#4631: Bolehkah Memakai Wangian dan Berjima‘ bagi Mereka yang Ingin Melakukan Korban

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah turut dilarang untuk memakai wangian dan berjima‘ bagi mereka yang hendak melakukan korban apabila sudah masuk bulan Zulhijjah sebagaimana dilarang untuk memotong kuku dan bulu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, terlebih dahulu kita hendaklah mengetahui bahawa apabila sudah masuk bulan Zulhijjah — yakni bermulanya 1 Zulhijjah — maka disunatkan bagi orang yang ingin melakukan korban untuk tidak memotong, mencabut dan mencukur rambut atau bulu di kepala, wajah mahupun badannya. Begitu juga disunatkan untuk tidak memotong kukunya, sehingga dia selesai menyembelih haiwan korbannya. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada Ummu Salamah R.anha bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ

Maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai haiwan korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai melakukan korban.”

Riwayat Muslim (1977)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan, sebahagian ulama memahaminya sebagai haram untuk memotong rambut, mencabut bulu-bulu yang ada di badan serta memotong kuku sehinggalah dia selesai melakukan korban. Ini merupakan pendapat Sa‘id bin al-Musayyib, Rabi‘ah, Ahmad, Ishaq, Daud dan sebahagian ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Manakala Imam al-Syafi‘i dan ashabnya yang lain berpendapat bahawa larangan tersebut adalah makruh tanzih dan bukannya haram. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/138).

Selain itu, Imam al-Suyuti juga ada menyatakan, sesiapa yang ingin melakukan korban, maka dia tidak boleh memotong kukunya atau mencukur bulunya bermula dari awal bulan Zulhijjah sehinggalah sepuluh Zulhijjah. Larangan ini di sisi jumhur ulama adalah makruh tanzih. Hikmah di sebalik perkara itu adalah supaya semua anggota/bahagiannya kekal dan sempurna bagi memperoleh pembebasan dari api neraka. Namun, ada juga yang berpendapat, hal itu adalah kerana dia menyerupai orang yang berihram. (Lihat Syarh al-Suyuti li Sunan al-Nasa’i, 7/212).

Kesimpulannya

Kemudian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa orang yang ingin melakukan korban tidak diharamkan mahupun dihukumkan sebagai makruh daripada memakai wangi-wangian dan berjima‘ dengan pasangan masing-masing. Ini kerana kedua perkara itu tidak termasuk dalam perkara-perkara yang dilarang untuk dilakukan oleh orang yang ingin melakukan korban. Sebaliknya perkara yang dilarang adalah untuknya memotong kuku dan menggunting/menghilangkan bulu bermula dari awal Zulhijjah sehinggalah dia selesai melakukan korban.

Tambahan lagi, hal ini turut dikuatkan lagi dengan hadith daripada Aisyah R.Anha, katanya:

لَقَدْ كُنْتُ أَفْتِلُ قَلاَئِدَ هَدْيِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَيَبْعَثُ هَدْيَهُ إِلَى الكَعْبَةِ، فَمَا يَحْرُمُ عَلَيْهِ مِمَّا حَلَّ لِلرِّجَالِ مِنْ أَهْلِهِ، حَتَّى يَرْجِعَ النَّاسُ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah memintal (tali-tali untuk dijadikan) kalung-kalung bagi binatang korban Rasulullah SAW, lalu Baginda SAW telah mengirimkan binatang korbannya ke Kaabah dan tidaklah menjadi haram ke atas Baginda SAW sesuatupun daripada apa yang halal bagi orang lelaki daripada kaum keluarganya sehinggalah orang ramai kembali (daripada menunaikan haji).

Riwayat al-Bukhari (5566)

Ini juga adalah sebagaimana dinyatakan oleh Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah.[1]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

Nota kaki:

[1] Lihat https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=2857. Diakses pada 27 November 2023.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *