#2401: Kelebihan Bagi Sesiapa Yang Menunggu Waktu Solat

Soalan:

Assalamualaikum wbt Dato saya ingin bertanya, adakah terdapat fadhilat  bagi seseorang yang menunggu waktu solat selepas solat di masjid ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT dengan :

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang.”

(Surah al-Baqarah:43)

Solat merupakan salah satu ibadah penting dalam kehidupan seorang Muslim. Dalam rukun Islam, solat berada pada kedudukan kedua setelah mengucapkan dua kalimah syahadah.

Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Amru bahawa Rasulullah bersabda:

بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ ، شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ، وَالْحَجِّ ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam terbina atas lima perkara: penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, dan menunaikan haji ke baitullah bagi yang mampu.”

Riwayat Bukhari(7)

Menjawab bagi persoalan di atas terdapat banyak kelebihan bagi sesiapa yang menunggu waktu solat  sepertimana yang telah dinyatakan dalam hadith antaranya ialah sepertimana yang berikut :

  1. Allah mengampunkan dosa orang yang menunggu solat

Diriwayatkan daripada Abu Hurairahh R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إسباغُ الوُضوءِ على المَكارِهِ إعمالُ الأَقدامِ إلى المساجدِ، وانتِظارُ الصَّلاةِ بعدَ الصَّلاةِ

Maksdunya: Perkata yang dapat menghapuskan dosa adalah menyempurnakan wuduk di saat yang tidak disukai, melangkahkan kaki menuju ke masjid dan menunggu solat selepas solat.

Riwayat Muslim(251)

  1. Dikira sebagai solat sehingga tiba waktu solat

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW:

فإذا دخلَ المسجدَ كانَ في صلاةٍ ما كانتِ الصَّلاةُ هيَ تحبسُه

Maksudnya: jika ia telah masuk masjid, maka ia dihitung dalam solat selama ia menunggu solat.

Riwayat Bukhari(648)

  1. Allah memuji di hadapan para malaikat

Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Amru bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أبشِروا هذا ربُّكم قد فتح بابًا من أبوابِ السَّماءِ، يُباهي بكم الملائكةَ، يقولُ: انظُروا إلى عبادي، قد قضَوْا فريضةً، وهم ينتظِرون أخرى

Maksudnya: Berilah khabar gembira, Tuhanmu telah membuka pintu-pintu langit, Dia membanggakan kalian di hadapan para malaikat, Allah berfirman : Perhatikanlah hambaku, mereka selesai menunaikan fardhu, namun mereka tetap menunggu fardhu yang lain.

Riwayat Ibn Majah (801)

  1.     Para malaikat mendoakan sesiapa  yang duduk di masjid menunggu solat

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.Anhu bahawa Rasulullah saw bersabda :

إنّ المَلائِكَةَ تُصَلِّي على أحَدِكُمْ ما دامَ في مَجْلِسِهِ، تَقُولُ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ له، اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ، ما لَمْ يُحْدِثْ، وأَحَدُكُمْ في صَلاةٍ ما كانَتِ الصَّلاةُ تَحْبِسُهُ

Maksudnya: Para malaikat akan mendoakan salah seorang diantara kalian selama ia masih di tempat solatnya, mereka , memohon: Ya Allah ampunilah dia, Ya Allah rahmatilah dia sebelum ia belum berhadas. Salah seorang diantara kalian dihitung dalam solat selagi mana ia menunggu waktu solat.

Riwayat Muslim(649)

Hadith-hadith di atas menunjukkan kelebihan dan keistimewaan diberikan bagi sesiapa yang menunggu waktu solat. Justeru kami katakan didiklah diri supaya sentiasa menunggu waktu solat agar dapat solat diawal waktu disamping mengejar ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam beribadat kepadanya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua’lam

Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *