#3222: Barangan Peribadi yang Disembunyikan dari Sebut Harga Syarikat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Haram atau tidak jika saya memesan sesuatu barang dan kemudian saya selitkan sekali satu tin biskut tanpa pengetahuan pihak majikan? Bermaksud, sebut harga (quotation) hanya merujuk kepada satu barang sahaja tanpa menyebut biskut tersebut. Buat pengetahuan Datuk, tempat kerja saya tidak menyediakan kantin, dan jika lapar kebiasaannya kami berkongsi sahaja makanan yang ada terutama pada waktu petang dan malam.

Penyelia saya membenarkan tindakan saya, maka adakah ianya masih haram? Saya masih ragu-ragu. Alasan tidak disebutkan biskut dalam sebut harga (quotation) hanya kerana takut majikan marah.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan terlebih dahulu dengan definisi Sebut Harga (quotation) ini. Ia didefinisikan menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat sebagai suatu pernyataan harga yang diberikan oleh pembekal kepada bakal pembeli utk sesuatu barangan yang dipesan.

Melihat pada konteks persoalan yang dikemukakan, tin biskut yang disebutkan oleh saudara tidak dinyatakan di dalam sebut harga yang dihantar oleh pembekal ke syarikat saudara bekerja. Dalam menjawab persoalan ini, kami cuba membahagikannya kepada 2 situasi agar hukumnya menjadi lebih jelas.

Pertama: Harga satu tin biskut tersebut dan kos penghantarannya diselitkan bersama dalam jumlah yang perlu dibayar oleh pihak syarikat saudara bekerja.

Dalam situasi ini, perbuatan menyelitkan satu tin biskut itu bersama adalah tidak dibenarkan. Ini merupakan salah satu bentuk mengambil kesempatan terhadap kepercayaan dan amanah yang telah diberikan oleh majikan kepada kita. Sedangkan perbuatan pecah amanah ini telah disebutkan oleh Rasulullah SAW sebagai salah satu ciri orang munafiq.

Telah thabit daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

آيَةُ المُنافِقِ ثَلاثٌ: إذا حَدَّثَ كَذَبَ، وإذا وعَدَ أخْلَفَ، وإذا اؤْتُمِنَ خانَ

Maksudnya: “(Antara) tanda orang munafiq itu ada tiga; jika bercakap dia berdusta, jika berjanji dia mungkiri, dan jika dia diberikan kepercayaan dia khianati.”

Riwayat al-Bukhari (6059) dan Muslim (59)

Bersifat dengan sifat amanah ini juga merupakan sifat orang mu‘min, sepertimana yang disebutkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ

Maksudnya: “(Orang mu’min itu ialah) yang menunaikan amanah dan perjanjian mereka.”

(Surah al-Mu’minin: 8)

Adapun kebenaran yang diberikan oleh penyelia saudara tidak boleh menjadi tiket untuk menghalalkan perbuatan tersebut, kerana akhirnya kerugian tersebut perlu ditanggung oleh pemilik syarikat, meskipun ia hanya kerugian yang sangat kecil dan mungkin tidak memberi kesan. Allah SWT berfirman:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).”

(Surah al-Nisa’: 29)

Ingatlah bahawa Islam tidak membezakan antara kesalahan yang besar atau kecil, bahkan semua itu pasti akan dihisab di akhirat kelak.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ

Maksudnya: “Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”

(Surah al-Zalzalah: 8)

Kedua: Harga satu tin biskut tersebut dan kos penghantarannya ditanggung sepenuhnya oleh saudara yang bertanya. Ia diselitkan sekadar memudahkan urusan kerana kesemua barang tersebut akhirnya akan di hantar ke alamat syarikat.

Dalam situasi ini pula, kami tidak mendapati sebarang masalah untuk saudara menyelitkan bersama pesanan satu tin biskut tersebut. Akan tetapi, perlu dipastikan terlebih dahulu bahawa perbuatan saudara itu tidak akan memberikan sebarang mudharat kepada syarikat, sama ada mendatangkan kerugian, menyusahkan proses pembelian barang syarikat dan sebagainya.

Hal ini kerana terdapatnya larangan syara‘ daripada mendatangkan mudharat kepada orang lain. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tiada kemudharatan (dalam Syariat Islam) dan tidak boleh mengenakan kemudharatan (tanpa hak).”

Riwayat Ahmad (22778) dan Ibn Majah (2340)

Sebaiknya, saudara memaklumkan perkara ini kepada majikan agar tidak timbulnya salah faham seterusnya menimbulkan rasa marah pada mana-mana pihak. Ini juga bagi mengelakkan berlakunya campur aduk antara barang yang dihantar oleh pembekal untuk syarikat dan barang yang dihantar untuk saudara.

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan yang kami bawakan di atas, kami katakan bahawa hukum menyelitkan apa-apa barangan milik peribadi dan menyembunyikannya daripada sebut harga (quotation) syarikat memerlukan kepada perincian.

  • Jika ia menyebabkan kerugian kepada syarikat, maka ia tidak dibolehkan secara mutlaq. Hal ini kerana 2 sebab yang utama:
  1. Mengkhianati kepercayaan majikan.
  2. Makan harta majikan secara zalim.
  • Jika ia tidak memberikan sebarang kesan dan kerugian kepada syarikat, maka tidak menjadi masalah, dan lebih baik dimaklumkan hal tersebut kepada majikan agar tidak berlaku salah faham.

Ini dengan syarat:

  1. Dipastikan ia tidak akan memberikan sebarang mudharat kepada syarikat.
  2. Tidak mendatangkan kerugian.
  3. Tidak menyusahkan proses pembelian barang syarikat dan sebagainya.

Manakala bagi permasalahan saudara dan rakan sekerja lapar ketika bekerja, cuba cari alternatif yang lebih selamat daripada sebarang isu seperti membawa bekal dari rumah, atau mengusulkan kepada majikan agar diwujudkan pantri. Sebagaimana pekerja perlu menjalankan kerja sebaiknya dan sepenuh hati, begitu jugalah majikan perlu meraikan keselesaan pekerjanya agar hasil kerja mereka menjadi lebih berkualiti.

Semoga pencerahan ini dapat memberikan kita kefahaman yang baik tentang amanah dalam bekerja. Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ ارْزُقْنَا رِزْقًا حَسَنًا وَاسِعًا حَلاَلاً طَيِّبًا مُبَارَكًا وَأَنْتَ خَيْرُ الرَّازِقِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah berilah kami rezeki yang baik, luas, halal, bersih, diberkati. Dan sesungguhnya Engkau adalah sebaik-baik Pemberi rezeki.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *