#3945: Mandi dengan Air Ruqyah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah kita gunakan atau jadikan air ruqyah sebagai air mandian? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, air yang dibacakan ayat-ayat al-Quran dan zikir-zikir tertentu di dalam Islam disebut sebagai air ruqyah. Air ruqyah ini biasanya diminum oleh orang yang sakit dengan harapan agar sembuh daripada penyakitnya.

Kita dibolehkan untuk meruqyah dengan menggunakan air dan dibaca padanya ayat-ayat suci al-quran kemudian diminum selagi mana perbuatan tersebut tidak ditokok tambahkan dengan perbuatan-perbuatan syirik dan munkar. Ini sebagaimana umum hadith yang telah diriwayatkan daripada ‘Auf Bin Malik al-Asyjai’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ اعْرِضُوا عَلَىَّ رُقَاكُمْ، لاَ بَأْسَ بِالرُّقَى مَا لَمْ يَكُنْ فِيهِ شِرْكٌ.

Maksudnya: “Perlihatkanlah jampi kamu kepadaku, tidak mengapa dengan jampi selagi mana ia bukan daripada perbuatan syirik.”

Riwayat Muslim (220)

Hadith ini menunjukkan kepada kita keharusan ruqyah dalam merawat segala jenis penyakit, seperti  luka, bisul, gigitan serangga, penyakit ain dan sebagainya sekiranya ruqyah tersebut difahami dan tidak mengandungi sebarang bentuk syirik serta perkara-perkara yang terlarang. Cara yang terbaik dan berkesan adalah ruqyah dengan menggunakan nama Allah SWT dan kalam-Nya serta kalam Rasulullah SAW. (Lihat  Kaukab al-Wahhaj Syarah Sahih Muslim, 22/212).

Persoalan lanjut berkenaan meminum air ruqyah bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #2611: Ruqyah Menggunakan Air Dan Diminum Daripadanya.[1]

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, tidak dinafikan bahawa ada sebahagian orang menyiramkan air ruqyah tersebut ke atas orang yang sakit. Secara ringkasnya, mandi dengan air ruqyah adalah dibolehkan. Ramai ulama salaf yang mandi dengan air ruqyah, di antaranya Imam Ahmad. Beliau tidak hanya meminum air ruqyah, tetapi beliau juga menyiramkan air ruqyah tersebut pada seluruh tubuhnya.

Hal ini adalah sebagaimana dinukilkan oleh Ibn Muflih dalam kitabnya bahawa Soleh iaitu anak Imam Ahmad menyebutkan, kadang-kadang aku jatuh sakit, kemudian ayahku mengambil bekas berisi air, lalu membacakan ayat-ayat al-Quran padanya sambil berkata kepadaku: “Minumlah daripadanya dan basuhlah muka  dan tanganmu (dengannya).” Begitu juga Abdullah bin Ahmad menukilkan bahawa dia melihat bapanya (iaitu Imam Ahmad) membaca ta‘awwuz pada air dan membaca (ayat-ayat al-Quran) pada air tersebut, lalu beliau meminumnya dan menuangkan air ruqyah tersebut ke atas dirinya sendiri — yakni mandi dengannya. (Lihat al-Adab al-Syar‘iyyah, 2/456).

Selain itu, terdapat riwayat daripada Thabit bin Qais bin Syammas yang sedang sakit masuk menemui Baginda, kemudian Baginda berdoa:

اكْشِفِ الْبَأْسَ رَبَّ النَّاسِ عَنْ ثَابِتِ بْنِ قَيْسِ بْنِ الشَّمَّاسِ. ثُمَّ أَخَذَ تُرَابًا مِنْ بُطحان فَجَعَلَهُ فِي قَدَحٍ فِيهِ مَاءٌ فَصَبَّهُ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Hilangkanlah penyakit wahai Tuhan manusia daripada Thabit bin Qais bin Syammas.” Kemudian Baginda mengambil tanah dari Bathan dan memasukkannya dalam gelas yang terisi air lalu menuangkan ke atasnya.”

Riwayat Ibn Hibban (6069)

Tambahan lagi, Ibn Baz dalam isu ini turut menyatakan, tidak ada masalah dalam meruqyah dengan membaca ayat-ayat al-Quran dan doa-doa) dalam air, kemudian air itu diminum oleh orang yang sakit, atau dia mandi dengan air tersebut. Semua itu tidak ada masalah. Ruqyah dapat dilakukan dengan meniupkan nafas ke atas orang yang sakit, atau dapat dilakukan dalam air yang diminum oleh orang yang sakit, atau digunakan untuk mandi. Semua itu tidak ada masalah padanya.[2]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa dan diharuskan untuk menjadikan air ruqyah sebagai air mandian. Lebih-lebih lagi, ia merupakan salah satu cara untuk merawat penyakit yang diamalkan semenjak turun temurun, serta menjadi amalan sebahagian ulama salaf seperti Imam Ahmad bin Hanbal.

Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihati supaya meruqyah dengan ruqyah yang syar‘i seperti dengan zikir-zikir mathur dan ayat-ayat al-Quran.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: “Kami berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/2611-ruqyah-menggunakan-air-dan-diminum-daripadanya/. Diakses pada 26 Oktober 2023.

[2] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/16000 حكم-الرقية-على-ماء-وشربه-والاغتسال-به#

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *