#3392: Was-was Pada Sebutan Bacaan al-Quran Dalam Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Assalamualaikum wbt. Saya ada persoalan mengenai permasalahan ketika solat. Adakah batal solat saya jika situasi begini: Saya was was dengan sebutan saya dan ingin ulangi bacaan tersebut tetapi saya tidak sengaja berhenti di tempat yang tidak betul/ayat tidak lengkap. Sebagai contoh, bismillahirrahmanirrahim dibaca bismillahirrah.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Was-was dari segi bahasa ialah bisikan halus daripada angin dan lain-lain. Dari segi istilah, para fuqaha’ membahagikan takrifan was-was kepada beberapa makna, antaranya:

  • Was-was bermaksud percakapan di dalam diri sendiri seperti dibisikkan ke dalam diri insan perasaan berbolak-balik samada telah melakukan sesuatu atau belum melakukan sesuatu.
  • Was-was bermaksud sesuatu yang dibisikkan oleh syaitan ke dalam diri manusia.
  • Was-was ialah apa yang dibisikkan ke dalam diri manusia ketika melakukan sesuatu perkara kepada tahap yang terlalu berhati-hati sehinggakan apabila telah melakukan sesuatu, dia akan mengulangi perkara itu secara berlebihan dan keterlaluan.
  • Was-was ialah penyakit pada akal manusia yang apabila dia bercakap maka percakapannya adalah sia-sia. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, 43/147)

Penyakit was-was ini telah diingatkan oleh Nabi saw dan diberikan penyelesaian oleh Baginda. daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

الشَّيْطَانُ جَاثِمٌ عَلَى قَلْبِ ابْنِ آدَمَ ، فَإِذَا ذَكَرَ اللهَ خَنَسَ وَإِذَا غَفَلَ وَسْوَسَ

Maksudnya: “Syaitan itu duduk bercangkung di atas hati manusia, apabila manusia menyebut nama Allah, dia (syaitan) akan mengundurkan diri dan apabila manusia lalai, dia (syaitan) akan membisikkan kejahatan.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (35919), Abu Dawud dalam al-Zuhd (337). Hadith ini isnadnya dinilai sahih oleh pengarang Takhrij Misykat al-Masabih (2221)

Al-Tibi menjelaskan: Lafaz ini merupakan majaz iaitu tipu daya syaitan dan bisikannya berjalan pada manusia sebagaimana darah berjalan pada salurannya. Syaitan ini sentiasa memperdayakan jiwa manusia, dan sentiasa meniupkan bisikan dan was-was pada hati dan jiwa manusia dengan menggunakan kemarahan dengan menggunakan darah (dalam diri manusia) dan menggunakan kekuatannya. Cara merawatnya adalah dengan lapar dan berpuasa kerana ianya dapat menghalang hawa nafsu dan juga syahwat yang merupakan senjata syaitan. Kekenyangan membawa kepada dosa, kekurangan iman dan juga gangguan fikiran. (Lihat al-Kasyif ‘an Haqa’iq al-Sunan, 2/521)

Justeru, dalam hal ini kami menasihati supaya sentiasa mengamalkan doa-doa yang dianjurkan untuk membacanya bagi menghindari penyakit was-was dalam dirisepertimana yang telah diajarkan oleh Allah SWT:

وَقُل رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنۡ هَمَزَٰتِ ٱلشَّيَٰطِينِ ٩٧ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحۡضُرُونِ ٩

Maksudnya: Dan katakanlah: “Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan. Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku, dari kedatangan mereka kepadaku.”

(Surah al-Mu’minun: 97-98)

Juga doa yang biasa diamalkan oleh Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Saidina Aisyah R. Anha:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ وَطَاعَتِكَ

Maksudnya: “Wahai (Tuhan) yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hatiku atas agama-Mu dan ketaatan kepada-Mu.”

Riwayat Imam Ahmad (26133) dalam Musnad.

Selain itu kami katakan hendaklah saudara sentiasa mendalami ilmu agama kerana was-was itu dapat dihindari dengan ilmu yang yakin. Yang demikian sepertimana yang telah dinyatakan oleh Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah bahawa : Sesungguhnya was-was itu tidak akan menguasai melainkan ke atas mereka yang jahil dan kurang akal yang tidak dapat membezakan (antara yang sahih ataupun tidak). Sedangkan mereka yang berada di atas hakikat ilmu dan akal tidak akan terkeluar daripada mengikut petunjuk dan tidak pula cenderung kepada perlakuan bid’ah. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/150)

Sebagai seorang Muslim, kita seharusnya gigih dalam mempelajari ilmu agama. Ini kerana ilmu agama akan memperkukuhkan keimanan dalam hati kita dan membantu kita memahami ajaran Islam dengan lebih mendalam. Belajarlah membaca al-Quran daripada guru al-Quran berkenaan cara bacaan al-Quran yang betul supaya perasaan was-was itu tidak hadir ketika membacanya. Sesungguhnya bagi setiap pembaca al-Quran, hendaklah membaca al-Quran dengan tartil dan bertajwid dengan kadar yang wajib baginya. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا

Maksudnya:Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan.”

(Surah al-Muzammil: 4)

Syeikh al-Tantawi di dalam tafsirnya al-Wasit menyebutkan yang dimaksudkan dengan ‘وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا’ itu adalah membaca dengan suara yang merdu, dengan khusyu’ dan tadabbur serta beriltizam dengan bacaan yang sempurna lagi sahih dengan melihat kepada makhraj-makhraj hurufnya, waqafnya, hukum mad, izhar, ikhfa’ dan sebagainya. (Lihat Tafsir al-Wasit, 15/155)

Ibn al-Jazari berkata: Kewajipan membaca tajwid ini adalah adalah pada mereka yang mampu kerana Allah SWT menurunkan kitab-Nya al-Quran kepada Nabi-Nya SAW sehingga ia sampai kepada kita secara mutawatir dengan bertajwid. Manakala bagi sesiapa yang tidak memperelokkan dan memperbetulkan bacaan al-Qurannya, sedangkan dia mampu, maka dia telah berdosa dan telah melakukan maksiat. (Lihat Syarh Toyyibah al-Nasyr li Ibn al-Jazariyy, hlm.35)

Ibn al-Jazari berkata lagi bahawa tajwid adalah perhiasan bagi bacaan al-Quran, iaitu memberikan hak pada huruf-huruf mereka dan susunan mereka berdasarkan kedudukan mereka, dan meletakkan atau memulangkan huruf pada tempat keluar makhrajnya dan melampirkannya dengan apa yang seumpamanya, dan membetulkan lafaznya, dan melembutkan sebutannya berdasarkan kepada bentuknya, dan juga keadaannya, tanpa berlebihan dan juga menguranginya. (Lihat al-Nasyru fi al-Qira’at al-‘Asyr; 1/212)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa seseorang itu perlu menjauhi dan mengelakkan diri daripada was-was. Belajarlah bacaan al-Quran dengan baik daripada guru al-Quran supaya tidak ada was-was ketika membacanya. Berkenaan dengan solat pula, Insya-Allah solat tersebut adalah sah, tetapi mestilah diulangi bacaan yang tidak sempurna itu dengan menyempurnakan bacaan tersebut sehingga ia sempurna. Berusahalah untuk belajar dan memperbaiki solat dan bacaannya ke arah yang lebih baik.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Allah Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku atas agamamu.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (1926)

Wallahua’lam

Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *