#4816: Punca Perceraian dengan Sebab Tiada Keseimbangan Kerjaya dan Keluarga

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah salah satu sebab yang menyumbang ke arah perceraian apabila pasangan terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga mengabaikan hak keluarga?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

(Surah al-Rum: 21)

Sayyid Qutb berkata: “Penjelasan al-Quran yang lemah lembut menggambarkan hubungan lelaki dan perempuan ini dengan gambaran yang amat menarik, seolah-olah gambaran ini diambil dari dalam lubuk hati dan perasaan: “Supaya kamu tenang tenteram bersamanya dan Dia jadikan di antara kamu rasa kemesraan dan kasih sayang.” (Lihat Fi Zilal al-Quran, 5/483)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan ya. Ini kerana sesetengah orang sangat rajin di tempat kerja, tetapi apabila di rumah, dia buat tidak kisah dengan hal ehwal rumahtangga.

Biasanya, perkara ini sering terjadi kepada pihak suami. Di tempat kerja, beliau dikenali sebagai pekerja cemerlang, tetapi apabila berada di rumah, semua urusan rumahtangga diserahkan bulat-bulat kepada isteri. Daripada urusan di dalam rumah, membeli barang-barang keperluan hinggalah urusan sekolah anak-anak, kesemuanya diuruskan oleh isteri.

Oleh itu, jika ia dibiarkan tanpa ada komunikasi untuk meluahkan rasa ketidakpuasan hati, maka akan berlaku-lah konflik di dalam rumahtangga. Apabila si isteri sudah tidak tahan dengan tingkah laku si suami serta bebanan tugas yang dipikul sekian lama, maka berlakulah konflik yang lebih parah. (Lihat Baiti Jannati: Rumahku Syurgaku, hlm. 103)

Marilah sama-sama kita menekuni sebuah hadith pesanan Rasulullah SAW: Diriwayatkan daripada  Abdullah Ibn Amru bahawa Nabi SAW telah bersabda:

إِنَّ لِرَبَّكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَإِنَّ لِبَدَنِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَإِنَّ لِأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَإِنَّ لِزَوْرِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقٌّ

Maksudnya: “Sesungguhnya untuk Tuhan kamu terdapatnya hak, dan untuk badan kamu terdapatnya hak, dan untuk keluarga kamu terdapatnya hak, dan untuk isteri kamu terdapatnya hak dan berikanlah setiap yang hak itu haknya.

 Riwayat al-Bukhari ( 6139)

Ibn Battal ketika mensyarahkan hadith ini beliau menyatakan bahawa: “Dalam bab ini disebutkan hak isteri terhadap suami. Seorang suami seharusnya  tidak menumpukan  dirinya dalam ibadah semata-mata hingga dia mengabaikan hak keluarganya dari memberikan  nafkah batin  dan nafkah-nafkah yang sepatutnya diberikan kepadanya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 7/320).

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *