#3367: Budak Lelaki Belum Berkhatan Bersama Saf Dewasa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum budak lelaki yang belum berkhitan/bersunat bersama saf dewasa? Seperti kita sedia maklum air kencing tidak dapat dibersihkan dengan sempurna bagi kanak-kanak belum berkhitan ni. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya kami ingin nyatakan bahawa mengajak anak-anak ke masjid bagi sama-sama menunaikan solat secara berjemaah adalah amat baik. Apatah lagi, sejarah telah membuktikan bahawa kanak-kanak telah dibawa ke masjid untuk diajarkan ibadah solat serta pembelajaran ilmu. Bahkan kanak-kanak perlulah di bawa ke masjid semenjak kecil supaya perasaan cintakan masjid serta cintakan solat berjamaah dapat dipupuk lebih awal dalam diri mereka.

Seterusnya, berkenaan kedudukan makmum dalam susunan saf solat yang solat adalah sebagaimana riwayat Abdullah bin Mas‘ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لِيَلِيَنِّي ‌مِنْكُمْ ‌أُولُو ‌الأَحْلَامِ ‌وَالنُّهَى ‌ثُمَّ ‌الَّذِينَ ‌يَلُونَهُم

Maksudnya: “Hendaklah berdiri di belakangku daripada kalangan kamu orang yang baligh dan berakal, kemudian orang yang hampir dengan mereka.”

Riwayat Muslim (432)

Menurut Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff berkenaan susunan jemaah dalam saff ketika solat berjemaah bahawa jika makmum hanya seorang lelaki, maka dia hendaklah berdiri di sebelah kanan imam. Apabila seorang makmum lelaki yang lain datang, maka orang tersebut hendaklah berdiri di sebelah kiri imam. Kemudian imam boleh berganjak/bergerak ke hadapan atau kedua-dua makmum lelaki tadi boleh berganjak ke belakang dan inilah yang sebaik-baiknya (afdhal).

Menurut beliau lagi, dari segi susunan jemaah dalam saf, hendaklah yang berdiri di belakang imam jemaah lelaki, kemudian jemaah kanak-kanak, kemudian jemaah khunsa dan kemudian barulah jemaah wanita. Manakala imam wanita ketika mengimamkan jemaah wanita pula hendaklah berdiri di tengah-tengah dalam saf jemaah wanita itu, dan begitu juga imam (lelaki) yang bertelanjang tanpa sebarang pakaian yang dapat dilihat bukan pada waktu malam hari juga hendaklah berdiri di tengah-tengah dalam saf jemaahnya.[1] (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 294).

Oleh yang demikian, susunan pembahagian saf solat jemaah di belakang imam yang masyhurnya adalah sebagaimana berikut:

  • Lelaki dewasa.
  • Kanak-kanak lelaki.
  • Khunsa
  • Wanita dewasa.
  • Kanak-kanak perempuan.

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A bahawa:

أَنَّ جَدَّتَهُ مُلَيْكَةَ دَعَتْ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِطَعَامٍ صَنَعَتْهُ لَهُ، فَأَكَلَ مِنْهُ، ثُمَّ قَالَ: قُومُوا فَلِأُصَلِّ لَكُمْ. قَالَ أَنَسٌ: فَقُمْتُ إِلَى حَصِيرٍ لَنَا، قَدِ اسْوَدَّ مِنْ طُولِ مَا لُبِسَ، فَنَضَحْتُهُ بِمَاءٍ، فَقَامَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَصَفَفْتُ وَاليَتِيمَ وَرَاءَهُ، وَالعَجُوزُ مِنْ وَرَائِنَا، فَصَلَّى لَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ انْصَرَفَ

Maksudnya: “Neneknya Mulaikah telah menjemput Nabi SAW untuk makan makanan yang telah disediakannya untuk Baginda SAW. Lalu Baginda memakan sebahagian daripada makanan itu kemudian bersabda: ‘Bangunlah, biar aku mengimami kamu untuk solat.’” Anas berkata: “Aku terus pergi mengambil tikar kami yang telah kehitaman disebabkan sudah lama digunakan. Aku renjiskannya dengan air. Rasulullah SAW pun berdiri dan aku bersama seorang anak yatim membuat saf di belakang Baginda. Nenekku yang tua itu pula berada di belakang kami. Rasulullah SAW solat dua rakaat bersama kami. Setelah itu, Baginda pun berangkat pulang.”

Riwayat al-Bukhari (380)

Selain itu, terdapat juga riwayat daripada Abu Malik al-Asya‘ri R.A, katanya: “Tidakkah aku harus menyampaikan kepada kamu tentang bagaimana Nabi SAW memimpin solat?” Beliau berkata:

فَأَقَامَ الصَّلَاةَ، وَصَفَّ الرِّجَالَ وَصَفَّ خَلْفَهُمُ الْغِلْمَانَ، ثُمَّ صَلَّى بِهِمْ

Maksudnya: “Baginda mendirikan solat dan menyusun saf jemaah lelaki dan menyusun di belakang mereka saf jemaah kanak-kanak lelaki, kemudian barulah Baginda mengimamkan solat mereka.

Riwayat Abu Daud (677)

Selain daripada itu, susunan saf sebagaimana dinyatakan dalam hadith di atas adalah berdasarkan keutamaan. Al-Khatib al-Syirbini menjelaskan bahawa kedudukan kanak-kanak lelaki adalah selepas lelaki dewasa kerana mereka merupakan daripada jenis lelaki, tidak seperti golongan khunsa dan wanita. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/492).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, berkenaan budak lelaki yang bersama dalam saf dewasa adalah tidak mengapa dan dibolehkan. Ini adalah jelas sebagaimana hadith Anas bin Malik R.A yang kami telah nyatakan di atas yang mana beliau berdiri sekali dalam satu saf bersama seorang anak yatim di belakang imam — Rasulullah SAW.

Malah Imam al-Nawawi ketika mensyarahkannya menyatakan bahawa padanya menunjukkan kesahan solat kanak-kanak lelaki mumayyiz berdasarkan kepada kata-kata Anas bin Malik R.A: “Aku dan seorang anak yatim berdiri dalam saf di belakang Baginda SAW — ketika solat.” Selain itu, hadith ini juga menunjukkan bahawa kanak-kanak lelaki mempunyai kedudukan dalam saf solat. Inilah pendapat yang sahih lagi masyhur dalam mazhab kita (mazhab al-Syafi‘i) dan jumhur ulama. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/163).

Bahkan sebenarnya juga kedudukan susunan dalam saf ini juga (iaitu antara lelaki dewasa dan kanak-kanak lelaki) adalah berdasarkan kepada keutamaan sebagaimana yang kami telah nyatakan, dan hukumnya hanyalah sunat. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari bahawa kedudukan saf kanak-kanak lelaki diletakkan di belakang lelaki dewasa apabila saf dewasa tidak muat untuk mereka. Namun, jika masih ada lagi ruang (dalam saf lelaki dewasa), maka kanak-kanak lelaki hendaklah memenuhkan ruang saf tersebut. Menurut beliau lagi, susunan ini hukumnya adalah mustahab (sunat/digalakkan) dan bukannya syarat. Sekiranya mereka menyalahi (susunan saf ini), solat mereka itu tetap dikira sah tetapi makruh — tidak disukai.

Begitulah juga tidak dipindahkan kedudukan kanak-kanak yang datang awal (duduk dalam saf) untuk digantikan dengan lelaki dewasa yang datang kemudian. Hal ini kerana mereka daripada jenis yang sama (iaitu dalam kalangan lelaki), berbeza halnya dengan khunsa dan wanita. (Lihat Asna al-Matalib, 1/223).

Begitu juga al-Khatib al-Syirbini turut menyebutkan, apabila jemaah datang serentak, lalu kanak-kanak lelaki tiba lebih awal berbanding orang dewasa, maka janganlah mereka dikebelakangkan demi memberi tempat kepada lelaki dewasa yang sampai terkemudian. Demikian pula jika kanak-kanak lelaki lebih awal tiba di saf pertama, maka mereka lebih berhak terhadap tempat mereka berdasarkan pendapat yang sahih.  (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/492). Hal ini bertepatan dengan hadith Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يُقِيمُ الرَّجُلُ الرَّجُلَ مِنْ مَجْلِسِهِ ثُمَّ يَجْلِسُ فِيهِ

Maksudnya: “Tidak boleh seseorang membangunkan seseorang yang lain dari tempat duduknya, lalu kemudian, dia pula duduk di tempat tersebut.

Riwayat al-Bukhari (6269)

Sekalipun begitu, sebaik-baiknya kanak-kanak yang mumayyiz ini tidak berada betul-betul di belakang imam dalam saf awal, sebaliknya mereka boleh berada di mana-mana bahagian saf pertama. Hal ini adalah supaya makmum yang berada berdekatan dengan imam itu boleh memperbetulkan dan menggantikan imam — jika imam ada terlupa atau melakukan kesalahan dalam solat. Ini bertepatan dengan riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لِيَلِيَنِّي ‌مِنْكُمْ ‌أُولُو ‌الأَحْلَامِ ‌وَالنُّهَى ‌ثُمَّ ‌الَّذِينَ ‌يَلُونَهُم

Maksudnya: “Hendaklah berdiri di belakangku daripada kalangan kamu orang yang baligh dan berakal, kemudian orang yang hampir dengan mereka.”

Riwayat Muslim (432)

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa kanak-kanak lelaki dibolehkan berada dalam saf lelaki dewasa selama mana dia dikawal oleh ibu bapanya, sudah mumayyiz, sudah boleh faham dan boleh bezakan antara baik dan buruk. Ini berdasarkan nas yang menunjukkan bahawa pada zaman Nabi SAW dibolehkan untuk kanak-kanak berada bersama dalam satu saf dengan lelaki dewasa sebagaimana riwayat Anas bin Malik R.A yang telah disebutkan sebelum ini. Bahkan sebahagian ulama berpendapat, jika ruang saf masih lagi kosong, kanak-kanak itu hendaklah memenuhkan ruang saf yang kosong tersebut.

Adapun berkenaan kanak-kanak yang belum mumayyiz, pada asalnya mereka tidak digalakkan untuk turut serta dalam solat berjemaah kerana mereka belum lagi dibebankan dengan tanggungjawab solat. Namun, jika mereka tetap turut serta dalam saf jemaah, solat seseorang yang berhampiran dengannya tidak terjejas dan tetap dikira sah.

Manakala berkenaan kanak-kanak tersebut masih belum berkhatan (tidak kira mumayyiz ataupun tidak), sebenarnya dia tetap tidak dikira menanggung najis. Apabila kanak-kanak sudah membersihkan kemaluannya selepas buang air dengan air bersih maka ia sudah dikira suci. Apatah lagi, hukum asal seseorang itu adalah tidak bernajis. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh al-Syirazi dalam kitabnya bahawa jika seseorang yang menunaikan solat itu membawa bersama haiwan yang suci (yang masih hidup) ketika solat, maka solatnya tetap dikira sah kerana Nabi SAW pernah mendukung Umamah binti Abu al-As ketika solat. Ini juga kerana najis yang berada dalam perut haiwan (yang masih hidup) itu sama hukumnya dengan najis yang berada dalam badan orang yang menunaikan solat itu. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/119).

Sekalipun begitu, kami juga berpendapat sebaik-baiknya kanak-kanak ini tidak berada betul-betul di belakang imam dalam saf awal, sebaliknya mereka boleh berada di mana-mana bahagian saf pertama. Hal ini adalah supaya makmum yang berada berdekatan dengan imam itu boleh memperbetulkan dan menggantikan imam jika imam ada terlupa atau melakukan kesalahan dalam solat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

[1] Ini adalah bagi situasi semua orang termasuklah imam dan makmum dalam keadaan bertelanjang tanpa seurat pakaian pun. Adapun ketika waktu malam hari yang tidak dapat dilihat, atau jemaahnya itu semuanya buta, maka imam hendaklah berdiri di hadapan saf bagi mengimamkan solat mereka.

Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *