tepat. Jika mungkin ada yang seumpamanya dan pemilik barang tersebut mahukan ia diganti dengan barang, maka boleh diganti dengan yang seumpamanya.

Begitu juga dalam hal ini, perbincangan yang harmoni antara kedua-dua pihak adalah penting. Sebaiknya, ia diputuskan oleh orang yang memahami akan nilai sebenar barang tersebut, dan ini jauh lebih baik agar kedua-duanya boleh berpuas hati.

Akhir kalam, banyakkan tasamuh dan toleransi, semoga ikatan ukhuwwah akan bertambah utuh dan teguh antara keduanya. Marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *