#2712: Hikmah Perbelanjaan Wang yang Dikeluarkan Suami

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sebahagian suami yang terkadang merasa berat hati untuk membelanjakan wang untuk isteri dan keluarga mereka sendiri, sedangkan para isteri hanya meminta nafkah sekadar yang mencukupi hak mereka sahaja. Bagaimana kita ingin menasihatkan suami begini?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Nafqah dari segi bahasa mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syara‘ ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan nafqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. (Lihat Hasyiyah al-Bajuri, 2/185; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 4/274)

Salah satu daripada tanggungjawab seorang suami yang amat besar selepas termeterainya ikatan perkahwinan adalah menyediakan pembiayaan kewangan. Kerana tanggungjawab ini jugalah Allah SWT melantik lelaki sebagai ketua dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Firman Allah SWT:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ ۚ

Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”

(Surah al-Nisa’: 34)

Meskipun perbelanjaan kewangan itu merupakan sebahagian daripada hak isteri ke atas suaminya, akan tetapi si suami tidak perlu membebankan dirinya  sehingga memberikan kadar yang luar daripada kemampuannya. Kami mengambil beberapa potongan firman Allah SWT sebagai renungan bersama:

 لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Dan juga firman Allah SWT tentang wanita yang diceraikan sebelum sempat bersama:

وَمَتِّعُوهُنَّ عَلَى الْمُوسِعِ قَدَرُهُ وَعَلَى الْمُقْتِرِ قَدَرُهُ مَتَاعًا بِالْمَعْرُوفِ ۖ حَقًّا عَلَى الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: “Hendaklah kamu memberi Mut‘ah (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.”

(Surah al-Baqarah: 236)

Dan juga firman Allah SWT untuk membantu wanita yang dalam ‘iddah penceraian:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا ‎

Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”

(Surah al-Talaq: 7)

Hikmah Perbelanjaan Wang yang Dikeluarkan Suami

Melihat kepada keadaan ekonomi semasa yang ada pasang surutnya, perkahwinan menjadi satu medan yang amat mencabar bagi pasangan suami isteri yang baru memulakan pelayaran bahtera perkahwinan. Oleh yang demikian, lelaki selaku ketua keluarga perlu bersungguh-sungguh meneliti tanggungjawabnya terhadap isteri dan keluarga.

Disebalik kewajiban ke atas lelaki untuk membelanjakan wang untuk isteri dan keluarganya, ia juga pada hakikatnya dikira sebagai sedekah bagi dirinya. Ini merupakan hikmah yang besar bagi para suami dalam setiap hasil titik peluh usahanya menyediakan kemudahan kewangan. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan ‘Amr bin Umayyah al-Darimi R.A bahawa Rasulullah SAW  bersabda:

مَا أَعْطَى الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ فَهُوَ صَدَقَةٌ

Maksudnya: “Setiap apa yang diberikan oleh suami kepada isterinya adalah satu sedekah”

Riwayat Ahmad (17617) dan al-Nasa’ie (9184), dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami‘ (5540)

Ini juga berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Mas‘ud al-Ansari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَنْفَقَ الْمُسْلِمُ نَفَقَةً عَلَى أَهْلِهِ وَهْوَ يَحْتَسِبُهَا، كَانَتْ لَهُ صَدَقَةً

Maksudnya: “Apabila seorang muslim membelanjakan wangnya untuk keluarganya, dengan mengharapkan pahala daripada Allah, maka wang yang dibelanjakan itu adalah satu sedekah baginya.”

Riwayat al-Bukhari (5351) dan Muslim (1002)

Diriwayatkan juga daripada Sa‘d bin Abi Waqqas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّكَ لَنْ تُنْفِقَ نَفَقَةً تَبْتَغِي بهَا وجْهَ اللَّهِ إلَّا أُجِرْتَ عَلَيْهَا، حتَّى ما تَجْعَلُ في فَمِ امْرَأَتِكَ

Maksudnya: “Sesungguhnya, apa jua yang kamu belanjakan untuk keluargamu, kamu akan diberikan ganjaran ke atasnya walaupun hanya sesuap makanan yang kamu suapkan ke mulut isterimu.”

Riwayat al-Bukhari (56) dan Muslim (1628)

Justeru, janganlah seseorang lelaki itu khuatir untuk membelanjakan wang untuk isteri dan keluarganya. Ketahuilah bahawa setiap rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepada setiap kita itu, padanya terdapat hak orang lain. Ingatlah bahawa bagi setiap yang dikeluarkan oleh para suami dan bapa untuk isteri dan ahli keluarganya terdapat ganjaran yang besar. 

Ini sepertimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

دِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي رَقَبَةٍ وَدِينَارٌ تَصَدَّقْتَ بِهِ عَلَى مِسْكِينٍ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ أَعْظَمُهَا أَجْرًا الَّذِي أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ

Maksudnya: “Satu dinar yang engkau nafkahkan pada jalan Allah, satu dinar yang engkau nafkahkan untuk memerdekakan seorang hamba, satu dinar yang engkau nafkahkan kepada orang miskin, dan satu dinar yang engkau nafkahkan kepada keluargamu; dan pahala yang paling besar adalah yang engkau belanjakan untuk keluargamu.”

Riwayat Muslim (995)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami isteri-isteri dan juga anak pinak yang menjadi penyejuk mata bagi kami, serta jadikanlah kami ini sebagai pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *