#3132: Binaan Batu Berwarna Putih di Sekeliling Kubur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya mohon penjelasan tentang binaan kubur yang dilarang oleh Nabi SAW. Saya melihat gambar Dr. di posting Instagram menziarahi pusara anakanda Hammad. Soalannya, adakah tepi-tepi batu berwarna putih itu dikira binaan? Sekiranya tidak, binaan seperti apa yang dikira binaan? Mohon penerangan daripada Dr. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebelum kami menjawab soalan di atas, kami ingin nyatakan terlebih dahulu bahawa binaan putih yang terdapat di tepi-tepi kubur yang biasanya berwarna putih dipanggil sebagai kepuk. Ini adalah sebagaimana didefinisikan oleh Kamus Dewan Perdana terbitan DBP, yang mentakrifkan kepuk sebagai binaan berbentuk segi empat daripada kayu, konkrit atau marmar dan sebagainya, yang dibina di sekeliling kubur.[1]

Sebenarnya berkenaan isu binaan kepuk di kuburan ini, kami pernah membahaskannya secara panjang lebar dalam artikel-artikel jawapan kami sebelum ini. Kami bawakan semula perbahasan mengenainya di sini secara ringkas.

Pada asasnya, kepuk di tempat kita adalah bertujuan supaya tanah tidak roboh atau mendap kerana kadar hujan yang tinggi bagi membezakan antara tanah kubur dan bukan, agar ia tidak dipijak dan menjadi jalan (laluan). Secara umumnya, perkara ini adalah khilaf dalam kalangan ulama.

Di antara hadith berkaitan dengan hal ini adalah riwayat daripada Jabir R.A, katanya:

نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُجَصَّصَ الْقَبْرُ، وَأَنْ يُقْعَدَ عَلَيْهِ، وَأَنْ يُبْنَى عَلَيْهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang tajsis kubur (iaitu plaster dengan kapur pada kubur), duduk di atasnya dan membuat binaan di atasnya.

Riwayat Muslim (970)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan, hadith ini menunjukkan bahawa memplaster kubur dengan kapur dan membuat binaan di atasnya adalah makruh, manakala duduk di atasnya pula adalah haram. Inilah pendapat dalam mazhab Syafi‘i dan jumhur ulama. Imam Malik dalam al-Muwatta’ berpendapat, perkataan al-Qu‘ud (الْقُعُود) dalam hadith di atas bermaksud al-Julus (الْجُلُوسُ) iaitu duduk. Hal ini kerana terdapat riwayat lain yang menjelaskannya iaitu:

لَا تَجْلِسُوا عَلَى الْقُبُورِ

Maksudnya:Janganlah kamu duduk di atas kubur.”

Riwayat Muslim (972)

Begitu juga dengan riwayat lain, di mana di dalamnya dinyatakan:

لَأَنْ يَجْلِسَ أَحَدُكُمْ عَلَى جَمْرَةٍ فَتَحْرِقَ ثِيَابَهُ فَتَخْلُصَ إِلَى جِلْدِهِ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَجْلِسَ عَلَى قَبْرٍ

Maksudnya:Kerana salah seorang daripada kamu duduk di atas bara api lalu pakaiannya terbakar dan ia sampai atau mengenai kulitnya adalah lebih baik baginya daripada dia duduk di atas kubur.”

Riwayat Muslim (971)

Seterusnya Imam al-Nawawi menyebutkan, para ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) berpendapat, memplaster kubur dengan kapur hukumnya adalah makruh, manakala duduk di atasnya pula adalah diharamkan. Begitu juga diharamkan untuk bersandar padanya atau menyandar di atasnya.

Adapun binaan di atas kubur, jika tanah kubur itu dalam pemilikan pembina (milik persendirian), maka hukumnya adalah makruh. Jika ia di tanah perkuburan awam, maka hukumnya adalah diharamkan. Hukum haram tersebut telah dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam al-Umm, katanya:

رَأَيْتُ الْأَئِمَّةَ بِمَكَّةَ يَأْمُرُونَ بِهَدْمِ مَا يُبْنَى

Maksudnya:Aku melihat para imam di Makkah memerintahkan agar dimusnahkan apa yang dibina (di tanah perkuburan awam).” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/27).

Selain itu, Imam al-Nawawi juga dalam kitabnya yang lain menyatakan, Imam al-Syafi‘i dan para ashab (ulama dalam mazhab Syafi‘i) menghukumkan sebagai makruh untuk memplaster, begitu juga menulis nama si mati di atas kuburnya atau lain-lain, begitu juga membuat binaan di atasnya, maka perkara ini tiada khilaf mengenainya di sisi kami (ulama mazhab Syafi‘i). Ini juga merupakan pendapat Imam Malik, Ahmad, Daud dan jumhur ulama. Manakala Abu Hanifah berpendapat, ia tidak dimakruhkan.

Selain itu, para ashab kami juga menyatakan, tidak ada beza pada binaan tersebut, sama ada dia membina kubah atau rumah atau lain-lain. Kemudian, hendaklah dilihat, jika ia adalah tanah perkuburan awam maka hukumnya adalah haram, dan menurut para ashab binaan tersebut hendaklah dirobohkan tanpa sebarang khilaf. Imam al-Syafi‘i menyebutkan dalam al-Umm bahawa beliau telah melihat para pembesar di Makkah meruntuhkan binaan-binaan kubur yang ada padanya dan beliau tidak melihat para ulama mencela perbuatan pembesar tersebut dan kerana pada binaan itu menyempitkan tanah perkuburan ke atas orang ramai.

Namun, menurut para ashab kami, jika ia di tanah kubur persendirian maka hukumnya adalah dibolehkan untuk membina apa sahaja yang dikehendaki tetapi makruh, dan ia tidak boleh untuk dirobohkan. Selain itu juga para ashab kami turut menyebutkan, hukum makruh memplaster kubur itu adalah sama, tidak kira ia di tanah perkuburan persendirian atau tanah perkuburan awam. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/298).

Justeru, inilah pendapat muktamad yang dipegang dalam mazhab Syafi‘i sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili bahawa disunatkan untuk meninggikan kubur dengan kadar sekitar sejengkal supaya diketahui  ia adalah kubur lalu diziarahi dan dihormati (dengan menjaga adab-adabnya). Begitu juga supaya kawasan itu tidak digali oleh sesiapa yang mahu menguburkan orang lain. Selain itu, beliau turut menyebutkan, dihukumkan sebagai makruh perbuatan memplaster kubur, membuat binaan di atasnya dan menulis nama si mati atau selainnya. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/639-640).

Di samping itu, al-Hajawi daripada kalangan ulama mazhab Hanbali ada menyebutkan, ditinggikan kubur dengan kadar sejengkal dan dibonggolkan. Selain itu, dihukumkan sebagai makruh untuk memplaster kubur, membuat binaan di atasnya, menulis tulisan, duduk, pijak dan menyandar ke atasnya. (Lihat Zad al-Mustaqni‘, hlm. 72).

Kemudian, Dr. Mansur bin Muhammad al-Saq‘ub menjelaskan lagi kenyataan di atas dengan menyatakan, binaan atas kubur; iaitu meletakkan binaan atasnya. Sama ada binaan itu merapat ke tanah seperti bilik, atau tidak merapat ke tanah seperti kubah. Sama ada ia milik persendirian atau milik awam, maka ia adalah dimakruhkan. (Lihat al-Ta‘liq al-Muqni‘, 1/607).

Tambahan lagi, larangan untuk membuat binaan di atas kubur bukanlah bersifat mutlak. Ada beberapa keadaan yang diizinkan syarak untuk membuat binaan yang munasabah jika terdapat sesuatu hajat atau keperluan yang diiktiraf oleh syara‘, antaranya:

  1.  Takut digali oleh pencuri atau binatang.
  2.  Ditakuti runtuh kerana banjir atau tanah mendap dan seumpamanya. Ini sepertimana tanah perkuburan yang terletak di kaki bukit atau tanah curam yang dikhuatiri tanah-tanahnya itu runtuh. Maka boleh didirikan binaan seperti sekatan tembok umpamanya bagi menghalang dari terjadinya tanah mendap atau runtuh. Dalam keadaan-keadaan seumpama ini, syara‘ memberikan keizinan untuk membuat binaan yang munasabah dan bersesuaian bagi menjaga maslahat tanah-tanah kubur berkenaan.[2]

Kesimpulannya

Berbalik kepada soalan yang diajukan, tidak dapat dinafikan bahawa binaan di kuburan termasuk dalam perkara yang diperselisihi dalam kalangan ulama. Jika sekiranya ia dibenarkan beberapa pertimbangan perlu diambil kira, iaitu:

  • Tidak menyerupai bangunan.
  • Tidak menggunakan duit yang banyak sehingga berlaku pembaziran.
  • Tidak sama dengan perkuburan bukan Islam.
  • Niat bukan untuk bermegah-megah.
  • Isu tanah mendap dek kerana hujan yang banyak.
  • Agar yang menziarahi kubur dapat membezakan sudah ada mayat di bawah atau tiada.
  • Bagi mengenali kubur kaum keluarga dan sanak saudara serta rakan taulan apabila menziarahi kubur.
  • Tiada pertandingan untuk menjadikan kubur kaum keluarganya sebagai kubur yang tercantik dan yang paling indah.
  • Tetap mengekalkan kubur sebagai tempat untuk mendapat mauizah serta iktibar.

Sekiranya kesemua syarat di atas dipenuhi, maka kami berpendapat pembinaan kepuk dan seumpamanya bagi kubur adalah diharuskan. Apatah lagi tujuannya yang utama adalah bagi menghalang tanah kubur runtuh dan mendap kerana kadar hujan yang tinggi di negara kita, dan seterusnya membezakan antara tanah kubur dan bukan, agar tidak dipijak dan menjadi jalan.

Pada masa yang sama, kita hendaklah memastikan pembinaan tersebut tidak menghilangkan tujuan utama kubur diizinkan untuk diziarahi iaitu sebagai tempat yang memperingatkan kita kepada kematian dan ibrah (pengajaran). Perbahasan lanjut mengenai perkara ini bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #1623: Membina Kepuk di Kubur.[3]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.” 37

Surah al-Hasyr (10)

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=kepuk&d=175768&#LIHATSINI. Diakses pada 18 Mei 2023.

[2] Lihat https://mufti.pahang.gov.my/wp-content/uploads/2021/06/hukum-membina-kepok-kubur.pdf. Diakses pada 18 Mei 2023.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/1623-membina-kepuk-di-kubur/. Diakses pada 13 September 2023.

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *