#2402: Penyelesaian Perceraian Mengikut Ibn Sina

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami bagaimana isu perceraian di Malaysia dari segi statistiknya dan pendapat Ibn Sina serta tokoh tersebut?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah dia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskannya (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Imam al-Mawardi menyebut dalam tafsirnya: “(Antara tafsir ayat ini) bahawa ia menerangkan bilangan talak dan penentuannya dengan tiga kali, dan bahawa lelaki itu memiliki hak rujuk pada dua talak dan tidak pula memilikinya pada talak ketiga. Inilah pendapat `Urwah dan Qatadah.” (Lihat al-Nukat wa al-‘Uyun, 1/293)

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.” 

Riwayat Abu Daud (2178) dan Ibn Majah (2018)

Hadith ini menunjukkan bahawa terdapat pada perkara yang halal itu, perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah SWT dan perkara yang paling dimurkai oleh Allah SWT adalah talak. Ia menjadikannya sebagai kiasan bahawa perkara tersebut tidak mendapat pahala serta perbuatannya itu tidak mendekatkan pelakunya kepada Allah SWT. Sebahagian ulama’ membuat contoh lain bagi perkara halal yang dimurkai oleh Allah SWT adalah solat fardhu yang dilakukan selain daripada masjid (iaitu tidak berjemaah di masjid bagi lelaki) tanpa keuzuran. Hadith ini juga menjadi dalil bahawa sebaiknya jauhilah diri daripada terjatuh dalam perbuatan talak ini selagimana terdapat padanya keluasan (ruang-ruang untuk tidak menceraikan). (Lihat Subul al-Salam, 2/247-248)

Isu perceraian sering menjadi berita dalam akhbar-akhbar tempatan. Masyarakat pula seolah-olah sudah lali dengan kes-kes perceraian yang dilaporkan. Melihat tajuk-tajuk berita seperti “Perceraian Akibat Perkara Remeh-Temeh Membimbangkan” (Berita Harian, 2016), “Basuh Baju Tengah Malam Punca Cerai?” (Berita Harian, 2018) atau “Kes Perceraian di Malaysia Rekodkan Peningkatan Luar Biasa” (Sinar Harian, 2021) mengundang kerisauan tentang masa depan institusi keluarga yang seharusnya menjadi pemangkin dalam usaha melahirkan masyarakat sejahtera.

Statistik perceraian di Malaysia menunjukkan peningkatan angka saban tahun. Dalam tahun 2012-2014, sebanyak 92,678 pasangan Islam di seluruh negara mendaftarkan perceraian, antara mereka ada yang berkahwin kurang datipada lima tahun (Utusan Online, 2016). Sepanjang tahun 2014-2017 pula, Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan purata kes perceraian bagi pasangan Islam adalah sebanyak 50,978 kes setahun. Lebih menyedihkan, sebanyak 66,440 kes cerai didaftarkan sepanjang tempoh pandemik COVID- 19 bermula Mac 2020 hingga Ogos lalu (Berita Harian, 2021). Berdasarkan kenyataan Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, pada masa ini purata 121 permohonan cerai membabitkan pasangan difailkan dalam tempoh sehari (Berita Harian Online, 2021). Islam

Peningkatan kes perceraian dalam masyarakat Islam tidak boleh dipandang ringan kerana ia akan menjejaskan pertumbuhan individu dan keluarga sejahtera yang diperlukan oleh umat Islam. Keluarga berfungsi sebagai agen sosialisasi yang terpenting dalam masyarakat bagi menyalurkan nilai-nilai positif kepada generasi seterusnya (Rohana Yusof, 2014). Menurut Nur Zahidah Jaafar dan Raihanah Azahari (2011), “…keharmonian masyarakat bermula daripada institusi keluarga yang mampu mewujudkan ketenangan dan kemantapan hidup bersama berasaskan kepada hubungan baik dan rasa kasih sayang antara satu sama lain.” Pendek kata, masyarakat yang harmoni mestilah terbina dari institusi keluarga yang bahagia dan harmoni.

Menyedari peranan penting keluarga dalam masyarakat, para imuan Islam tampil membicarakan tentang keperluan untuk membentuk keluarga sejahtera. Ibn Sina merupakan salah seorang daripada para ilmuan Islam yang turut membincangkan tentang hal tersebut. Pandangan beliau tentang peranan dan sistem kekeluargaan Islam ada dikemukakan dalam beberapa karya yang telah beliau hasilkan seperti kitab al-Siyasah, al-Shifa’ dan al-Qanun Sehubungan dengan itu, kertas ini akan membincangkan tentang pandangan Ibn Sina berkenaan masalah perceraian yang mengancam kesejahteraan keluarga dan masyarakat. Walau bagaimanapun, perbincangan ini hanya berkisar mengenai pandangan beliau yang terkandung dalam kitab al-Shifa’ sahaja.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan pada November 2022, perceraian dalam kalangan pasangan Islam menurun sebanyak 16.4 peratus, iaitu 31,650 pada 2021 berbanding 2020 sebanyak 37,853 kes.

Walau bagaimanapun, berlaku peningkatan 30.4 peratus melibatkan perceraian dalam kalangan pasangan bukan Islam, sebanyak 12,284 kes pada 2021 berbanding 9,419 pada tahun sebelumnya.

Walaupun mungkin berlaku penurunan, namun ia masih satu jumlah yang besar.

Biografi Ringkas Ibn Sina

Nama Ibn Sina sudah tidak asing lagi dalam dunia Islam Ketokohan beliau dalam pelbagai bidang ilmu menyebabkan beliau digelar sebagai Syaikh al-Ra’is. Beliau dikenali di Barat sebagai Avicenna, malah orang-orang Barat turut menggelamnya sebagai Aristotle Baru’ (Hasan Langgulung, 1981), Ibn Sina hidup antara penghujung kurun ke-10 dan permulaan kurun ke-11 (Muhamed Asimov, 1986). Namun, sehingga sekarang karya-karya yang telah beliau hasilkan masih lagi menarik perhatian para pengkaji dari seluruh dunia.

Nama sebenar Ibn Sina ialah ialah Abu ‘Ali al-Husain bin Abdullah bin Sina. Beliau telah dilahirkan pada 16 Ogos 980M di perkampungan Afshanah, berhampiran Bukhara. Bapa beliau ialah Abdullah yang menetap di Balkh telah berhijrah ke wilayah Khurmaythan untuk berkhidmat sebagai gabenor kepada pemerintah dari Dinasti Samanid bernama Nuh bin Mansur. Ibu beliau bernama Sitarah dan berasal dari Afshanah (Muhamed Asimov, 1986).

Kedua orang tua Ibn Sina telah berusaha untuk menyediakan pendidikan dan guru-guru yang terbaik buat beliau. Ketika usia beliau belum mencapai 10 tahun, Ibn Sina telah menghafal keseluruhan al-Quran (Goodman, 2006). Ibn Sina telah mempraktikkan ilmu perubatan ketika berusia 17 tahun dan berjaya merawat penyakit yang dihidapi oleh pemerintah pada masa itu, Nuh bin Mansur. Sebagai balasan, beliau dapat memasuki perpustakaan di istana dan membaca buku-buku yang tidak pernah dilihat oleh orang lain. Ketika berusia 18 tahun, beliau mendakwa telah membaca keseluruhan buku-buku tersebut dan menguasai kandungannya (McGinnis, 2010).

Sepanjang hayat beliau, Ibn Sina sangat mencintai ilmu pengetahuan dan sentiasa sibuk menulis. Kesibukan Ibn Sina digambarkan seperti berikut “… He worked at all times and in conditions. He wrote or dictated his works day and night, in prison or on his travels, even on horseback” (Muhamad, 1980). Ibn Sina meninggal dunia ketika berumur 58 tahun dan dikebumikan di Hamazan, Iran (Goodman, 2006). Walaupun umur beliau tidak panjang tetapi Ibn Sina telah meninggalkan banyak khazanah ilmu pengetahuan yang berharga buat umat Islam. Beliau telah berkongsi pengetahuan dan pengalaman hidupnya dengan menulis karya-karya yang hebat. Menurut McGinnis (2010), hampir 300 karya penulisan telah disandarkan kepada Ibn Sina.

Pandangan Ibn Sina Terhadap Perceraian

Dalam karya beliau al-Shifa’, Ibn Sina ada menulis topik FiAqd Al-Madinah Wa ‘Aqd Al-Bayt, Wa Huwa Al-Nikah Wa Al-Sunan Al- Kalliyyah Fi Dzalik (Berkenaan Pembentukan Negara dan Pembentukan Rumahtangga, iaitu Nikah dan Peraturan-Peraturan Umum Mengenai Perkara Tersebut) (Ibn Sina, 1997). Kewujudan topik ini dalam penulisan beliau menggambarkan bahawa Ibru Sina sangat mengambil berat dengan urusan perkahwinan (al-nikah) sama seperti beliau melihat kepentingan membentuk negara. Ini kerana Ibn Sina berpandangan bahawa perkahwinan yang menepati syariat adalah kunci bagi pembentukan keluarga yang akan menjadi rukun utama dalam pembentukan sesebuah negara (adhalu arkan al-madinah) (Ibn Sina, 1997).

Oleh yang demikian, tidak menghairankan apabila Ibn Sina menyatakan rasa tidak senang terhadap perceraian sebagaimana yang dapat dilihat dalam kenyataannya yang dipetik dari Al-Syifa (al-Ilahiyyat), halaman 449 sebagaimana berikut:

وَيَجِبُ أَنْ يُؤَكِّدَ الأَمْرَ أَيْضًا فِي ثُبُوتِ هَذِهِ الوُصْلَة، حَتَّى لَا يَقَعَ مَعَ كُلِّ نَزْقٍ فُرْقَةً، فَيُؤَدِّي ذَلِكَ إِلَى تَشَتُّتِ الشَّمْلِ الجَامِعِ لِلْأَوْلَادِ وَوَالِدِيْهِمْ، وَإِلَى تَجَدُّدِ احْتِيَاجِ كُلِّ إِنْسَانٍ إِلَى المُزَاوَجَةِ وَفِي ذَلِكَ أَنْوَاعٌ مِنَ الضَّرَرِ كَثِيْرَة

Maksudnya: “Dan perlu ada perintah untuk meneguhkan hubungan perkahwinan, sehingga tidak berlaku perpisahan apabila berlaku perselisihan, hal yang demikian menyebabkan putusnya hubungan (suami isteri) yang menyatukan anak-anak dengan kedua ibu bapanya, dan menyebabkan timbulnya keinginan dalam diri insan untuk sering berkahwin, keadaan yang sedemikian boleh mendatangkan banyak keburukan.”

Berdasarkan petikan di atas, Ibn Sina berpandangan perlu ada tindakan dari pihak berkuasa supaya dapat menghindarkan perceraian antara suami isteri apabila berlaku perselisihan antara mereka. Begitu juga, beliau melihat perlu ada usaha untuk mengukuhkan ikatan perkahwinan antara pasangan yang telah berkahwin supaya mereka tidak memilih perpisahan yang boleh menjejaskan kesejahteraan diri dan keluarga.

Kenyataan Ibn Sina itu juga menunjukkan bahawa amal penting untuk mempertahankan rumahtangga yang telah dibin melalui perkahwinan. Adalah lumrah berlakunya perselisihan antara suami isteri dalam melayari kehidupan berumahtangg Walau bagaimanapun, perselisihan kecil boleh menjadi lebih besar sekiranya tidak segera ditangani dan dibiarkan berlarutan sehingga mampu menjejaskan kesejahteraan rumahtangga. Tindakan dan pendekatan yang dipilih oleh pasangan suami isteri dalam menyelesaikan masalah antara mereka akan menentukan masa depan rumahtangga yang telah dibina. Dapatan kajian-kajian yang lepas menunjukkan, sikap pasangan suami isteri semasa menguruskan krisis rumahtangga turut menyumbang kepada berlakunya perceraian (Fadilah Ismail, 2016).

Sekiranya pasangan suami isteri tidak berusaha untuk menyelamatkan perkahwinan, sudah pastilah perceraian akan menjadi pilihan untuk menamatkan krisis rumahtangga. Keadaan inilah yang sedang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini apabila suami atau isteri memilih perceraian sebagai jalan mudah untuk keluar dari konflik rumahtangga (Ahmad Hariri Mohd Saad & Raihanah Azahari, 2014).

Dalam usaha mengelakkan perceraian, Ibn Sina menyarankan pasangan suami isteri supaya saling berunding demi mengatasi masalah yang dihadapi (Ibn Sina, 1997). Beliau juga menjelaskan, sekiranya usaha mendamaikan kedua pihak tidak berjaya dan hanya mendatangkan kemudaratan, pada masa itu barulah perceraian dibenarkan. Menurut Zainal Abidin Ahmad (1979), Ibn Sina menyatakan tiga keadaan yang membolehkan perceraian berlaku:

  • Suami dan isteri mempunyai tabiat yang sangat bertentangan dan saling membenci. Hal ini mungkin menyebabkan pasangan menjalin hubungan dengan orang lain dan membawa kepada keburukan.
  • Pasangan yang berkahwin tidak sekufu sehingga menyebabkan berlakunya perselisihan dan hubungan yang tidak baik antara suami isteri.
  • Suami dan isteri tiada keinginan untuk melakukan hubungan intim dan mengembangkan keturunan.

Walaupun perceraian dibenarkan atas sebab-sebab tertentu, Ibn Sina berpandangan ia masih perlu dikawal supaya tidak dipandang ringan oleh masyarakat. Oleh kerana itulah, Ibn Sina menggesa pemerintah atau pihak yang mempunyai autoriti mewujudkan peraturan yang ketat berkaitan perceraian. Sikap Ibn Sina ini menunjukkan ketegasannya dalam menegakkan syariat Islam bagi membendung perceraian. Apa yang jelas, perceraian sememangnya tidak digalakkan oleh Islam. Perceraian adalah jalan terakhir untuk mencari penyelesaian bagi masalah rumah tangga dan perlu dilakukan dengan baik. (Lihat Pemerkasaan Islam Dalam Keluarga Malaysia, hlm. 250-256)

Kami katakan nasihat Ibn Sina serta syor yang diberikan amat sesuai dilaksanakan oleh sesebuah kerajaan untuk memastikan keutuhan institusi rumah tangga. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *