#4385: Wujudkah Penyakit al-’Ain?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah penyakit al-’Ain wujud?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Penyakit ‘ain adalah thabit di dalam nas-nas syara’. Allah SWT berfirman:

وَإِن يَكَادُ الَّذِينَ كَفَرُوا لَيُزْلِقُونَكَ بِأَبْصَارِهِمْ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya orang-orang yang kafir itu, hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkanmu dengan pandangan mereka (yang penuh dengan permusuhan dan kebencian).”

(Surah al-Qalam:51)

Ibn Abbas, Mujahid dan lain-lain berkata: (لَيُزْلِقُونَكَ) bermaksud mereka hendak menggelincirkan. (بِأَبْصَارِهِمْ) “Dengan mata mereka, maksudnya mereka dengki kepadamu kerana kebencian mereka terhadapmu. Seandainya bukan kerana perlindungan dan pemeliharaan Allah pada dirimu dari mereka (nescaya engkau tidak selamat)

Di dalam ayat ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa sasaran dan pengaruh “mata” benar-benar nyata adanya atas perintah Allah SWT. Sebagaimana disebutkan dalam beberapa hadith yang diriwayatkan dari pelbagai jalan yang banyak. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 8/260)

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

الْعَيْنُ حَقٌّ

Maksudnya: “Al-‘ain itu adalah haq (benar).”

 Riwayat al-Bukhari (5740) dan Muslim (2187)

Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

الْعَيْنُ حَقٌّ وَلَوْ كَانَ شَىْءٌ سَابَقَ الْقَدَرَ سَبَقَتْهُ الْعَيْنُ وَإِذَا اسْتُغْسِلْتُمْ فَاغْسِلُوا

Maksudnya: “Al-‘Ain itu haq (benar). Jika ada sesuatu yang menjangkaui qadar maka ‘ain lah (yang dapat menjaungkauinya). Jika diminta kepada kamu untuk mandi (untuk penyembuhan), maka mandilah.”

 Riwayat Muslim (5831)

Imam al-Nawawi berkata: “Pada hadith ini terdapat ithbat keimanan pada takdir Allah SWT dan benarnya perkara ‘ain (penyakit ‘ain) dan bahawa ia sangat berbahaya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/328 )

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani pula berkata: “Maknanya ialah orang yang ditimpa bahaya kerana sesuatu yang telah Allah SWT tetapkan ketika seseorang memandangnya, hakikatnya terjadi dengan takdir Allah SWT yang telah ditetapkan sebelumnya, bukan sesuatu yang baru sahaja diciptakan oleh orang yang memandang terhadap yang dipandang.”

Penyakit ‘ain ialah penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai sifat iri atau rasa takjub terhadap apa yang dipandang. Ianya boleh terjadi sama ada dari orang yang dengki atau orang yang dicintai, dari orang yang jahat atau orang yang soleh.

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata: “‘Ain adalah pandangan hasad daripada tabiat yang buruk yang boleh menyebabkan mudarat pada orang yang dipandangnya.”

Beliau turut berkata: “‘Ain boleh terjadi dengan rasa takjub walaupun tanpa ada sifat iri dan hasad, (boleh juga terjadi) walaupun daripada orang yang mencintai dan (walau) daripada seorang yang soleh (tanpa disengajakan).” (Lihat Fath al-Bari, 10/203-205)

Menurut Ibn al-Qayyim, ”Jiwa orang yang menjadi penyebab ‘ain boleh menimbulkan ‘ain, tanpa hanya dengan penglihatan. Bahkan kadangkala ada orang buta, kemudian diceritakan tentang sesuatu kepadanya lalu jiwanya boleh menimbulkan ‘ain walaupun dia tidak melihat sesuatu itu. Ada banyak penyebab ‘ain yang boleh menyebabkan terjadinya ‘ain, hanya dengan cerita tanpa melihat.” (Lihat Zad al-Ma’ad, 4/149)

Kebenaran Penyakit al-‘Ain

Kegilaan manusia hari ini terhadap media sosial seperti facebook, twittter, instagram, wechat dan bermacam lagi aplikasi sosial boleh mendatangkan sesuatu yang merbahaya pada diri sendiri, keluarga dan juga orang lain. Apa tidaknya, seluruh aktiviti dan gambar  persendirian yang dipaparkan untuk tontonan umum seluruh dunia mampu mengundang terkenanya penyakit al-‘Ain. Lebih-lebih lagi gambar yang cantik, yang menarik perhatian dan mengundang perasaan hasad dengki manusia atau pujian secara berlebihan tanpa disandarkan kepada Allah SWT. Banyak penyakit ganjil yang tidak diketahui puncanya berlaku kepada manusia hari ini disebabkan al-‘Ain.

Penyakit al-‘Ain ialah penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai sifat iri atau rasa takjub terhadap apa yang dipandang. Ia boleh terjadi sama ada daripada orang yang berasa dengki ataupun orang yang dicintai, daripada orang yang jahat atau juga daripada orang yang baik. Al-Hafiz Ibn Hajar berkata, “Al-‘Ain ialah pandangan hasad daripada tabiat yang buruk yang boleh menyebabkan mudarat pada orang yang dipandangnya.” Al-‘Ain juga boleh terjadi dengan rasa takjub walaupun tanpa ada sifat iri dan hasad, (boleh juga terjadi) walaupun daripada orang yang mencintai dan (walau) daripada seorang yang soleh (tanpa disengajakan).” Justeru, perbanyakkanlah amalan ayat pelindung diri daripada terkena penyakit al-‘Ain dan berwaspadalah dalam memaparkan kecantikan diri, kemewahan hidup dan kecerdikan anak-anak dalam media sosial kerana ia berkemungkinan boleh mengundang terkenanya penyakit al-‘Ain. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/562)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, berwaspadalah dalam memaparkan dan mempamerkan sesuatu perkara di media sosial kerana kita tidak mengetahui akan pandangan orang lain, dan berkemungkinan boleh juga menyebabkan kita terkena penyakit al-‘Ain.

Berlindung kepada Allah SWT merupakan pencegahan terbaik daripada terkena penyakit ‘ain malah daripada segala mara bahaya. Nabi SAW memperlindungkan al-Hasan dan al-Husin R.Anhuma sepertimana dalam hadith Ibn Abbas R.Anhuma, Baginda SAW bersabda:

أُعِيذُكُمَا بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ ، وَمِنْ شَرِّ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ

Maksudnya: “Aku memperlindungkan kamu berdua dengan kalimat-kalimat Allah yang maha sempurna daripada syaitan, binatang berbisa dan mata yang dengki.”

Riwayat al-Nasa’ie (7679), Abu Daud (4737), Ibn Majah (3525), dan al-Tirmizi (2060)

Bagi mereka yang mungkin boleh memberi penyakit ‘ain kepada orang lain, seeloknya mendoakan keberkatan (ucap Barakallahu fik atau tabarakallah) kepada seseorang yang dikaguminya apabila melihat. Ini adalah berdasarkan saranan Nabi SAW dalam hadith Abu Umamah yang diriwayatkan dalam Sunan Ibn Majah, (3509)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: “Kami berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *