#4630: Melakukan Persetubuhan Sebelum Membayar Kaffarah Zihar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah suami boleh melakukan persetubuhan dengan isterinya sebelum membayar kaffarah Zihar? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

الَّذِينَ يُظَاهِرُونَ مِنْكُمْ مِنْ نِسَائِهِمْ مَا هُنَّ أُمَّهَاتِهِمْ ۖ إِنْ أُمَّهَاتُهُمْ إِلَّا اللَّائِي وَلَدْنَهُمْ ۚ وَإِنَّهُمْ لَيَقُولُونَ مُنْكَرًا مِنَ الْقَوْلِ وَزُورًا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَعَفُوٌّ غَفُورٌ

Maksudnya: “Dan mereka yang menziharkan isteri-isteri mereka dari kalangan kamu bahawanya mereka itu (para isteri) diserupakan sebagai ibu-ibu mereka (dari sudut keharaman). Sesungguhnya ibu-ibu mereka itu tidaklah melainkan yang mengandungkan mereka. Sesungguhnya mereka mengatakan sesuatu yang mungkar dan juga dusta. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.”

 Surah al-Mujadilah (2)

Imam Ibn Kathir menyatakan dalam tafsirnya, asal zihar adalah dari kalimah al-zahr (bahagian belakang). Hal ini kerana, golongan jahiliyyah apabila mereka saling menziharkan isteri mereka, dia akan berkata kepada isterinya: ‘’Kamu ke atas diriku sama seperti bahagian belakang ibuku’’. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 8/42)

Zihar juga mengikut setiap mazhab didefinisikan sebagai:

Mazhab Hanafi: Seseorang Islam menyamakan isterinya sekalipun perempuan kitabiah, kecil, gila, atau menyamakannya apa yang diibaratkan daripada anggotanya atau menyamakan sesuatu yang terkenal padanya dengan perempuan yang diharamkan ke atasnya selama-lama. (Lihat al-Durr al-Mukhtar, 3/466).

Mazhab Maliki: Seseorang Islam menyamakan yang pada asalnya halal daripada isteri atau hamba perempuannya atau sejuzuk daripadanya dengan mahramnya. (Lihat al-Syarh al-Kabir li al-Dardir, 2/439).

Mazhab Syafi’i: Menyamakan isteri yang bukan Talaq Ba’in dengan perempuan yang tidak halal baginya berkahwin. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/352).

Mazhab Hanbali: Seseorang Islam menyamakan isterinya atau mana-mana anggota dengan belakang perempuan yang diharamkan ke atasnya berkahwin selama-lama atau dengan mana-mana anggotanya. (Lihat al-Muqni’, 23/228)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini seseorang yang telah menziharkan isterinya adalah wajib ke atasnya untuk membayar kaffarah zihar dan dia dilarang mendatangi isterinya sebelum membayar kaffarah tersebut. Hal ini merupakan perintah Allah SWT yang dapat dilihat melalui firman-Nya:

فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍۢ مِّن قَبْلِ أَن يَتَمَآسَّا ۚ ذَٰلِكُمْ تُوعَظُونَ بِهِۦ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌۭ ٣ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ مِن قَبْلِ أَن يَتَمَآسَّا ۖ فَمَن لَّمْ يَسْتَطِعْ فَإِطْعَامُ سِتِّينَ مِسْكِينًۭا ۚ ذَٰلِكَ لِتُؤْمِنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ۚ وَتِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ ۗ وَلِلْكَـٰفِرِينَ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan. (3) Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah ia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliyah). Dan itulah batas-batas hukum Allah; dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

(Surah al-Mujadalah: 3-4)

Syeikh al-Sa’di ketika menfsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa : Diawajibkan ke atas suami meninggalkan persetubuhan dengan  isterinya yang telah diziharkan sehinggalah dia memerdekakan seorang hamba (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.343)

Isu ini juga boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas bahawa beliau berkata:

أنَّ رجلًا ظاهرَ مِن امرأتِه، ثُمَّ وقعَ عليها فأتى النَّبيَّ ﷺ، فقالَ: إنِّي وقَعت عليها قبلَ أن أُكفِّرَ، قالَ: فلا تقرَبْها، حتّى تفعَلَ ما أمرَك اللَّهُ

Maksudnya: “Seorang lelaki yang telah menziharkan isterinya kemudian dia melakukan hubungan intim dengannya, lalu dia pergi kepada Nabi () dan berkata, ‘Saya telah melakukan hubungan intim dengannya sebelum membayat kaffarah lalu Baginda menjawab, ‘Jangan mendekatinya sehingga kamu melakukan apa yang Allah perintahkan kepada kamu.

Riwayat Abu Dawud(2223), Tirmizi(1199) dan Ibn Majah (2065)

Dapat difahami melalui hadith zihar adalah mengharamkan melakukan persetubuhan dengan isteri. Ia  dilakukan dengan menyamakan status isterinya dengan seseorang yang diharamkan baginya untuk melakukan hubungan persetubuhan, termasuklah lelaki dari golongan mahramnya dan golongan-golongan yang  lain. Sekiranya dia telah menziharkan isterinya, diharamkan baginya melakukan persetubuhan dengan isterinya sehinggalah dia membayar kaffarah. Yang demikian merupakan ijma’ para ulama. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/536)

Dalam isu ini al-Nawawi menyatakan: Diharamkan melakukan persetubuhan sekiranya diwajibkan ke atasnya kaffarah sehinggalah dia membayar kaffarah tersebut. Jika dia melakukan persetubuhan sebelum membayar kaffarah maka dia telah melakukan maksiat dan diharamkan ke atasnya melakukan persetubuhan untuk kali kedua. Yang demikian samada kaffarah itu memberikan makan atau lain-lain. (Lihat Raudah al-Talibin, 8/268-269)

Justeru kami tegaskan bahawa seseorang yang telah melakukan zihar terhadap isterinya tidak dibenarkan, bahkan diharamkan untuk melakukan persetubuhan dengan isterinya sebelum membayar kaffarah bagi perbuatan zihar yang dilakukannya. Hal ini adalah ketetapan dan hukuman syarak yang dikenakan atas perbuatan zihar yang telah dilakukan tersebut.

Hal ini dengan jelas menunjukkan sebagaimana yang dinaskan oleh Syarak:

فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍۢ مِّن قَبْلِ أَن يَتَمَآسَّا

Maksudnya: “Maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur atau bersetubuh.”

(Surah al-Mujadalah: 3-4)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahua’lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *