#3393: Hadiah Dari Konten NPC Tiktok

Soalan:

Assalamualaikum wbt, Dr, mohon penjelasan hukum dan sumber keberkatan duit, berkenaan trend NPC yang ada di live tiktok sekarang. Bila penonton bagi gift/duit, mereka akan buat pergerakan atau memek muka comel untuk penonton. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hadiah berasal daripada perkataan bahasa Arab, yang bermaksud pemberian seseorang yang sah memberi ketika dia masih hidup, secara tunai tanpa ada sebarang syarat dan mengharapkan balasan.(Lihat Aqrab al-Masalik, 5/342)

Dari sudut bahasa, hadiah ialah harta yang diserahkan atau diberikan kepada seseorang sebagai tanda penghormatan kepadanya. Manakala dari sudut istilah, ulama’ mazhab Syafi’i menyebut bahawa hadiah ialah pemilikan sesuatu benda tanpa berlakunya pertukaran dan berlakunya perpindahan (barang tersebut) kepada orang yang dihadiahkan sebagai tanda penghormatan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/252)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A sabda Nabi SAW:

تَهَادُوا تَحَابُّوا

Maksudnya: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah. Nescaya, kamu akan saling mengasihi dan mencintai.

Riwayat al-Baihaqi (6/169), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (7240), dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (594). Hadith ini isnadnya dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir (3/1047)

Selain itu, Rasulullah SAW juga akan membalas hadiah yang diberikan kepadanya. Aisyah R.Anha meriwayatkan, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْبَلُ الْهَدِيَّةَ وَيُثِيْبُ عَلَيْهَا.

Maksudnya: “Rasulullah SAW menerima hadiah dan Baginda membalasnya.

Riwayat Abu Daud (3536). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan isnadnya hasan.

Para fuqaha’ bersepakat bahawa pensyariatan hadiah adalah disunatkan pada asalnya, melainkan sekiranya kepentingan yang mendatang.

Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/255)

Selain itu, turut dijelaskan bahawa pembahagian hadiah terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu:

  • Halal di antara keduanya iaitu pemberi dan penerima hadiah bertujuan untuk bersilaturrahim.
  • Haram di antara keduanya seperti pemberian bertujuan melakukan kezaliman.
  • Diharamkan kepada penerima hadiah sahaja sekiranya pemberian hadiah itu bertujuan untuk menggelakkan kezalimannya ke atas diri kita.
  • Selain itu, pemberian hadiah disebabkan rasa takut disebabkan kemudharatan adalah halal bagi pemberi dan haram bagi penerima. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/258)

Menjawab bagi persoalan di atas,  istilah NPC sering diucapkan oleh para pemain dalam dunia permainan atau video game. Ia sering muncul ketika bermain game yang  bertema yang melibatkan banyak karakter. NPC, yang merupakan singkatan bagi “Non-Player Character” adalah karakter yang tidak dapat dikendalikan oleh pemain. Sebaliknya, mereka dikendalikan oleh komputer dan bergerak secara automatik.

Meskipun dikendalikan secara automatik oleh komputer, karakter NPC dapat memengaruhi permainan yang sedang dimainkan. Mereka akan mengikuti perintah yang telah ditetapkan sebelumnya. Karakter NPC sering digambarkan sebagai manusia yang tidak memiliki kemampuan berpikir secara rasional atau objektif. Namun, dalam dunia media sosial seperti TikTok dan Twitter, istilah NPC digunakan untuk menggambarkan individu yang dianggap kurang mampu berpikir rasional atau bertindak secara spontan

Konten “NPC Live” di TikTok, misalnya, menampilkan orang yang bergerak dengan kaku seperti karakter dalam video game. Mereka menciptakan gerakan yang mirip dengan karakter NPC dalam game asli dan merujuk kepada individu yang cuba meniru gaya, perwatakan, kostum, suara atau aksi sesuatu non-player character tersebut. Tren NPC ini dilakukan setiap kali mendapat gift atau hadiah dari penonton melalui aplikasi tersebut. Meraih jumlah gift yang tinggi membolehkan individu-individu ini meraih keuntungan menerusi live yang dijalankan.

Dalam isu ini kami katakan memberi dan menerima hadiah adalah salah satu amalan yang dianjurkan dalam Islam. Amalan ini membantu memupuk rasa kasih sayang dan memperkuat hubungan sesama umat Islam. Namun, penting untuk diingat bahawa memberi hadiah seharusnya dengan tujuan yang bersesuain dengan  nilai-nilai agama seperti mengeratkan silaturrahim dan sebagainya

Namun, Memberi hadiah dengan niat untuk melihat  gaya yang ditunjukkan oleh tiktoker melalui trend NPC adalah tidak sesuai dalam konteks Islam, begitu juga dalam menerimanya terutamanya jika gaya yang ditunjukkan tersebut  menimbulkan fitnah, lagi-lagi  jika dipertontonkan oleh wanita. Yang demikian bersesuaian kaedah fiqh:

كُلّ مَا أدّى إِلى حَرَامٍ فَهُوَ حَرَام

Maksudnya: “Setiap perkara yang membawa kepada perkara yang haram maka ia adalah haram (hukumnya).”

Justeru, mengikut trend dengan memperlihatkan gaya yang tidak bersesuaian dengan nilai dan akhlak seorang muslim adalah tidak dibolehkan. Yang demikian kerana  dalam Islam, kita diajar untuk bersifat dengan sifat malu, menjaga kehormatan dan maruah diri, serta menghindari perbuatan yang boleh merosakkan imej sebagai muslim.

Diriwayatkan daripada Abu Huraira R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 وَالحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Malu itu adalah sebahagian daripada keimanan.”

Riwayat al-Bukhari (9)

Syeikh Soleh al-Uthaimin menyatakan bahawa: Prinsip dalam berperilaku dengan sopan santun adalah untuk tidak melakukan apa yang dipertentangkan oleh orang lain, baik dalam perkataan maupun perbuatan (Lihat Syarh al-Mumti’, 11/108)

Dinyatakan dalam Hilyah al-Awliya’ bahawa: Maruah adalah rasa malu seseorang terhadap dirinya sendiri, dan tidak berbuat dalam keadaan tersembunyi apa yang dia malu berbuat dalam keadaan terang-terangan. Ini adalah tanda keagungan diri; oleh itu, Imam al-Shafi’i rahimahullah berkata: ‘Demi Allah, jika aku tahu air sejuk akan mengurangkan maruahku, nescaya aku  tidak akan minumnya.(Lihat Hilyah al-Awliya’, 9/132)

Sebagai kesimpulan, penting untuk diingat bahawa memberi dan menerima hadiah harus dihindari apabila berkaitan dengan perkara yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Sebagai seorang Muslim, kita seharusnya sentiasa berusaha untuk memperkayakan diri dengan akhlak dan sifat-sifat terpuji serta menjauhi segala perbuatan atau sikap yang mencacatkan nilai-nilai agama kita

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *