#41: Tamim al-Dari

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Siapakah Tamim al-Dari? Benarkah, beliau orang pertama yg nyalakan lampu dalam masjid? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Bagi menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan menerangkan serba sedikit biodata beliau terlebih dahulu. Beliau ialah Abu Ruqayyah Tamim bin Aus bin Kharijah (atau sebahagiannya berpendapat, Harithah) bin Saud (atau sebahagiannya berpendapat, Sawad) bin Jazimah bin Zira‘ bin ‘Adi bin al-Dar al-Lakhmi al-Filastini. Beliau pada asalnya beragama Nasrani. Kemudian, beliau datang ke Madinah dan memeluk agama Islam. Rombongan Tamim al-Dari tiba pada tahun 9 Hijrah bagi bertemu Nabi SAW untuk mengisytiharkan keislaman mereka. Tamim al-Dari juga adalah orang yang menceritakan kepada Baginda SAW kisah al-Jassasah yang berkaitan dengan Dajjal.

Menurut Ibn al-Sakan, beliau dan saudara lelakinya, Nu‘aim memeluk Islam pada tahun 9 Hijrah, dan kedua-duanya termasuk dalam kalangan sahabat. Selain itu, Abu Nu‘aim menyebutkan, beliau dahulunya adalah rahib dan abid dalam kalangan penduduk palestin. Beliau juga ialah orang pertama yang menyalakan lampu di dalam masjid sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Tabarani daripada hadith Abu Hurairah. Selain itu, Qatadah ada meriwayatkan daripada Ibn Sirin dan juga daripada Anas bahawa Tamim al-Dari pernah membeli sehelai rida’ (kain pakaian atas) dengan harga seribu dirham, lalu beliau keluar dengan memakainya untuk mendirikan solat.[1]

Selain itu, Tamim al-Dari R.A juga adalah di antara orang pertama yang diberi keizinan oleh Khalifah Umar bin al-Khattab R.A untuk menyampaikan kisah-kisah dan peristiwa-peristiwa dalam kitab Injil kepada kaum Muslimin. Hal ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Isma‘il al-Taimi al-Asbahani bahawa beliau ialah rahib al-Ummah. Beliau meminta izin daripada Umar R.A untuk menyampaikan kisah-kisah, lalu Umar mengizinkannya. Maka, beliau menyampaikan kisah-kisah kepada kaum Muslimin dalam keadaan berdiri. Terdapat riwayat daripada Humaid bin ‘Abd al-Rahman yang menjelaskan mengenai perkara ini dengan lanjut, di mana Tamim R.A telah meminta izin daripada Umar R.A untuk menyampaikan kisah-kisah kepada orang ramai selama bertahun-tahun, tetapi Umar tidak membenarkannya. Sehinggalah apabila sudah banyak kali beliau meminta izin bagi hal tersebut, maka Umar bertanya kepadanya: “Apakah yang engkau hendak ceritakan?” Beliau menjawab: “Aku akan membacakan kepada mereka ayat-ayat al-Quran, mengajak mereka untuk melakukan kebaikan dan melarang mereka daripada melakukan kejahatan.” Umar berkata: “Itu adalah suatu keuntungan.” Kemudian Umar menyambung lagi: “Berilah nasihat dan peringatan kepada mereka sebelum aku keluar untuk mendirikan solat Jumaat.”[2]

Hal ini juga adalah sebagaimana riwayat daripada al-Sa’ib bin Yazid bahawasanya:

لَمْ يَكُنْ يُقَصُّ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَلَا أَبِي بَكْرٍ، وَكَانَ أَوَّلَ مَنْ قَصَّ تَمِيمٌ الدَّارِيُّ، اسْتَأْذَنَ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ أَنْ يَقُصَّ عَلَى النَّاسِ قَائِمًا فَأَذِنَ لَهُ عُمَرُ

Maksudnya: Tidak ada seorangpun yang menyampaikan kisah-kisah (dengan disediakan tempat yang khusus) pada zaman Rasulullah SAW dan begitu juga pada zaman Abu Bakar. Orang pertama yang menyampaikan kisah-kisah (di tempat yang khusus kepada kaum Muslimin) ialah Tamim al-Dari. Beliau telah meminta izin kepada Umar bin al-Khattab untuk menyampaikan kisah-kisah kepada orang ramai secara berdiri (yakni di tempat/mimbar khusus). Lalu Umar memberi keizinan kepadanya.[3]

Selain daripada itu, Tamim al-Dari ada meriwayatkan beberapa hadith. Menurut al-Zahabi, jumlah hadith daripada jalurnya mencecah sebanyak 18 hadith, dan daripada jumlah tersebut salah satunya terdapat dalam sahih Muslim. Di antara mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya ialah Ibn Abbas, Ibn Mauhab Abdullah, Anas bin Malik, Kathir bin Murrah, ‘Ata’ bin Yazid al-Laithi, Zurarah bin Aufa, Syahir bin Hausyab dan ramai lagi. Qurrah meriwayatkan daripada Ibn Sirin yang menyatakan bahawa orang yang menghimpunkan al-Quran pada zaman Rasulullah SAW ialah Ubai, Uthman, Zaid dan Tamim al-Dari.

Tambahan lagi, Tamim R.A juga adalah seorang yang banyak beribadah dan kuat membaca kitab Allah. Abu Qilabah meriwayatkan daripada Abu al-Muhallab bahawa Tamim R.A mengkhatamkan bacaan al-Quran dalam tempoh tujuh hari. Bukan itu sahaja, malah ‘Asim al-Ahwal ada meriwayatkan daripada Ibn Sirin bahawasanya Tamim al-Dari R.A membaca al-Quran dalam satu rakaat. Diceritakan juga bahawa Tamim al-Dari R.A pernah mendirikan solat malam sehingga ke waktu Subuh atau hampir-hampir waktu Subuh dengan hanya membaca satu ayat al-Quran secara berulang-ulang dan menangis. Ayat tersebut ialah:

أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ اجْتَرَحُوا السَّيِّئَاتِ أَن نَّجْعَلَهُمْ كَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ

Maksudnya:Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh.[4]

Selain itu, terdapat juga riwayat daripada al-Munkadir bin Muhammad, daripada bapanya bahawa Tamim al-Dari R.A pernah tertidur suatu malam dan tidak bangun melakukan tahajjud. Lalu selama setahun beliau telah bangun (mendirikan solat malam) tanpa tidur sebagai hukuman buat dirinya atas apa yang dilakukannya itu.

Beliau telah berpindah ke Syam selepas peristiwa pembunuhan Uthman, dan menetap di Palestin. Hal ini kerana Nabi SAW telah menganugerahkan kepadanya suatu tanah iaitu perkampungan ‘Ainun (Bait ‘Ainun), dan ia sehingga ke hari ini merupakan perkampungan yang masyhur di Baitul Maqdis.

Menurut Ibn Hibban, Tamim al-Dari R.A telah meninggal dunia di Syam dan maqamnya terletak di Bait Jibrin di Palestin. Dikatakan beliau telah meninggal pada tahun 40 Hijrah.[5]

Justeru, Tamim al-Dari atau nama sebenarnya Abu Ruqayyah Tamim bin Aus R.A adalah salah seorang dalam kalangan sahabat Nabi SAW yang mulia. Begitu juga beliau ialah orang pertama yang menyalakan lampu di dalam masjid sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Tabarani daripada hadith Abu Hurairah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 21 Februari 2023 bersamaan 30 Rejab 1444H

[1] Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/442; al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 1/487-488.

[2] Lihat Siyar al-Salaf al-Salihin, 2/298; Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/447.

[3] Riwayat Ahmad (15715); al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (1768); al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id (1/195) menyebutkan, di dalamnya terdapat perawi yang bernama Baqiyyah bin al-Walid dan dia adalah seorang yang thiqah tetapi mudallis. Syu‘aib al-Arnaut pula dalam Takhrij al-Musnad (15715) menilai sanadnya sebagai dhaif. Manakala al-‘Iraqi dalam al-Ba‘ith ‘ala al-Khalas (4) menilai sanadnya sebagai baik, lalu menyebutkan bahawa di dalamnya terdapat perawi bernama Baqiyyah bin al-Walid, dan telah jelas lafaz tahdith dalam riwayat Ahmad. Justeru, tohmahan tadlisnya telah hilang.

[4] Surah al-Jathiyah: 21

[5] Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/442-448; al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 1/488; Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 1/428.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *