#2901: Kewajipan Menutup Aurat bagi Penghidap Sindrom Down

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya mempunyai seorang adik perempuan Sindrom Down. Persoalan saya, apakah batas aurat buat adik perempuan saya dengan abang atau adik ipar lelaki?

Dia mempunyai daya IQ yang sangat lemah, walaupun ibu saya mengajarnya untuk memakai tudung atau jangan memeluk orang bukan muhrim, kadangkala dia dapat fahaminya dengan baik, dan terkadang tidak.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sindrom Down ditakrifkan menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat sebagai kecacatan sejak lahir yang dicirikan oleh kepala dan muka yang lebar, mata yang sepet, hidung yang kemek, tangan dan kaki yang pendek, dan daya berfikir yang lembap.

Berdasarkan laman rasmi MyHealth yang dikuasakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Sindrom Down ialah penyakit keturunan disebabkan oleh kromosom tambahan pada kromosom nombor 21 yang terdapat pada seorang kanak-kanak. Tiga salinan kromosom 21 (biasanya hanya dua salinan) terdapat dalam setiap satu sel. Penyakit ini juga dikenali sebagai Trisomy 21. Kanak-kanak yang terlibat lahir dengan ciri-ciri fizikal dan boleh juga mempunyai masalah-masalah kesihatan yang berkaitan dengannya.[1]

Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) secara umumnya terbahagi kepada 7 kategori:

  • Kurang Upaya Pendengaran.
  • Kurang Upaya Penglihatan.
  • Kurang Upaya Fizikal.
  • Masalah Pembelajaran.
  • Kurang Upaya Pertuturan.
  • Kurang Upaya Mental.
  • Kurang Upaya Pelbagai.

Mereka yang mempunyai masalah Sindrom Down termasuk di dalam kategori OKU Masalah Pembelajaran, kategori ini meliputi semua orang yang menghadapi masalah kecerdasan otak yang tidak selaras dengan usia biologikalnya.[2]

Mereka yang menghidapi masalah Sindrom Down ini tidak ditaklifkan ke atasnya hukum syara‘. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنْ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنْ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ، وَعَنْ الْمَعْتُوهِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Telah diangkat pena dari tiga golongan; dari orang yang tidur sehingga dia terjaga, dari seorang kanak-kanak sehingga dia baligh dan daripada orang yang gila sehingga dia berakal.”

Riwayat Abu Dawud (4402), al-Nasa’ie (7269), Ahmad (956), al-Tirmizi (1423) dan Ibn Majah (2042)

Syeikh Abu al-‘Ala’ al-Mubarakfuri berkata bahawa yang dimaksudkan dengan (الْمَعْتُوهِ) adalah (المَجْنُونُ) iaitu gila atau seumpama dengannya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami‘ al-Tirmizi, 4/570)

Melihat kepada gila atau seumpamanya adalah suatu masalah yang terkait dengan akal, dan OKU Masalah Pembelajaran juga masalah yang terkait dengan akal, maka mereka yang menghidapi masalah ini akan mengambil hukum  mereka yang gila sehinggalah dia berakal atau faham tentang sesuatu ilmu. Maka sekiranya wanita penghidap Sindrom Down itu tidak mengenakan hijab bagi menutup auratnya, dia tidaklah dihukum sebagai berdosa.

Meskipun begitu, apabila wanita tersebut telah mencapai usia baligh, kewajiban untuk mengajarkan dan mendidiknya tentang aurat masih tidak terangkat daripada penjaganya, sama ada ibu bapanya atau walinya yang bertanggungjawab menjaga kebajikannya. Hal ini kerana hukum menjaga maslahah anak-anak istimewa ini adalah tanggungjawab mereka yang berakal. Dan maslahah ini tidak mungkin tercapai melainkan dengan pemantauan berkala dan bimbingan secara berterusan.

Ini bertepatan dengan kaedah usul fiqh yang menyebut:

مَا لَا يَتِمُّ الوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

Maksudnya: “Suatu kewajiban yang tidak sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib.”

Dikhuatiri sekiranya wanita penghidap Sindrom Down yang telah baligh, tetapi tidak diasuh untuk menjaga auratnya daripada para lelaki ajnabi, akan berlaku mudharat padanya dengan cara mengambil kesempatan terhadap ketidakcerdasan akalnya. Segala kemungkinan ini boleh berlaku, lebih-lebih lagi pada zaman yang penuh dengan ujian dan fitnah akhir zaman yang berleluasa.

Akan tetapi, selama mana wanita penghidap  Sindrom Down tersebut masih dalam ruang lingkup yang dia boleh fahami, seperti memahami kepentingan menutup aurat, kemungkinan yang boleh berlaku jika aurat tidak dipelihara, maka dia perlu dididik agar melazimi pakaian yang menutup aurat.

Adapun jika dia berada dalam ruang lingkup yang luar dari kemampuannya untuk faham dan cerna dengan baik, maka kita berharap mereka ini tergolong dikalangan orang-orang yang diampunkan oleh Allah SWT seperti yang disebutkan di dalam hadith. Dorongan, bimbingan dan pemantauan berkala wajib ke atas penjaganya agar kemaslahatannya terjamin dan terpelihara.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, kewajipan menutup aurat bagi penghidap Sindrom Down terangkat dan tidak dituliskan dosa baginya sekiranya dia tidak menutup aurat dengan sempurna. Hal ini kerana mereka termasuk dalam kategori istimewa seperti yang disebutkan dalam hadith ‘Ali bin Abi Talib R.A di atas.

Akan tetapi, kewajipan ke atas orang yang bertanggungjawab untuk membimbingnya adalah berterusan mendidiknya serta memastikan dia tidak memudharatkan orang lain, dan tidak juga berlaku mudharat ke atasnya. Semoga dengan usaha yang tidak putus dari ahli keluarga serta para penjaga pesakit Sindrom Down dibalas oleh Allah SWT dengan balasan yang hebat, sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahu a‘lam

[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/sindrom-down/. Diakses pada 22 Ogos 2023.

[2] Lihat https://www.spa.gov.my/spa/panduan/kategori-orang-kurang-upaya-oku. Diakses pada 22 Ogos 2023.

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *