#3394: Tafsiran Ayat Surah al-Naml Ayat 30

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah tafsiran bagi ” إنه بمحمد وإنه بسم الله الرحمن الرحيم ” ? Terima kasih

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertama sekali, kami tidak mendapati lafaz “ إنه بمحمد وإنه بسم الله الرحمن الرحيم” di dalam mana-mana lafaz al-Quran dan hadith. Namun, lafaz yang seakan dengannya adalah sebagaimana yang telah disebut dalam al-Quran:

 إِنَّهُ مِن سُلَيْمَانَ وَإِنَّهُ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ ‎﴿٣٠﴾‏ أَلَّا تَعْلُوا عَلَيَّ وَأْتُونِي مُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): ` ” `Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran ugama Allah). ‘ “

(Surah al-Naml: 30-31)

Uniknya, ayat ‘بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ’ bermula dengan surah al-Fatihah. Begitu juga, ia merupakan ibarah karamah yang penuh kemuliaan, ditulis dan diucapkan oleh Nabi Allah Sulaiman AS melalui warkahnya kepada ratu Balqis.

Al-Tabari berkata: Sesungguhnya Allah dan Maha Suci nama-nama-Nya telah mengajar Nabi-Nya Muhammad SAW agar mendahulukan sebutan nama-nama-Nya yang Mulia sebelum apa-apa amalan dan perlakuan. Begitu juga, Dia menyebut sifat-sifat-Nya sebelum apa-apa tugasan yang penting. Perintah tersebut juga disuruh kepada makhluk-Nya sebagai satu sunnah yang baik untuk mereka ikuti dan jalan yang sepatutnya mereka turuti. Padanya pembukaan sebarang ucapan, risalah dan tulisan melalui kitab atau buku serta keperluan hidup mereka sehingga ia menjadi zahir dan kaya dengan ucapan bismillah (بسم الله).  (Lihat Jami’ al-Bayan, 1/111)

Ibn Kathir berkata: “Maka mereka mengetahui bahawa ini adalah kitab yang berasal daripada nabi Allah, Nabi Sulaiman, dan mereka sebelum ini tidak mempunyai apa-apa yang seumpama kitab ini dalam keindahan bahasa, keringkasan, dan kejelasan. Kitab ini mengungkapkan makna dengan cara yang paling mudah difahami dan paling baik. Para ulama berkata: Tiada seorang pun menulis (Bismillahirrahmanirrahim) sebelum Nabi Sulaiman A.S.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 6/148)

Kumpulan ayat yang berkaitan tafsiran ini bermula dengan penjelasan yang diberikan oleh ratu negeri Saba’, yang disebut Ratu Balqis, di hadapan pembesar-pembesar kaumnya tentang situasi yang mereka sedang hadapi melalui kemunculan surat Nabi Sulaiman A.S. Tindakan untuk memahami situasi merupakan langkah pertama untuk penyelesaian masalah. Maka mesyuarat pun diadakan oleh ratu negeri Saba’ bersama dengan pembesar-pembesar negeri untuk mengambil tindakan yang sepatutnya terhadap situasi yang mereka sedang hadapi. Ia ditunjukkan bagaimana ratu tersebut menimbang pandangan para pembesar dan membaca risiko yang bakal dihadapi oleh seluruh negeri jika berlaku peperangan. Ratu Balqis ingin menggunakan cara diplomasi untuk menyelesaikan masalah. Dalam masa yang sama beliau berminat untuk memastikan; adakah pihak yang menghantar surat tersebut benar-benar seorang nabi atau hanya seorang raja yang mahukan habuan dunia. Justeru, beliau bercadang memberikan hadiah kepada Nabi Sulaiman A.S untuk tujuan tersebut.

Ternyata, ayat-ayat seterusnya menunjukkan kehebatan kerajaan Nabi Sulaiman A.S dan ketegasan dalam menyampaikan dakwah tauhid, dengan jawapan bahawa hadiah tersebut tiada tandingan berbanding kurniaan Allah SWT kepadanya berupa pemerintahan dan kenabian. Kelebihan ini ternyata lebih baik berbanding hadiah yang dipersembahkan kepadanya. Nabi Sulaiman A.S menunjukkan mukjizat seperti mengalihkan singgahsana, mengubah reka bentuknya dan istana kaca yang menakjubkan bagi membuktikan kerasulannya. Ini juga mengukuhkan apa yang dinyatakan dalam ayat 36 Surah al-Naml tentang keluasan dan kehebatan kerajaannya. Peranan manusia dan jin dalam kerajaan Nabi Sulaiman A.S juga diberikan perhatian untuk menunjukkan kemajuan kerajaan yang berasaskan tauhid. Pendapat yang paling masyhur, lelaki yang disifatkan sebagai memiliki ilmu daripada kitab (hikmah) adalah salah seorang daripada penolong kanan Nabi Sulaiman A.S atau dalam pada hari ini disebut sebagai menteri. Walau bagaimanapun sebahagian ahli tafsir mengatakan lelaki tersebut adalah Nabi Sulaiman A.S sendiri dan ucapannya itu adalah ditujukan kepada jin Ifrit dengan tujuan untuk merendahkan kemampuannya.

Ratu negeri Saba’ menjawab soalan yang diajukan oleh Nabi Sulaiman A.S dengan pintar dan bijaksana. Beliau faham tujuan Nabi Sulaiman A.S adalah untuk memperlihatkan bukti kerasulannya melalui mukjizat. Beliau menyatakan sebenarnya dirinya bersama kaumnya telah lama mengetahui kebenaran Nabi Sulaiman A.S melalui beberapa tanda seperti perutusan burung Hudhud, surat Nabi Sulaiman A.S dan reaksi Baginda terhadap hadiah yang dipersembahkan. Justeru, mereka telah pun beriman kepada Nabi Sulaiman A.S sebelum datang mengadapnya. Hujung ayat 42 merupakan sebahagian daripada ucapan ratu negeri Saba’, menurut sebahagian ahli tafsir. Sebahagian ahli tafsir berpendapat penghujung ayat 42 adalah sebahagian daripada ucapan Nabi Sulaiman A.S.

Antara faktor yang menyebabkan ratu negeri Saba’ tidak beriman kepada Allah SWT sebelum sampai kepadanya dakwah Nabi Sulaiman A.S. walaupun memiliki kepintaran akal, ialah beliau membesar dalam suasana dan masyarakat yang menyekutukan Allah SWT. Ayat terakhir menceritakan bagaimana ratu negeri Saba’ akhirnya menyatakan keislamannya di hadapan Nabi Sulaiman A.S setelah terpersona dengan kehebatan kerajaan yang tidak mungkin diberikan kepada manusia biasa melainkan kepada rasul yang terpilih daripada Tuhan sekalian. Beliau menyedari kesilapan melakukan syirik dan mengisytiharkan diri termasuk dalam kalangan orang-orang yang berserah diri kepada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/22-23)

Adapun makna ba’ (ب) pada ‘بِسْمِ اللَّهِ’ yang merupakan huruf jar mempunyai pelbagai makna dan maksud. Antaranya:

  • Bagi kedekatan dan menunjukkan kehampiran (للإِلْصَاق)
  • Bagi memohon pertolongan dengan-Nya (للاستعانة)
  • Bagi menunjukkan kepada sumpah (للقسم)
  • Bagi menunjukkan kepada sebab (للسبب)
  • Bagi menunjukkan keadaan (للحال)
  • Bagi menunjukkan kedudukan (للظرفية)
  • Bagi menunjukkan perpindahan (للنقل) (Lihat al-Bahr al-Muhit oleh Abu Hayyan, 1/27)

Justeru, apabila disebut dengan bismillah (بِسْمِ اللَّهِ) , maksudnya adalah dengan mengambil keberkatan dan pertolongan serta bantuan dengan nama Allah agar kita dimudah, ditaufiq dan diberi pertolongan oleh Allah. Hal ini sebagaimana Allah mengajar kita berdoa:

‏ وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا

Maksudnya: Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu.

(Surah Al-A’raf: 180)

Adapun lafaz ism (اسم) pada bismillah (بِسْمِ اللَّهِ) memberi maksud nama. salah Satu daripada maksud bagi kalimah nama adalah tinggi dan kemuliaan. Justeru, nama melambangkan ketinggian dan kemuliaan serta membezakan dari seseorang dengan seseorang atau apa-apa makhluk sekalipun. Itulah kehendak dan maksud daripada nama, di mana antara ilmu pertama yang diajar oleh Allah kepada Nabi-Nya Adam AS ialah firman Allah SWT:

 وَعَلَّمَ آدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا

Maksudnya: “Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya.”

(Surah al-Baqarah: 31)

Perkataan al-Rahman (الرَّحْمَٰنِ) dan al-Rahim (الرَّحِيمِ), kedua-duanya musytaq daripada kalimah al-rahim (الرَّحِمُ) iaitu tempat kandungan bayi. Betapa kasih sayang Allah kepada kita dan makhluk-Nya bermula dengan keadaan yang naif dan dha’if yang hanya bergantung harap kepada Allah, akhirnya membesar menjadi makhluk yang sempurna dengan sifatnya. Alangkah baiknya mereka taat dan patuh kepada perintah Allah yang menciptakannya.

Sayyid Qutb berkata: Allah SWT sifatkan diri-Nya di permulaan dengan sifat-sifat al-Rahman (الرَّحْمَٰنِ) “Maha Penyayang” dan al-Rahim (الرَّحِيمِ) “Maha Pengasih” iaitu dua sifat yang mencakup segala pengertian, kasih sayang dan kasihan belas dan segala keadaannya. Hanya pada Allah SWT sahaja terkumpul dua sifat ini. Begitu juga hanya Allah sahaja yang wajar disifatkan dengan al-Rahman (الرَّحْمَٰنِ) “Maha Penyayang.” Mana-mana hamba Allah boleh disifatkan dengan sifat al-Rahim (الرَّحِيمِ), tetapi tidak boleh disifatkan dengan sifat al-Rahman (الرَّحْمَٰنِ) dari segi kepercayaan dan lebih tidak wajar lagi dikembarkan kedua-dua sifat itu padanya.

Walaupun terdapat perselisihan pendapat tentang pengertian dua sifat ini, iaitu manakah di antara kedua-duanya yang mempunyai pengertian kasih sayang dan kasihan belas yang lebih luas, namun perselisihan itu bukanlah dari perbahasan yang kita hendak bicarakan dengan terperinci dalam Tafsir Fi Zilal ini, malah kita hanya membuat kesimpulan sahaja dari perbahasan itu bahawa kedua-dua sifat al-Rahman (الرَّحْمَٰنِ) dan al-Rahim (الرَّحِيمِ) adalah meliputi segala pengertian kasih sayang dan kasihan belas juga meliputi segala keadaan dan bidangnya.

Jika memulakan sesuatu dengan nama Allah yang mengandungi maksud mentauhidkan Allah dan beradab sopan dengan-Nya itu merupakan dasar pokok dalam kefahaman Islam, maka pencakupan segala pengertian kasih sayang dan kasihan belas dengan segala keadaan dan bidangnya dalam dua sifat al-Rahman (الرَّحْمَٰنِ) dan al-Rahim (الرَّحِيمِ) itu merupakan dasar yang kedua di dalam kefahaman ini dan ia juga menggariskan hakikat hubungan yang wujud di antara Allah dengan para hamba-Nya. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 1/22)

Syeikh al-Sya’rawi berkata: Kami mulakan bacaan al-Quran dengan bismillah (بِسْمِ اللَّهِ) kerana Allah SWT yang menurunkannya kepada kami. Memudahkan bagi kami bagi mengenali dan membacanya. Justeru, segalanya bagi Allah, Maha Mengetahui, Maha Berkuasa dan bacalah firman Allah SWT:

‏ قُل لَّوْ شَاءَ اللَّهُ مَا تَلَوْتُهُ عَلَيْكُمْ وَلَا أَدْرَاكُم بِهِ ۖ فَقَدْ لَبِثْتُ فِيكُمْ عُمُرًا مِّن قَبْلِهِ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika Allah kehendaki (supaya aku tidak membacakan Al-Quran ini kepada kamu), tentulah aku tidak dapat membacakannya kepada kamu, dan tentulah Ia tidak memberitahu kamu akan Al-Quran ini (dengan perantaraanku); kerana sesungguhnya aku telah tinggal dalam kalangan kamu satu masa yang lanjut (dan kamu pula mengenal aku sebagai seorang yang amanah) sebelum turunnya Al-Quran ini; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya?”

(Surah Yunus: 16)

Adakah kita disuruh memulakan dengan bismillah (بِسْمِ اللَّهِ) semata-mata membaca al-Quran sahaja? Jawapannya tidak, tetapi semua amalan dengan bismillah (بِسْمِ اللَّهِ). Ini kerana kita sepatutnya memuliakan kurniaan Allah dalam hidup ini. Ketika kita bercucuk tanam, kita mulakan dengan bismillah (بِسْمِ اللَّهِ) kerana kita tidak menciptakan pohon kayu tetapi yang menumbuhkannya adalah Allah. Begitulah seterusnya. (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 1/38-39)

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

كُلُّ كَلَامٍ، أَوْ أَمْرٍ ذِي بَالٍ لَا يُفتَحُ بِذِكْرِ اللَّهِ عزَّ وجلَّ فَهُوَ أبترُ

Maksudnya: “Setiap ucapan atau perkara yang tidak dimulai dengan menyebut nama Allah (zikrullah), maka amalan tersebut akan terputus.”

Riwayat Abu Dawud (4840), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (10328), Ibn Majah (1894) dan Ahmad (8712). Syeikh Ahmad Syakir menyatakan isnadnya dalam takhrij Musnad Ahmad (16/290)

Syeikh al-’Azim Abadi menukilkan daripada al-Nawawi yang menyebut dalam al-Azkar: Antara perkara penting yang perlu diketahui adalah berkenaan sifat al-tasmiah (basmalah) dan kadar yang mencukupinya. Maka ketahuilah bahawa yang afdhal adalah menyebut ‘بِسْمِ اللَّه الرَّحْمَن الرَّحِيم’. Jika menyebut ‘بِسْمِ اللَّه’ maka itu sudah memadai, dan telah terhasil sunnah. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 13/190)

Dalam riwayat lain, juga daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ أَمْرٍ ذِي بَالٍ لَا يُبْدَأُ فِيهِ بِالْحَمْدِ أَقْطَعُ

Maksudnya: “Setiap perkara yang tidak dimulai dengan memuji Allah, maka amalan tersebut akan terputus.”

Riwayat Abu Dawud (4840), Ibn Majah (1894), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10328), dan Ahmad (8712)

Maksud perkara penting di dalam hadis di atas adalah sesuatu perkara yang dititikberatkan oleh seseorang itu. Manakala makna terputus pula bermaksud kurangnya keberkatan. Para ulama menyatakan disunatkan memulakan setiap penulisan, pembelajaran, pengajaran, khutbah, percakapan dan perkara-perkara yang lain yang dilihat penting dengan memuji Allah SWT. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/73)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *