#3395: Ucapan ketika Nazak; Dua Kalimah Syahadah atau Kalimah Tauhid?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ungkapan ketika seseorang itu dalam keadaan nazak, dua kalimah syahadah atau kalimah tauhid?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ

Maksudnya: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.”

(Surah al-Mulk: 2)

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas, beliau membawakan satu riwayat daripada jalur Ma‘mar, daripada Qatadah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ أَذَلَّ بَنِي آدَمَ بِالْمَوْتِ، وَجَعَلَ الدُّنْيَا دَارَ حَيَاةٍ ثُمَّ دَارَ مَوْتٍ، وَجَعَلَ الْآخِرَةَ دَارَ جَزَاءٍ ثُمَّ دَارَ بَقَاءٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menghinakan anak keturunan Adam dengan kematian, dan Allah menjadikan dunia sebagai tempat kehidupan lalu menjadi tempat kematian bagi manusia, dan akhirat sebagai tempat dibalasnya (apa yang dilakukan di dunia) dan menjadi tempat yang kekal.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/197)

Kita semua pastinya mendambakan pengakhiran yang baik bagi kehidupan dunia ini. Oleh yang demikian, para ulama’ silam telah menyenaraikan beberapa tanda yang thabit daripada syara‘ bahawa ia sebahagian dari husnul khatimah. Antara tanda tersebut apabila seseorang itu dapat mengucapkan kalimah tauhid sebelum meninggal dunia.

Beginilah yang thabit daripada syara‘, bahawa seseorang yang sedang nazak hendaklah diajarkan kepadanya ucapan kalimah Tauhid, iaitu (لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ). Ini jelas berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَقِّنُوا مَوْتَاكُمْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ

Maksudnya: “Ajarkan orang-orang yang mati (sedang nazak) di kalangan kamu kalimah La Ilaha illa Allah (Tiada tuhan melainkan Allah).”

Riwayat Muslim (917)

Dalam riwayat lain daripada Mu‘az bin Jabal R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، دَخَلَ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Siapa yang kalam terakhirnya adalah ‘Tiada tuhan melainkan Allah’, maka dia akan masuk Syurga.”

Riwayat Abu Dawud (3116) dan Ahmad (22034)

Terdapat juga riwayat yang menyebutkan bahawa Rasulullah SAW mengajarkan 2 kalimah syahadah kepada orang yang sedang nazak. Ini berdasarkan riwayat Anas bin Malik R.A, beliau menceritakan bahawa  Baginda SAW mempunyai seorang budak lelaki Yahudi sebagai khadam. Rasulullah SAW melawatnya ketika dia jatuh sakit (nazak) dan duduk berhampiran kepalanya, seraya bersabda:

أَسْلِمْ‏‏،‏ فَنَظَرَ إِلَى أَبِيهِ وَهْوَ عِنْدَهُ، فَقَالَ لَهُ: أَطِعْ أَبَا الْقَاسِمِ ﷺ‏.‏ فَأَسْلَمَ، فَخَرَجَ النَّبِيُّ ﷺ وَهْوَ يَقُولُ:‏ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنْقَذَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “‘Peluklah Islam’, lalu budak itu melihat ke arah bapanya yang berada di sampingnya, maka bapanya berkata: ‘Taatilah Abu al-Qasim SAW’, lalu dia pun memeluk Islam. Nabi SAW pun keluar dan mengucapkan: ‘Segala puji bagi Allah yang menyelamatkannya daripada Neraka’.”

Riwayat al-Bukhari (1356) dan Abu Dawud (3095)

Di dalam kisah ini, sememangnya tidak datang secara sarih bahawa Rasulullah SAW mengajarkan 2 kalimah syahadah kepada budak lelaki tersebut. Akan tetapi, telah thabit dengan persepakatan para ulama’ bahawa seseorang yang ingin memeluk Islam, maka dia perlu mengucapkan 2 kalimah syahadah. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ شَهِدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَأَنَّ عِيسَى عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ أَدْخَلَهُ اللَّهُ الْجَنَّةَ عَلَى مَا كَانَ مِنْ الْعَمَلِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata, tidak ada sekutu bagi-Nya, dan bahwasanya Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Nya, dan bahawasanya ‘Isa adalah hamba dan utusan-Nya dan kalimat-Nya yang Dia sampaikan kepada Maryam dan ruh dari-Nya, dan (dia juga bersaksi) bahawa Syurga itu benar adanya dan neraka itu benar adanya, maka Allah akan memasukkan dirinya ke dalam Syurga atas apa jua amalan yang telah dilakukannya.”

Riwayat Bukhari (3435)

Dalam sebuah riwayat daripada ‘Umar bin al-Khattab R.A bahawa Rasulullah SAW memerintahkannya:

 يَا ابْنَ الْخَطَّابِ اذْهَبْ فَنَادِ فِي النَّاسِ إِنَّهُ لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ إِلَّا الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Wahai anak lelaki al-Khattab! Pergilah dan katakan pada sekalian manusia, bahawasanya tidak akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beriman.”

Riwayat Muslim (114)

Dapat difahami di sini bahawa orang yang mengucapkan 2 kalimah syahadah berhak untuk masuk ke dalam Syurga, dan tidak masuk ke dalam Syurga melainkan seseorang itu memeluk agama Islam dan beriman, maka  mengucapkan 2 kalimah syahadah menjadi syarat seseorang itu memeluk agama Islam.

Kesimpulan

Apabila meneliti dalil dan nas yang kami bawakan di atas, kami katakan bahawa kedua-dua ucapan di bawah ini sememangnya thabit dalam nas-nas syara‘ sebagai ucapan terakhir ketika sedang nazak:

  • 2 kalimah syahadah (أَشْهَدُ أَنَّ لاَ إِلٰهَ إِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ), bagi mereka yang baru memeluk Islam ketika sedang nazak.
  • dan juga kalimah tauhid (لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ), lebih aula bagi mereka yang telah lama memeluk Islam sebagai bukti dia mentauhidkan Allah SWT semata-mata selama hidupnya.

Dalam pada itu, tidak menjadi masalah sekiranya orang yang telah sekian lama memeluk Islam untuk mengucapkan 2 kalimah syahadah. Perbincangan ini tidak lain hanya menyebutkan tentang afdhaliyyah atau keutamaan salah satu dari kedua ucapan ini sahaja. Semoga perbincangan ringkas ini dapat memberikan kita kefahaman yang baik, seterusnya mengamalkan sesuatu berlandaskan nas-nas syara‘.

Kami akhiri dengan doa:

اللَهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةِ وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا يَا الله بِسُوءِ الخَاتِمَةِ

Maksudnya: “Ya Allah, matikanlah kami dalam keadaan pengakhiran yang baik, dan janganlah kamu matikan kami dalam keadaan pengakhiran yang buruk.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *