Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum ada gambaran anjing (hanya bentuk badan tanpa pendetailan) pada karpet? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, majoriti ulama dalam kalangan sahabat, tabi‘in termasuklah imam empat mazhab berpendapat, boleh untuk menggunakan tilam dan permaidani yang terdapat padanya gambar makhluk bernyawa seperti manusia dan binatang, jika ia menjadi tempat yang dipijak dan dihina, dan bukannya digantung atau dipamerkan. Mereka beristidlal bagi perkara tersebut berdasarkan hadith daripada riwayat Aisyah R.Anha, katanya:

دَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ، وَقَدْ سَتَرْتُ سَهْوَةً لِي بِقِرَامٍ فِيهِ تَمَاثِيلُ (وَفِي رِوَايَةٍ: فِيهِ الْخَيْلُ ذَوَاتُ الْأَجْنِحَةِ) فَلَمَّا رَآهُ هَتَكَهُ وَتَلَوَّنَ وَجْهُهُ وقالَ: يَا عَائِشَةُ أَشَدُّ النَّاسِ عَذَابًا عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، الَّذِينَ يُضَاهُونَ بِخَلْقِ اللَّهِ (وَفِي رِوَايَةٍ: إِنَّ أَصْحَابَ هَذِهِ الصُّوَرِ يُعَذَّبُونَ، وَيُقَالُ لَهُمْ: أَحْيُوا مَا خَلَقْتُمْ، ثُمَّ قَالَ: إِنَّ الْبَيْتَ الَّذِي فِيهِ الصُّوَرُ لَا تَدْخُلُهُ الْمَلَائِكَةُ) قَالَتْ عَائِشَةُ: فَقَطَعْنَاهُ فَجَعَلْنَا مِنْهُ وِسَادَةً أَوْ وِسَادَتَيْنِ فَقَدْ رَأَيْتُهُ مُتَّكِئًا عَلَى إِحْدَاهُمَا وَفِيهَا صُورَةٌ

Maksudnya:Rasulullah SAW masuk menemuiku, dan aku pun mengambil kain bergambar dan saat itu aku telah menutup pangkin menggunakan tirai milikku yang terdapat padanya lukisan. (Dalam riwayat lain: Padanya terdapat gambar kuda yang memiliki sayap). Ketika Rasulullah SAW melihatnya, Baginda menanggalkannya dengan keras dan berubah wajahnya lalu bersabda: ‘Manusia paling keras seksaannya di sisi Allah pada hari kiamat ialah orang-orang yang cuba menyamai ciptaan Allah.’ (Dalam riwayat lain: Sesungguhnya pemilik gambar-gambar ini diazab, dan dikatakan kepada mereka: Hidupkanlah apa yang kamu ciptakan. Kemudian Baginda bersabda: Sesungguhnya rumah yang terdapat padanya gambar-gambar tidak dimasuki Malaikat). Aisyah berkata: ‘Lalu kami memotongnya dan menjadikan daripadanya  bantal atau dua bantal. Sesungguhnya aku melihat Baginda bersandar pada salah satu bantal itu dan padanya terdapat gambar.’

Riwayat al-Bukhari (5954, 6109); Muslim (2107) secara ringkas; al-Nasa’i (5357) dan Ahmad (26146) dengan sedikit perbezaan lafaz.

Dalam hadith lain, daripada riwayat Abu Hurairah R.A secara marfu‘ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أتاني جِبريلُ، فقالَ: إنِّي كُنتُ أتيتُك البارِحةَ، فلم يَمنَعْني أن أكونَ دخَلتُ علَيكَ البَيتَ الَّذي كُنتَ فيهِ، إلّا أنّهُ كان على البابِ تماثيلُ، وكانَ في البيتِ قِرامُ سِترٍ فيهِ تماثيلُ، وكان في البَيتِ كلبٌ، فمُرْ برأسِ التمثالِ الَّذي في البيتِ فليُقْطَعْ، فيصيرُ كهيئةِ الشَّجرةِ، ومُرْ بالسِّترِ فليُقْطَعْ، فيُجْعَلَ وسادتيْنِ مَنبوذتيْنِ تُوطئانِ، ومُرْ بالكلبِ فليُخْرَجْ.

Maksudnya: “Jibril datang menemuiku, lalu dia berkata: ‘Sesungguhnya aku telah datang kepadamu malam tadi, dan tidak ada yang menghalangku daripada masuk menemuimu dalam rumah yang kamu berada di dalamnya melainkan adanya patung-patung di pintu rumah itu, begitu juga ada tirai yang terdapat gambar padanya dalam rumah itu, dan begitu juga ada seekor anjing di dalamnya. Jadi, pergilah, putuskan kepala patung yang ada di pintu itu sehingga ia menjadi seperti tunggul pokok. Begitu juga pergilah dan potonglah tirai itu lalu dijadikan sebagai dua bantal (kusyen) yang dibentangkan di atasnya untuk dipijak orang, dan pergilah ke anjing itu lalu dikeluarkannya (diusir).’

Riwayat Abu Daud (4158) dan lafaz hadith daripadanya; al-Tirmizi (2806); Hadith ini dinilai sahih dalam Sahih al-Jami‘ (68)

Berdasarkan kepada dua hadith ini, Nabi SAW tidak menyukai tirai yang terdapat padanya gambar. Namun, bila mana ia dijadikan dalam bentuk bantal (kusyen) yang dipijak dan dihinakan, Baginda tidak mengingkari perkara tersebut. Ini menunjukkan  kepada keharusan menggunakan  tilam dan bantal (kusyen), sekalipun terdapat gambar padanya. Sekiranya dikatakan, sesungguhnya gambar-gambar apabila berada pada bantal (kusyen) akan terpotong dan berubah bentuknya. Maka dikatakan bahawa ucapan Aisyah R.Anha, “Padanya terdapat gambar,” menunjukkan bahawa pada tirai itu gambar-gambar yang banyak, dan apabila ia dipotong, tidak masuk akal bahawasanya potongan kain tersebut akan mencakupi setiap gambar itu. Dalam erti kata lain, tidak berbaki padanya gambar-gambar itu melainkan seperempat atau seperlapan, melainkan tirai itu dipotong dalam bentuk seperti dirham atau dinar. Akan tetapi ini bukan begitu kerana dijadikan daripada potongan kain itu bantal (kusyen). Ini menguatkan lagi pendapat yang menyatakan bahawa masih terdapat pada bantal (kusyen) yang dibuat daripada potongan kain tirai satu gambar atau lebih. (Lihat Ahkam al-Taswir fi al-Fiqh al-Islami oleh Muhammad Ahmad Wasil, hlm 410-412).

Ini ditunjukkan lagi melalui lafaz dalam hadith, “dua bantal (kusyen) yang dibentangkan di atasnya untuk dipijak orang,” (sebagaimana yang kami telah bawakan di atas) kalaulah gambar telah hilang dengan sebab dipotong, maka tidak ada faedah atau manfaat besar dalam menegaskan tentang “dipijak” kerana gambar-gambar itu telah hilang, dan makna hadith menguatkannya. Justeru, apabila gambar-gambar tersebut telah dihinakan, maka perasan pengagungan terhadapnya juga telah hilang. (Lihat Syarh al-‘Umdah oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, 4/393).

Selain daripada itu, Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga ada membahaskan berkenaan perkara ini, di mana beliau menyatakan, jika gambar-gambar itu terdiri daripada sesuatu yang bernyawa, tetapi tiada padanya perkara-perkara yang dilarang sebagaimana yang sudah dijelaskan sebelumnya iaitu bukan daripada jenis yang dimuliakan dan diagungkan, dan tidak bermaksud untuk menandingi ciptaan Allah SWT, maka beliau berpendapat ia juga tidaklah diharamkan. Dalam hal tersebut, terdapat banyak hadith sahih yang menyokongnya.

Di antaranya, Imam Muslim meriwayatkan dalam sahihnya, daripada Bisr bin Sa‘id, daripada Zaid bin Khalid, daripada Abu Talhah — sahabat Rasulullah SAW —  bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْمَلاَئِكَةَ لاَ تَدْخُلُ بَيْتاً فِيهِ صُورَةٌ

Maksudnya:Sesungguhnya malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya terdapat gambar.”

Bisr seterusnya bercerita: “Pada suatu hari Zaid R.A sakit, maka kami datang menziarahinya, lalu kami dapati di pintu rumahnya terdapat kain tirai terlukis padanya gambar. Maka aku berkata kepada ‘Ubaidullah al-Khaulani R.A — anak tiri Maimunah, isteri Nabi SAW — yang berada di situ: ‘Bukankah Zaid R.A pernah mengkhabarkan kepada kita mengenai gambar-gambar itu?’ ‘Ubaidullah R.A menjawab: ‘Tidakkah kamu mendengar ketika beliau menyebut, ‘melainkan garisan yang ada pada pakaian?’”

Riwayat Muslim (2106)

Imam al-Tirmizi meriwayatkan dengan sanadnya daripada ‘Utbah, bahawa dia pernah menziarahi Abu Talhah al-Ansari yang sedang sakit dan ketika itu seorang sahabat Nabi SAW yang lain, iaitu Sahl bin Hunaif. Lalu Abu Talhah dengan tiba-tiba memanggil seseorang supaya menarik keluar kain alas tempat tidurnya yang ada garisan atau gambar. Maka Sahl bertanya kepada Abu Talhah: “Mengapa kamu menariknya keluar?” Abu Talhah menjawab: “Kerana ada padanya gambar dan bukankah Nabi SAW telah melarang kain yang bergambar seperti yang engkau ketahui?” Sahl berkata: “Bukankah Nabi SAW juga telah bersabda, ‘Melainkan yang ada corak pada kain?’” Abu Talhah menjawab: “Benar, tetapi hatiku tidak tenang bila aku menggunakan alas tersebut.” Imam al-Tirmizi menyebutkan, hadith ini hasan sahih.

Riwayat al-Tirmizi (1750)

Bukankah kedua-dua hadith ini menunjukkan gambar yang diharamkan itu adalah gambar yang berbentuk dan berupa, biasanya dinamakan sebagai patung? Adapun gambar yang dilukis pada papan, kain, tikar permaidani, tembok-tembok dan seumpamanya, maka tidak ada nas yang sahih lagi jelas, serta bebas daripada perselisihan yang menunjukkan kepada pengharamannya.

Ya, di sana terdapatnya hadith-hadith sahih di mana Nabi SAW menunjukkan kebenciannya terhadap gambar-gambar tersebut kerana ia melambangkan kehidupan golongan mewah dan gilakan harta dunia yang rendah nilainya di sisi agama.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhani, daripada Abu Talhah al-Ansari, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَدْخُلُ الْمَلاَئِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلاَ تمَاَثِيلُ

Maksudnya:Malaikat tidak akan masuk ke rumah yang ada di dalamnya anjing atau patung-patung.

Riwayat Muslim (2106)

Zaid berkata lagi: “Aku segera berjumpa Aisyah R.Anha dan bertanya kepadanya: ‘Abu Talhah mengatakan kepadaku, Nabi SAW menyatakan malaikat tidak akan masuk rumah yang ada di dalamnya anjing atau patung. Benarkah?’ Aisyah R.Anha menjawab: ‘Tidak, tetapi aku akan ceritakan kepada kamu  apa yang aku lihat dilakukan oleh Baginda SAW. Pada suatu ketika, Baginda SAW keluar berperang. Aku pun mengambil kain bergambar dan buatkan tabir untuk pintu rumahku. Apabila Nabi SAW kembali dan melihat kain tersebut, aku mendapati perubahan air mukanya seperti Baginda membencinya. Lalu Baginda menyentap tabir itu sehingga tercabut atau terkoyak, dan bersabda:

إِنَّ اللهَ لَمْ يَأْمُرْناَ أَنْ نَكْسُوَ الْحِجَارَةَ وَالطِّينَ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah SWT tidak menyuruh kita memakaikan pakaian pada batu dan tanah.

Aisyah R.Anha berkata lagi: “Lantas aku mengambil kain tersebut dan menjadikannya dua bantal yang diisi di dalamnya sabut. Nabi SAW melihatnya tetapi Baginda SAW tidak membantahku melakukan sedemikian.”

Riwayat Muslim (2107)

Tidak diambil daripada hadith ini bagi menyatakan hukumnya selain daripada makruh tanzih untuk memasang tabir pada dinding dengan kain yang bergambar. Selain itu, Imam al-Nawawi turut menyatakan, hadith ini tidak menunjukkan pengharaman memasang tirai kerana lafaz “Allah SWT tidak menyuruh kita melakukan sedemikian,” hanya menunjukkan ia tidak wajib ataupun tidak sunat, dan ia sama sekali tidak menunjukkan kepada haram.

Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كَانَ لَنَا سِتْرٌ فِيهِ تِمْثاَلُ طاَئِرٍ، وَكاَنَ الدَّاخِلُ إِذَا دَخَلَ إِسْتَقْبَلَهُ، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: حَوِّلِي هَذَا، فَإِنِّي كُلَّمَا دَخَلْتُ فَرَأَيْتُهُ ذَكَرْتُ الدُّنْيَا

Maksudnya:Aku mempunyai kain tabir padanya terlukis gambar burung, dan setiap orang yang masuk rumahku akan melihatnya. Maka Rasulullah SAW berkata kepadaku: ‘Pindahkanlah (tabir) ini, kerana setiap kali aku masuk ke rumah dan melihatnya, aku akan teringat akan dunia.’

Riwayat Muslim (2107)

Rasulullah SAW tidak menyuruh Aisyah R.Anha memotongnya tetapi meminta ia dipindahkan dari tempat asalnya supaya Baginda SAW tidak melihatnya apabila masuk ke dalam rumah. Ini kerana adanya perasaan benci di dalam hati Baginda SAW untuk melihat benda yang boleh mengingatkan kepada dunia serta keindahannya.

Seperti yang diketahui, sesungguhnya Rasulullah SAW menunaikan solat sunat di rumahnya dan tirai-tirai yang bergambar kebiasaannya menjadi penghalang hati dan fikiran daripada khusyuk dan menetapkan diri bermunajat kepada Allah SWT. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas R.A, katanya: Ada satu tabir milik Aisyah R.Anha yang beliau gunakan untuk menutupi satu sudut rumahnya. Maka Nabi SAW bersabda kepadanya:

أَمِيْطِيْهِ عَنِّي، فَإِنَّهُ لاَ تَزَالُ تَصَاوِيرُهُ تَعْرِضُ لِي فِي صَلاَتِي

Maksudnya:Jauhkanlah tabir ini daripadaku, kerana sesungguhnya gambar-gambar yang ada padanya sentiasa menggangguku dalam solatku.

Riwayat al-Bukhari (5959)

Berdasarkan hadith ini, jelaslah bahawa Rasulullah SAW membenarkan tabir bergambar burung diletakkan di dalam rumahnya, begitu juga kain bergambar sesuatu yang lain.

Selain daripada itu, perawi hadith mengenai bantal daripada Aisyah R.Anha, iaitu anak saudaranya yang bernama al-Qasim bin Muhammad bin Abu bakar, dan beliau membolehkan menyimpan gambar yang tidak memiliki bayang. Daripada Ibn Aun, katanya: “Aku pernah menziarahi al-Qasim yang tinggal di tempat paling tinggi di Makkah. Aku melihat di rumahnya ada sebuah pentas yang dihiasi dengan tabir-tabir yang bergambar memerang dan burung cenderawasih.”

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Kemungkinan al-Qasim berpegang dengan sabda Nabi SAW yang umum iaitu “kecuali garisan (gambar) pada pakaian,” seolah-olahnya beliau menyanggap bahawa apa yang diingkari oleh Nabi SAW ke atas Aisyah R.Anha adalah menggantungkan tirai yang terdapat padanya lukisan gambar dan menutupi dinding. Kefahaman ini dikuatkan pula oleh suatu riwayat daripada Nabi SAW yang mengatakan: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menyuruh kita memakaikan pakaian pada batu dan tanah — yakni menutupnya.”

Al-Qasim bin Muhammad ialah salah seorang al-Fuqaha’ al-Sab‘ah (ahli fiqh yang tujuh) di Madinah dan di antara ulama yang terbaik pada zamannya. Beliau juga merupakan perawi hadith tentang kisah bantal tersebut. Jika tidak kerana beliau memahami adanya kelonggaran (rukhsah), iaitu seperti yang ada di pentas itu, tentulah beliau tidak akan membolehkan untuk menggunakannya.

Akan tetapi di sana terdapat kemungkinan lain tentang hadith-hadith larangan melukis dan menyimpan gambar bahawa Rasulullah SAW memberatkan perkara ini (yakni mengambil sikap tegas) disebabkan hampirnya kaum Muslimin dengan zaman syirik dan penyembahan berhala serta memuliakan gambar-gambar dan patung. Apabila telah mantap dan teguh keimanannya di dalam hati dan fikiran, maka Rasulullah SAW memberi kelonggaran (rukhsah) pada gambar yang tidak berjisim, lukisan dan corak semata-mata. Kalau tidak, tentu sekali beliau tidak akan meredhai adanya tabir atau kain yang bergambar di dalam rumahnya, Begitu juga Baginda tidak akan mengecualikan gambar-gambar yang bercorak dan terlukis pada pakaian.

Al-Tahawi daripada kalangan ulama mazhab Hanafi menyebutkan, pada awalnya syarak melarang semua jenis gambar sekalipun ia adalah corak atau lukisan sahaja kerana mereka masih baru meninggalkan ibadah menyembah gambar-gambar. Oleh itu, semua jenis gambar dilarang. Selepas hukum larangan tersebut sudah sebati dalam diri mereka, maka diharuskan corak atau lukisan pada pakaian kerana keperluannya sebagai pakaian. Selain itu, diharuskan juga sebarang gambar yang dibuat pada apa-apa barang yang dihinakan semasa menggunakannya — seperti perkakas dapur atau seumpamanya — kerana ia selamat daripada dimuliakan oleh orang yang jahil. Seterusnya kekallah larangan itu pada apa-apa yang tidak dihinakan semasa menggunakannya.

Seterusnya, Dr. Yusuf al-Qaradhawi menegaskan lagi, setiap perubahan pada gambar yang menjadikannya lebih jauh daripada diagung-agungkan dan lebih dekat kepada penghinaan, maka berpindah hukumnya dari lingkungan makruh kepada harus. Disebut dalam hadith bahawasanya Jibril A.S datang kepada Rasulullah SAW dan meminta izin untuk masuk. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Masuklah.” Jibril berkata: “Bagaimana aku hendak masuk sedangkan di dalam rumahmu ada tirai yang padanya terlukis gambar? Kalau engkau benar-benar memerlukannya, maka potonglah kepalanya ataupun memotongnya dan jadikannya sebagai bantal atau alas tempat duduk.”

Oleh kerana itu, ketika Aisyah R.Anha melihat tanda kebencian pada wajah Nabi SAW terhadap bantal yang bergambar itu, maka dijadikannya dua bantal kerana dengan berbuat demikian, ia telah dihinakan dan jauh daripada menyerupai gambar yang dimuliakan.

Selain itu, terdapat juga riwayat daripada ulama salaf berkenaan penggunaan gambar-gambar yang dihinakan (yakni yang menjadi alat kegunaan) dan mereka tidak melihatnya sebagai suatu kesalahan. Diriwayatkan daripada Urwah, bahawasanya dia pernah bersandar pada bantal-bantal yang mempunyai gambar burung dan manusia. Ikrimah berkata: “Mereka membenci patung-patung yang dibina seperti tugu dan berpendapat tidak mengapa menggunakan gambar-gambar pada alas kaki. Mereka mengatakan bahawa menggunakan gambar-gambar pada hamparan dan bantal yang dipijak atau dihimpit termasuk dalam perbuatan menghinakan gambar-gambar itu. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 104-112).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa menggunakan karpet yang terdapat padanya gambar anjing kerana tidak terdapat padanya tanda-tanda memuliakan dan mengagungkannya. Ini dikuatkan lagi, penggunaannya sebagai karpet tidak dilihat sebagai memuliakan dan mengagungkannya, sebaliknya ia dilihat sebagai sesuatu yang menghinakan dan merendah-rendahkannya kerana karpet digunakan sebagai tempat untuk duduk, dipijak dan seumpamanya.

Lebih-lebih lagi, sehebat mana pun lakaran atau lukisan yang dihasilkan di atas karpet, paparan atau medium, ia tetap jauh sekali untuk disamakan dengan ciptaan Allah SWT, berbeza halnya jika ia dibentuk atau dijadikan dalam bentuk patung berjisim.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *