#3133: Melafazkan Syahadah Dengan Satu Nafas

Soalan:

Assalamualaikum wbt Dato Seri. Bolehkah dua kalimah syahadah dibaca dengan satu nafas sahaja? Bermaksud tiada penarikan nafas diantara ‘أَشْهَدُ ألا إله الا الله dan و أشْهَدُ ان مُحَمدا رَسُوْل الله

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syahadah (شهادة) dari sudut bahasa ialah pecahan daripada perkataan (شهد) yang memberi maksud menyaksikan.(Lihat al-Munjid fi al-Lughah,hlm. 406) Perkataan syahadah juga boleh diertikan memberitahu apa yang dilihat, menafsirkan apa yang diketahui. (Lihat Mu’jam al-Wasit, hlm. 516)

Mengucap dua kalimah syahadah merupakan rukun yang pertama daripada lima rukun Islam. Hal ini sepertimana hadis daripada Ibnu Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam terbina atas lima perkara: Penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan.”

Riwayat al-Bukhari (8)

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ شَهِدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَأَنَّ عِيسَى عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ أَدْخَلَهُ اللَّهُ الْجَنَّةَ عَلَى مَا كَانَ مِنْ الْعَمَلِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata, tidak ada sekutu bagi-Nya, dan bahwasanya Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Nya, dan bahawasanya ‘Isa adalah hamba dan utusan-Nya dan kalimat-Nya yang Dia sampaikan kepada Maryam dan ruh dari-Nya, dan (dia juga bersaksi) bahawa syurga itu benar adanya dan neraka itu benar adanya, maka Allah akan memasukkan dirinya ke dalam surga berapa pun amal yang telah diperbuatnya.”

Riwayat Bukhari (3435)

Ibn al-Qayyim berkata: “Jika seorang Mukmin bersaksi dengan kalimat tauhid, mengetahui maknanya dan hakikatnya dari segi nafyu dan ithbat, melaksanakan tuntutannya, serta hati, lisan dan anggota badannya melaksanakan syahadat tersebut, maka kalimat yang baik inilah yang mengangkat amalan tersebut. Pangkalnya tertanam kuat dalam hati dan akarnya sampai ke langit, ia mengeluarkan buahnya setiap saat.”(Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 2/300)

Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Hasan berkata: “Kalimat yang agung ini tidak akan membuahkan manfaat bagi pemeluknya kecuali apabila ia memenuhi syarat-syarat kalimat ‘لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ’ yang tersebut dalam al-Kitab dan al-Sunnah. Allah SWT telah menyebut dalam surah Bara’ah (al-Taubah) dan surah yang lain berkenaan orang-orang yang mengucapkan kalimat ini, tetapi ucapan mereka tidak bermanfaat sama sekali, sebagaimana keadaan golongan ahli kitab dan orang-orang munafik, dan yang seumpamanya. Kalimat tersebut tidak memberikan manfaat kepada mereka kerana mereka tidak mengamalkan syarat-syaratnya.(Lihat Qurrotu ‘Uyun al-Muwahhidin, hlm. 21)

Lafaz ‘لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ’ (Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata) mempunyai dua rukun, iaitu:

  • Al-Nafyu atau peniadaan: لَا إِلَهَ membatalkan syirik dengan segala bentuknya dan mewajibkan kekafiran terhadap segala apa yang disembah selain Allah.
  • Al-Ithbat (penetapan): إِلَّا اللَّهُ menetapkan bahawa tidak ada yang berhak disembah kecuali Allah dan mewajibkan pengamalan sesuai dengan tuntutannya.

Manakala lafaz ‘وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ’ (dan bahawasanya Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Nya) juga mempunyai dua rukun, iaitu menafikan ifrath (berlebih-lebihan) dan tafrith (meremehkan) pada hak Rasulullah SAW. (Lihat al-Tauhid li al-Saff al-Awwal al’Aliy, hlm. 23)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan melafazkan kalimah syahadah dalam satu nifas tidaklah menjadi satu kesalahan melainkan beriktikad dengan ajaran-ajaran yang menyeleweng seperti ajaran dari Pertubuhan Rahmatan Lil Alamin (PERAHMAT) yang difatwakan sesat oleh jabatan-jabatan mufti negeri kerana  ajaran tersebut mengandungi elemen-elemen yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2017 yang bersidang pada 31 Januari 2017 bersamaan 3 Jamadil Awwal 1438H berkaitan Ajaran Ilmu Syahadah (Ilmu Penyaksian), Zikir Nafas dan lain-lain yang berkaitan dengan kedua-duanya yang diajar oleh Pertubuhan Rahmatan Lil Alamin (PERAHMAT) memutuskan bahawa:

Ajaran Ilmu Syahadah (Ilmu Penyaksian), Zikir Nafas dan lain-lain yang berkaitan dengan kedua-duanya yang diajar oleh Pertubuhan Rahmatan Lil Alamin (PERAHMAT) adalah menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar menurut kerana mengandungi elemen-elemen antaranya seperti berikut:__

  • Terbatal Kesemua Rukun Islam Sekiranya Tidak Mempelajari Ilmu Syahadah Yang Dibawa Oleh Ismail bin Kassim (IBK).
  • Tuntutan Mencari Penyaksi Syahadah.
  • Wajib Mempelajari Zikir Nafas Kerana Tiada Cara Lain Untuk Mencari Allah Kecuali Melaluinya.
  • Zikir Nafas Adalah Amalan 124,000 Para Rasul Dan Para Wali Allah.
  • Mengisi Nafas Dengan Zikir لا إله إلا الله .
  • Amalan Zikir Nafas Telah Wujud Sejak Dari Zaman Nabi Adam AS.
  • Zikir Nafas Adalah Amalan 124,000 Para Rasul Dan Para Wali Allah.
  • Amalan Zikir Nafas Adalah Sahih dan Sabit Melalui al-Quran dan al-Hadith.
  • Semua Makhluk Hidup Dengan Kalimah ‘Hu’.
  • Hari Kiamat Akan Berlaku Apabila Tiada Lagi Makhluk Yang Nafasnya Berzikir Dengan Kalimah Allah.
  • Kelebihan Luar Biasa Apabila Mengamalkan Zikir Nafas[1]

Justeru, kami katakan kalimah syahadah yang dilafazkan dengan satu nafas adalah sah selagimana beriktikad dengan iktikad yang sohih dan tidak bercanggah dengan ajaran islam. Imam al-Nawawi dalam isu ini beliau menyatakan: “Ahli Sunnah dari kalangan ahli hadis, fuqaha, dan ulama mutakallimin telah bersepakat bahawa seorang mukmin yang merupakan  ahli kiblat  tidak akan kekal di dalam neraka. Yang demikian tidak akan terjadi melainkan seseorang itu beriktikad dengan sepenuh hati  bahawa agama islam adalah agama yang benar tanpa ada keraguan terhadapnya serta melafazkan dua kalimah syahadah. Sekiranya tidak mencukupi syarat-syarat yang telah dinyatakan tersebut, maka  dia bukanlah dari kalangan ahli kiblah iaitu islam. (Lihat Syarh Muslim,1/149)

Di sini, kami ingin menyarankan agar kita melazimi lafaz syahadah atau tahlil dalam kehidupan seharian. Amalan ini sangat dianjurkan dalam agama, dan terdapat banyak kelebihan yang dapat diperoleh daripadanya, antaranya adalah:

  • Dikurniakan Syurga

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ شَهِدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَأَنَّ عِيسَى عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ أَدْخَلَهُ اللَّهُ الْجَنَّةَ عَلَى مَا كَانَ مِنْ الْعَمَلِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata, tidak ada sekutu bagi-Nya, dan bahwasanya Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Nya, dan bahawasanya ‘Isa adalah hamba dan utusan-Nya dan kalimat-Nya yang Dia sampaikan kepada Maryam dan ruh dari-Nya, dan (dia juga bersaksi) bahawa syurga itu benar adanya dan neraka itu benar adanya, maka Allah akan memasukkan dirinya ke dalam surga berapa pun amal yang telah diperbuatnya.”

Riwayat Bukhari (3435)

  • Merupakan sebab keselamatan dari api neraka bagi yang mengucapkannya.

Daripada ‘Itban bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ قَدْ حَرَّمَ عَلَى النَّارِ مَنْ قَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ يَبْتَغِي بِذَلِكَ وَجْهَ اللَّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengharamkan neraka atas orang-orang yang mengucapkan لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّه yang dia mengharapkan wajah Allah.

Riwayat al-Bukhari (6938) dan Muslim (33)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Wallahua’lam

[1] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15472

Diakses pada 13 September 2023

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *