#319 Memakan Daging Gajah

Rated 0 out of 5
RM6.00
-69%

Buku Fizikal

Solat Sunat Tahajjud

Rated 0 out of 5
RM5.00RM35.00
-32%

Siri Kematian

Fiqh Jenazah

Rated 0 out of 5
RM8.00RM15.00

Siri Solat Sunat

Solat Hari Raya

Rated 0 out of 5
RM5.00

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Istisqa

Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM10.00
-58%
Rated 0 out of 5
RM100.00

Siri Solat Sunat

Solat Musafir

Rated 0 out of 5
RM5.00

Soalan

Adakah halal memakan gajah?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya : “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik”[1]

Ayat di atas menunjukkan bahawa makanan yang hendak dimakan oleh kita hendaklah memenuhi dua kriteria tersebut iaitu, halal dan baik.

Syeikh al-Sa’di telah mengulas ayat ini dengan mengatakan bahawa ianya ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang-orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka mengambilnya (memakan dan mengambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, atau mencuri atau dengan hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan. Manakala toyyiban pula ialah bukan daripada perkara yang buruk (kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging khinzir dan lain-lain. Ayat ini adalah merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. [2]

Memilih memakan makanan yang halal dan baik juga adalah merupakan antara faktor doa diterima oleh Allah SWT. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW :

الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

Maksudnya : “Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, diamenadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan.” [3]

Definisi Gajah

Gajah merupakan mamalia besar daripada keluarga Elephantidae dan order Proboscidea. Secara tradisional, terdapat dua spesies yang diakui, iaitu Gajah Afrika (Loxodonta africana) dan Gajah Asia (Elephas maximus), walaupun beberapa bukti menunjukkan bahawa Gajah semak Afrika dan Gajah hutan Afrika merupakan spesies yang berbeza (L. africana dan L. cyclotis). Gajah tersebar di seluruh Afrika sub-Sahara, Asia Selatan, dan Asia Tenggara. Elephantidae adalah satu-satunya keluarga daripada order Proboscidea yang masih ada; keluarga lain yang kini sudah pupus termasuk mammoth dan mastodon. Gajah Afrika jantan merupakan haiwan darat terbesar dengan tinggi yang dapat mencapai 4 meter dan berat jisim sehingga 7,000 kg. Gajah mempunyai ciri-ciri khusus, dengan yang paling mencolok adalah belalai yang digunakan untuk banyak perkara, terutamanya untuk bernafas, menyedut air, dan mengambil benda. Gigi kacipnya tumbuh menjadi gading yang dapat digunakan sebagai senjata dan alat untuk memindahkan benda atau menggali. Daun telinganya yang besar membantu mengatur suhu tubuhnya. Gajah Afrika mempunyai telinga yang lebih besar dan punggung yang cekung, sementara telinga gajah Asia lebih kecil dan punggungnya cembung.

Gajah merupakan haiwan herbivor yang dapat ditemui di berbagai habitat, seperti savana, hutan, gurun, dan paya. Gajah cenderung berada di tepi air. Gajah dianggap sebagai spesies kunci kerana impaknya terhadap alam sekitar. Haiwan-haiwan lain cenderung menjaga jarak daripada gajah, dan pemangsa seperti singa, harimau. dubuk, dan anjing liar biasanya hanya menyerang gajah muda. Gajah betina cenderung hidup dalam kawanan keluarga, yang terdiri daripada satu betina dengan anak-anaknya atau beberapa betina yang berkerabat beserta anak-anaknya. kawanan ini dipimpin oleh individu gajah yang dipanggil matriark, yang biasanya merupakan betina tertua. Gajah mempunyai struktur kawanan pecah gabung (fission-fusion society), iaitu ketika kawanan-kawanan keluarga bertemu untuk bersosial. Gajah jantan meninggalkan kawanan keluarganya ketika telah mencapai zaman baligh, dan akan tinggal sendiri atau bersama jantan lain. Jantan dewasa biasanya berinteraksi dengan kawanan keluarga ketika sedang mencari pasangan dan memasuki tahap peningkatan testosteron dan agresi yang dipanggil musth, yang membantu jantan mencapai dominasi dan keupayaan membiak. Anak gajah merupakan pusat perhatian kawanan keluarga dan bergantung pada induknya selama lebih kurang tiga tahun. Gajah dapat hidup selama 70 tahun di alam bebas. Gajah berkomunikasi melalui sentuhan, penglihatan, menghidu, dan suara. Gajah menggunakan komunikasi infrabunyi dan seismik untuk jarak jauh. Kecerdasan gajah telah dibandingkan dengan kecerdasan primat, ikan paus dan lumba-lumba. Gajah nampaknya mempunyai kesedaran diri dan menunjukkan empati kepada gajah lain yang hampir atau sudah mati.[4]

Definisi Gading

Gading menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ia didefinisikan sebagai taring gajah.[5]

Gading juga hanya dimiliki oleh spesies mamalia tertentu, yang akan menumbuhkan gigi hadapan yang menonjol keluar dan sentiasa tumbuh. Jenis gigi yang tumbuh menonjol ini bergantung kepada spesies: walrus dan babi akan tumbuh gigi taring mereka manakala gading gajah tumbuh dari gigi kacip. Kedua-dua jantina spesies boleh menumbuhkan gading sendiri, di mana gading jantan lebih besar sebagai senjata berlawan. Gigi hadapan ini mempunyai banyak kegunaan ia bergantung kepada spesies yang memilikinya. Gajah menggunakan gading mereka untuk menggali dan membuat lubang untuk mencari makanan, walrus pula lebih menggunakan taring mereka untuk mencengkam permukaan ais licin dan menolak bongkah ais. Haiwan jantan kerap menunjukkan taring atau gading mereka sebagai tanda tunjuk kuasa (dominance) atau untuk mempertahankan diri daripada haiwan lain yang menyerang.[6]

Hukum Makan Gajah

Para Ulama’ berbeza pandangan mengenai hukum makan gajah. Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ menyatakan bahawa gajah haram di makan di sisi mazhab kami (al-Syafi’ie), Abu Hanifah, al-Kufiyyun dan al-Hasan. Manakala al-Sya’bi, Ibn Syihab dan Malik membenarkannya untuk di makan.[7]

Menurut jumhur ulamak dalam kalangan mazhab Hanafi, Syafi’ie dan Hanbali daging gajah haram dimakan kerana ia tergolong dalam binatang bertaring.  Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Tsa’labah al-Khusyani RA, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ أَكْلِ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ

Maksudnya: “Nabi SAW telah melarang kami dari memakan daging haiwan yang bertaring dari binatang-binatang buas”[8]

Dalam kitab Al-Umm, Imam Syafii berkata sebagai berikut:

ﻭَﻟَﺎ ﻳَﺘَﻮَﺿَّﺄُ ﻭَﻟَﺎ ﻳَﺸْﺮَﺏُ ﻓﻲ ﻋَﻈْﻢِ ﻣَﻴْﺘَﺔٍ ﻭَﻟَﺎ ﻋَﻈْﻢِ ﺫَﻛِﻲٍّ ﻟَﺎ ﻳُﺆْﻛَﻞُ ﻟَﺤْﻤُﻪُ ﻣِﺜْﻞِ ﻋَﻈْﻢِ ﺍﻟْﻔِﻴﻞِ ﻭَﺍﻟْﺄَﺳَﺪِ ﻭﻣﺎ ﺃَﺷْﺒَﻬَﻪُ ﻟِﺄَﻥَّ ﺍﻟﺪِّﺑَﺎﻍَ ﻭَﺍﻟْﻐُﺴْﻞَ ﻟَﺎ ﻳُﻄَﻬِّﺮَﺍﻥِ ﺍﻟْﻌَﻈْﻢَ ﺭَﻭَﻯ ﻋﺒﺪ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﺑﻦ ﺩِﻳﻨَﺎﺭٍ ﺃَﻧَّﻪُ ﺳﻤﻊ ﺑﻦ ﻋُﻤَﺮَ ﻳَﻜْﺮَﻩُ ﺃَﻥْ ﻳُﺪَﻫَّﻦَ ﻓﻲ ﻣُﺪْﻫُﻦٍ ﻣﻦ ﻋِﻈَﺎﻡِ ﺍﻟْﻔِﻴﻞِ ﻟِﺄَﻧَّﻪُ ﻣَﻴْﺘَﺔٌ

Maksudnya: Tidak diperkenankan berwudhu’ dan minum dengan menggunakan tulang bangkai dan tulang haiwan yang disembelih yang tidak boleh dimakan dagingnya, seperti tulang gajah, harimau dan sejenisnya. Hal ini kerana tulang haiwan tidak dapat disucikan dengan dibasuh atau dengan proses penyamaan. Abdullah bin Dinar meriwayatkan bahawa dia pernah mendengar Abdullah bin Umar yang tidak suka berminyak dengan minyak dari tulang gajah kerana ia merupakan bangkai.[9]

Imam al-Nawawi menyatakan di dalam al-Majmu’[10]: Sebagaimana yang kami katakan bahawa mazhab kami (al-Syafi’ie) mengharamkan makan gajah. Pandangan ini selari dengan pandangan Abu Hanifah, Ahmad, Daud dan Jumhur. Manakala Imam Malik memakruhkannya tanpa mengharamkannya dengan hujah firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah“. [11]

Menurut Mazhab Malik, binatang-binatang yang tidak disebut dalam ayat ini tidaklah haram memakannya. Adapun binatang-binatang yang bertaring tadi, makruh memakannya kerana dilarang oleh hadith. Justeru, larangan Nabi SAW dalam hadith tadi adalah larangan makruh, bukan larangan haram.[12]

Manakala mazhab kami (al-Syafi’ie) berhujah dengan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas dan selainnya yang melarang daripada memakan binatang yang mempunyai taring dan dalam riwayat Muslim menyebutkan “Setiap binatang buas yang bertaring, maka memakannya adalah haram”. Dalam menjawab hujah imam Malik dengan ayat al-Quran bahawa arahan tersebut adalah khabar dan tidak ada pengharaman pada ketika itu, kemudian wahyu lain datang mengharamkan haiwan bertaring kerana ayat quran tersebut merupakan ayat Makkiah yang diturunkan di Makkah manakala hadith tersebut Madaniah, yang diucapkan ketika di Madinah. Hal ini kerana hadith tersebut merupakan pengkhususan kepada ayat tersebut. Wallahu’alam”[13]

Al-Allamah Khalil bin Ishaq al-Maliki menyatakan di dalam Mukhtasar al-Khalil: Yang dimakruhkan untuk makan adalah yang bertaring, dubuk, musang, serigala, kucing, kuda belang dan gajah.[14]

Gajah termasuk dalam kategori hidupan liar yang dilindungi

Berdasarkan Undang-Undang Malaysia, Akta 716, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, gajah merupakan hidupan Liar Dilindungi Sepenuhnya. Gajah merupakan spesies hidupan liar yang diperlindungi di bawah Jadual 1 Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76, 1972. Ia juga disenaraikan di bawah Lampiran 1, CITES (Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora) serta dikategorikan sebagai binatang yang terancam dalam Buku Data Merah IUCN (International Union for the Conservation of Nature and Natural Resources). Oleh itu, perdagangan spesies ini di peringkat antarabangsa adalah dikawal dengan ketat.[15]

Oleh sebab itu, tidak boleh sewenang-wenangnya memburu, menangkap atau menahan jerat terhadap haiwan-haiwan berkenaan. Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakkan dan hukuman sebagaimana yang telah termaktub di dalam akta berkenaan.

Kesimpulan

Setelah kami meneliti dalil-dalil dan pandangan para ulama serta melihat kepada realiti dan waqi’ Malaysia, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Kami cenderung kepada pendapat yang mengharamkan memakan daging gajah yang merupakan salah satu pendapat di dalam mazhab Syafie dan ini merupakan pendapat yang lebih selamat (Ahwat).
  • Sebagaimana yang telah kita ketahui, spesies gajah merupakan hidupan yang semakin pupus. Justeru, menjadi tanggungjawab kita bersama dalam memastikan kelangsungannya buat generasi akan datang (supaya dapat melihat dan mengenalinya). Oleh itu, ini bertepatan dengan kaedah Saddu al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar.
  • Tambahan lagi, gajah adalah merupakan hidupan liar yang dipelihara sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam Akta 716. Malah, sesiapa yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakkan undang-undang serta hukuman.
  • Pemerintah berhak untuk memutuskan sesuatu keputusan bagi menjaga maslahah yang lebih penting. Ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh yang masyhur :

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya “Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”

  • Justeru, menjadi tanggungjawab rakyat untuk taat dan menyokong ulil amri (pemerintah) dalam hal-hal yang makruf (baik).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 19 Januari 2022 bersamaan 16 Jamadil Akhir 1443H

 

[1] Surah al-Baqarah: 168

[2] Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/80

[3] Riwayat Muslim (1015)

[4] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Gajah (Diakses pada 18 Januari 2022)

[5] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=gading (Diakses pada 19 Januari 2022)

[6] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Gading (Diakses pada 19 Januari 2022)

[7] Lihat al-Majmu’, 9/17

[8] Riwayat al-Bukhari (5530, 5780) dan Muslim (1932)

[9] Lihat al-Umm, 2/30

[10] Lihat al-Majmu’, 9/17

[11] Surah al-An’am: 145

[12] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah

[13] Lihat al-Majmu’, 9/17

[14] Lihat Mukhtasar al-Khalil, hlm. 80

[15] Lihat https://www.wildlife.gov.my/images/stories/penerbitan/lain_lain/PelanPengurusanGajahSM.pdf (hlm. 15 – Diakses pada 18 Januari 2022)

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Home
Account
Cart
Search