#3021: Zakat Bagi Tuntutan Insurans

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya mengenai tuntutan insuran dan bantuan kewangan akibat bencana alam. Adakah tuntutan dan bantuan kewangan tersebut layak dikenakan zakat? Kerana tuntutan dan bantuan yang diterima melebihi kos kerugian. Terima kasih Dato’ Seri.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Takrif Insuran

Kami andaikan insurans di atas merujuk kepada insurans konvensional kerana kebiasaannya apabila dinyatakan agen insurans sahaja, maka ia merujuk kepada selain daripada agen takaful.

Seterusnya, kami nyatakan terlebih dahulu definisi dan takrif insuran, konvensional dan takaful.

  • Insuran bermaksud satu bentuk pengurusan risiko bagi menjamin risiko kemungkinan kerugian kewangan.
  • Konvensional pula bermaksud amalan lazim yang bukan berasaskan sistem syariah Islam (non-syariah compliant).
  • Takaful bermaksud satu skim berdasarkan persaudaraan dan saling bantu membantu yang menyediakan pertolongan kewangan pada waktu yang diperlukan. (Akta Takaful Malaysia (1984), Seksyen 2)

Justeru, dapat difahami di sini bahawa Takaful secara umumnya ialah insuran yang mengamalkan prinsip Islam, manakala insuran konvensional merupakan insuran yang tidak mematuhi undang-undang syariah yang merangkumi tiga elemen: Riba (unsur faedah), gharar (ketidakpastian) dan maisir (perjudian).

Oleh itu, jelaslah insurans konvensional hukumnya adalah haram. Hal ini selari dengan keputusan yang diputuskan oleh Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-16 yang bersidang pada 15-16 Feb 1979, di mana mereka telah membincangkan mengenai insurans. Persidangan telah memutuskan bahawa insuran nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakan syarikat insuran yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai suatu muamalah yang fasad kerana aqadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu:

  1. Mengandungi gharar (ketidak-tentuan)
  2. Mengandungi unsur judi.
  3. Mengandungi muamalah riba.[1]

Resolusi Majma’ al-Fiqh al-Islami tahun 1979 dan 1985 juga menyebutkan perkara yang sama mengharamkan segala jenis insurans konvensional termasuklah insurans nyawa, kereta, perniagaan dan lain-lain. Sebagai alternatif, dihalalkan untuk mengambil takaful yang menjalankan konsep secara tolong-menolong serta pemberian wang secara sukarela.

Sekiranya dibolehkan, kami katakan itu hak anda.

Zakat diwajibkan jika sekiranya dengan dua syarat. Iaitu cukup haul iaitu setahun qamariyyah dan juga sampai nisab.

Justeru dalam hal ini jika sudah memenuhi kedua syarat tersebut, maka zakat diwajibkan kepada anda.

Walaupun begitu, kami memilih pendapat jika dapat duit sekaligus lebih aula anda membayar zakat terlebih dahulu berdasarkan satu pandangan dalam mazhab syafie di samping ihtiyat.

Semoga Allah murahkan rezeki anda dan memimpin ke jalan yang benar

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

[1] Lihat https://e-muamalat.islam.gov.my/en/bahan-ilmiah/artikel/148-menyertai-polisi-insurans-konvensional-halal-atau-haram. Diakses pada 15 Jun 2023.

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *