#3368: Memakai Beg Kulit atau Kasut Kulit yang Diperbuat daripada Bangkai

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum memakai beg atau kasut yang diperbuat daripada kulit haiwan yang tidak disembelih cara Islam. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya, kulit haiwan yang diambil daripada haiwan yang disembelih menurut syarak adalah dikira suci dan halal. Hal ini kerana tidak ada sesuatupun daripada bahagian anggota haiwan halal yang disembelih menjadi najis disebabkan oleh sembelihan yang dilakukan. Sebaliknya, kita diharuskan untuk mengambil manfaat dengan dagingnya, tulangnya, bulunya, uratnya dan lain-lain selagi mana ia bukan najis. (Lihat al-Bayan, 1/80). Bahkan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (5/153) ada dinukilkan bahawa tidak syak lagi, sembelihan yang dilakukan pada haiwan yang halal dimakan, menunjukkan bahawa haiwan itu harus untuk dimakan secara keseluruhannya — yakni meliputi seluruh bahagian atau anggotanya yang lain selagi mana tiada nas dalil yang menyatakan sebaliknya.

Manakala kulit haiwan yang tidak disembelih menurut syarak pula dianggap sebagai najis kerana ia adalah bangkai. Mengenai hal ini, menurut mazhab Syafi‘i, kesemua kulit bangkai boleh menjadi suci dengan cara disamak, tidak kira kulit itu daripada bangkai yang halal dimakan dagingnya ataupun tidak, melainkan kulit babi dan anjing serta apa yang lahir daripada keduanya. (Lihat Fath al-Qarib al-Mujib, hlm. 28). Perkara ini adalah sebagaimana dinukilkan daripada Ali bin Abu Talib dan Ibn Mas‘ud R.Anhuma. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/217; al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, 1/69).

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا دُبِغَ الإِهَابُ فَقَدْ طَهُرَ

Maksudnya:Jika disamak kulit maka ia menjadi suci.”

Riwayat Muslim (838)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma yang lain, beliau berkata:

وَجَدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَاةً مَيِّتَةً، أُعْطِيَتْهَا مَوْلاَةٌ لِمَيْمُونَةَ مِنَ الصَّدَقَةِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَلَّا انْتَفَعْتُمْ بِجِلْدِهَا؟ قَالُوا: إِنَّهَا مَيْتَةٌ: قَالَ: إِنَّمَا حَرُمَ أَكْلُهَا

Maksudnya:Nabi SAW menemui seekor kambing yang telah mati. Ia disedekahkan kepada maula Maimunah. Lalu Nabi SAW bersabda: ‘Mengapa kamu tidak memanfaatkan kulitnya?’ Mereka menjawab: ‘Sesungguhnya ia adalah bangkai.’ Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya yang diharamkan hanyalah memakannya.’

Riwayat al-Bukhari (1492)

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbahasan di atas, jelaslah bahawa kulit bangkai haiwan sama ada diambil daripada haiwan yang halal dagingnya atau tidak, kecuali kulit babi dan anjing serta apa yang lahir daripada keduanya, boleh menjadi suci apabila disamak. Justeru, diharuskan untuk memakai dan menggunakan barangan kulit seperti beg, dompet, tali pinggang dan lain-lain, yang diperbuat daripada kulit yang disamak (selain kulit babi dan anjing serta apa yang lahir daripada keduanya) kerana ia telah menjadi suci.

Selain daripada itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan, jika kulit telah menjadi suci dengan proses samak, maka dibolehkan untuk mengambil manfaat daripadanya, sama ada dalam keadaan basah mahupun kering berdasarkan hadith di atas. Oleh yang demikian, diharuskan untuk mendirikan solat dengan memakainya atau membawanya bersama — dan solat itu adalah sah. Tambahan lagi, proses samak itu juga telah menyucikan kulit tersebut pada zahir (yakni apa yang dapat dilihat) dan batinnya (yakni apa yang tidak dapat dilihat). Inilah pendapat mazhab Syafi‘i yang tepat sebagaimana yang ditunjukkan oleh nas daripada Imam al-Syafi‘i, diputuskan mengenainya oleh ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dari Iraq, al-Baghawi dan selainnya dari Khurasan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/227).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *