Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya mempunyai jiran bukan Islam yang sering basuh porch dia. Apakah hukumnya jika aliran air yang dia basuh itu terdapat anjing lalu dan kereta kita melaluinya. Perlu kah disertu tayar kenderaan? Jika percikan air itu kena pada pintu kenderaan kita dan kita pun terpegang, perlukah kita sertu tangan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertama sekali, kami mulakan dengan hadith berikut:

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاَللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ

Maksudnya: “Dan siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan jirannya.”

 Riwayat al-Bukhari (6475) dan Muslim (47)

Al-Hafiz Ibn Hajar – setelah menyebut beberapa riwayat yang lain berkaitan memuliakan jiran dan berbuat baik kepadanya, – berkata: “Perintah ‘memuliakan’ berbeza-beza mengikut perbezaan individu dan keadaan. Terkadang berupa fardhu ‘ain dan terkadang berupa fardhu kifayah, dan terkadang pula mustahab. Namun, semuanya termasuk akhlak yang mulia. (Lihat Fath al-Bari, 29/144)

Dalam hadith lain, daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا زَالَ جِبْرِيلُ يُوصِينِي بِالْجَارِ، حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثُهُ

Maksudnya: “Jibril sentiasa berwasiat kepadaku agar berlaku baik kepada jiran sehingga aku menyangka bahawa jiran itu akan mewarisi hartaku.”

Riwayat al-Bukhari (6015), Muslim (2625), Abu Daud (5152), al-Tirmizi (1943) dan Ahmad (6496)

Imam al-Nawawi menukilkan kata-kata daripada al-Qadhi ‘Iyadh bahawa makna hadith ini adalah sesiapa yang beriltizam dengan syariat Islam maka wajib ke atasnya untuk memuliakan atau berlaku baik kepada jiran dan tetamunya. Semua ini menunjukkan akan kepentingan hak berjiran serta galakan memeliharanya. Ini kerana, Allah SWT telah berpesan atau mewasiatkan agar berlaku baik kepada mereka melalui firman-Nya di dalam al-Quran dan juga hadith Nabi SAW. (Lihat al-Minhaj ‘ala Syarh Sahih Muslim, 2/18)

Berkenaan dengan soalan di atas, kami lebih cenderung kepada mengambil hukum zahir di mana air yang telah mengalir di atas tanah dikira sifatnya suci dan menyucikan apabila terkena matahari dan sebagainya. Dan ia tidak perlu disamak lagi.

Keduanya jika terpaksa dalam kes seperti ini yang kita berjiran di mana anjingnya banyak yang berkeliaran, dan apabila basuh terkena tayar kita, maka tak perlu disamak dan untuk ihtiyat boleh taqlid mazhab Maliki.

Agama itu mudah dan tidak memberatkan. Firman Allah SWT:

 وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: “Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.

(Surah al-Hajj: 78)

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ، وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ، فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا، وَأَبْشِرُوا، وَاسْتَعِينُوا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٍ مِنَ الدُّلْجَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah, dan tidaklah sama sekali seseorang yang tasyaddud dalam beragama melainkan pasti agama itu akan mengalahkannya, oleh sebab itu hendaklah kamu menepatinya dan menghampirinya dan bergembiralah (dengan berita itu). Dan mohon pertolonganlah kamu dengan waktu pagi dan petang dan sedikit daripada waktu malam. (Dan dalam lafaz yang lain pula): Hendaklah kamu bersikap sederhana, hendaklah kamu bersikap sederhana, niscaya kamu akan sampai (kepada tujuan yang selamat).”

Riwayat al-Bukhari (39)

Jangan sekali-kali kita menjadi orang yang terlalu banyak ragu-ragu dan syak wasangka, yang seterusnya akan menjadikan kita orang yang was-was. Akhirnya ia akan menyusahkan diri kita.

Daripada al-Hasan bin ‘Ali bin Abi Talib, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُك إلَى مَا يَرِيبُك

Maksudnya: “Tinggalkan dan beralihlah dari sesuatu yang meragukanmu kepada sesuatu lain yang tidak meragukanmu.”

Riwayat al-Tirmizi (2518), Ahmad (1723) dan al-Nasa’ie (5711). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij al-‘Awasim wa al-Qawasim (2/371)

Ibn Daqiq al-‘Id berkata: “Maksud yang meragukan kamu ialah tinggalkanlah sesuatu yang menjadikan kamu ragu-ragu dan gantikanlah kepada perkara yang tidak meragukan.” Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Maknanya hendaklah kamu meninggalkan apa yang kamu syak dan beralih kepada yang kamu tidak ragu-ragu lagi. Ini kembali kepada makna hadis yang keenam, iaitu ‘yang halal itu nyata dan yang haram itu nyata’.” (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 111)

Marilah sama-sama kita sentiasa memahami agama kita dengan sebaik-baiknya dan dapat mengamalkannya dengan yakin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنِي رُشْدِي، وَأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ نَفْسِي

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepadaku kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah aku daripada kejahatan nafsuku.”

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *