#3396: Warna Kuning Pada Tangan Kerana Serbuk Kunyit

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya terfikir bagaimana dengan warna kuning yang melekat di tangan yang biasanya selepas menggaul ikan atau ayam dengan serbuk kunyit sebelum menggorengnya? Saya sudah cuba untuk membasuhnya berkali-kali, di samping menggosok dan menggunakan sabun, tetapi ia tetap tidak hilang? Sahkah wuduk saya dalam keadaan warna kuning itu masih ada? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan dan sedikit pengenalan mengenai kunyit. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kunyit ialah sejenis tumbuhan (rizom­nya dijadikan bahan pencelup dan rempah), Curcuma domestica (longa).[1] Ringkasnya, kunyit ialah ialah spesies tumbuhan berbunga dalam keluarga temu-temuan. Ia merupakan sejenis rempah yang banyak digunakan dalam kari dan masakan lain Asia Selatan. Kunyit juga digunakan untuk memberi warna kuning pada masakan. Selain kegunaan dalam masakan, kunyit juga terkenal di kalangan masyarakat Melayu dan India dengan khasiatnya sebagai ubat pembersih dalaman badan dan mencantikkan kulit. Di samping itu, daun serta bunga kunyit memang digemari sebagai ulam oleh sesetengah masyarakat Melayu.[2]

Dalam menjawab soalan di atas, kami melihat hukumnya sangat berkait rapat dengan hukum mewarnakan rambut dan janggut atau dalam masyarakat kita lebih dikenali sebagai pemakaian inai. Kami telah membahaskan mengenai hukumnya secara panjang lebar dalam ruangan Ahkam Syar‘iyyah. Di antaranya artikel kami yang bertajuk:

  • #646 Mewarnakan Kuku dengan Bahan Selain Inai.[3]
  • #2480: Wanita Belum Berkahwin Mewarnakan Rambut.[4]
  • #2485: Mewarnakan Rambut dengan Warna Putih.[5]
  • #2672: Perempuan Haid Mewarnakan Rambut/Memakai Inai.[6]

Secara ringkasnya, para ulama menyebutkan bahawa pemakaian inai tidak menghalang kesahan wuduk dan mandi wajib. Ini adalah sebagaimana dinyatakan bahawa seseorang yang mewarnakan rambut dengan bahan-bahan seperti hinna’ (inai),[7] katam,[8] wars,[9] za‘faran dan seumpamanya tidak menghalang kesahan wuduk dan mandi wajibnya kerana selepas dia membuang atau membersihkan bahan-bahan tersebut melalui basuhan, maka yang tinggal hanyalah warna semata-mata, dan warna sahaja tidak menjadi penghalang untuk air sampai ke kulit. Oleh itu, ia tidak menjejaskan kesahan wuduk dan mandi wajib seseorang. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqahiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/282).

Begitu juga Ibn Rusyd ada menyebutkan bahawa tiada masalah bagi perempuan haid dan perempuan dalam junub untuk memakai inai/mewarnakan rambut kerana warna yang terhasil pada tangannya (dan rambutnya) tidak menjadi penghalang daripada mengangkat hadas janabah dan haid daripada dirinya melalui mandi (iaitu mandi wajib), apabila dia mandi. Bahkan tidak ada alasan untuk berpendapat ia adalah makruh. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/283).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami melihat kunyit adalah sejenis bahan sama seperti hinna’, katam, wars dan za‘faran. Oleh itu, kami berpendapat bahawa warna kuning yang berbaki pada tangan selepas dibasuh akibat daripada penggunaan serbuk kunyit adalah tidak mengapa dan ia tidak menghalang kesahan wuduk dan mandi wajib seseorang. Ini kerana apa yang tinggal atau berbaki itu hanyalah warna semata-mata, dan sekadar warna sahaja tidak menjadi penghalang untuk air sampai ke kulit. Oleh itu, ia tidak menjejaskan kesahan wuduk dan mandi wajib seseorang.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kunyit. Diakses pada 4 Oktober 2023.

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Kunyit. Diakses pada 4 Oktober 2023.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/646-mewarnakan-kuku-dengan-bahan-selain-inai/. Diakses pada 4 Oktober 2023.

[4] Lihat https://maktabahalbakri.com/2480-wanita-belum-berkahwin-mewarnakan-rambut/. Diakses pada 4 Oktober 2023.

[5] Lihat https://maktabahalbakri.com/2485-mewarnakan-rambut-dengan-warna-putih/. Diakses pada 4 Oktober 2023.

[6] Lihat https://maktabahalbakri.com/2672-perempuan-haid-mewarnakan-rambut-memakai-inai/. Diakses pada 4 Oktober 2023.

[7] Hinna’ ialah sejenis pokok yang daun dan batangnya seperti daun dan batang delima, bunganya pula berwarna putih, daunnya diambil untuk dijadikan pewarna merah. (Lihat https://www.almaany.com/ar/dict/ar-ar/الْحِنَّاءِ/. Diakses pada 27 April 2023).

[8] Katam ialah sejenis tumbuhan yang dicampur dengan daun wasmah (dikenali juga sebagai daun Nil), lalu digunakan untuk mewarnakan rambut hitam. Namun, ada yang berpendapat, ia adalah wasmah. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 7/2827).

[9] Wars ialah sejenis tumbuhan yang ditanam di Yaman dan India. Buahnya apabila masak, ditutup dengan kelenjar kuning, dan terdapat sedikit bulu di atasnya, yang digunakan untuk mewarna pakaian. (Lihat https://www.almaany.com/ar/dict/ar-ar/الورس/. Diakses pada 28 April 2023). Ia adalah tumbuhan seperti bijan, dan mempunyai bau yang harum. Ia menjadi bahan pewarna antara warna merah dan kuning. (Lihat Jawahir al-Iklil Syarh Mukhtasar Khalil, 1/189).

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *