#4865: Melebihkan Pemberian Kepada Anak Yang Miskin

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum seorang bapa melebihkan pemberian kepada anaknya dalam pemberian disebabkan kemiskinan? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas Bin Malik bahawa:

أنّ رجلًا كان جالسًا مع النبيِّ ﷺ فَجاء بُنَيٌّ لهُ فأخذَهُ فَقَبَّلهُ وأَجْلَسَهُ في حِجْرِهِ ثُمَّ جاءتْ بُنَيَّةٌ لَه فأخذَها وأَجْلَسَها إلى جَنبِهِ فقال النبِيُّ ﷺ فما عَدَلَتْ بينَهُما

Maksudnya: “Seorang lelaki sedang duduk Bersama Nabi SAW dan dia berkata: Lalu seorang anak lelakinya datang kepadanya lalu dia mengambilnya, menciumnya dan meletakkannya di pangkuan. Kemudian seorang anak perempuannya pula datang kepadanya lalu dia mengambilnya dan meletakkannya di atas pangkuan. Nabi SAW bersabda: Mengapa kamu tidak memperlakukan kedua-duanya secara adil?”.

(Riwayat al-Baihaqi dalam al-Syua’b,6/410)

Begitu juga boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada al-Nu’man Bin Basyir bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اتَّقُوا اللهَ، وَ اعْدِلُوا فِي أَوْلَادِكُمْ.

Maksudnya: Bertakwalah kalian kepada Allah dan berbuat adillah pada anak-anak kalian.

Riwayat Bukhari(2587) dan Muslim (1623)

Nas-nas hadith di atas menunjukkan pentingnya ibu bapa untuk berlaku adil terhadap anak-anak, sama ada dalam memberi perhatian atau memberikan sesuatu kepada mereka. Sekiranya tidak berlaku adil maka ia dihukumkan sebagai makruh disisi al-Syafie dan haram disisi Hanbali. (Lihat Taisir Jami’ al-Soghir,1/27)

Imam al-Nawawi juga menyatakan: Sewajarnya bagi bapa berlaku adil antara anak-anak dalam pemberian. Sekiranya dia tidak berlaku adil maka dia telah melakukan perkara yang makruh akan tetapi pemberian tersebut tetap sah.(Lihat Raudah al-Tolibin,hlm.378)

Dalam menjawab soalan di atas, kami ingin menegaskan bahawa prinsip asas dalam memberikan hibah dari seorang bapa kepada anak-anaknya semasa hayatnya adalah kesamarataan di antara mereka tanpa memihak kepada sesiapa pun kecuali atas sebab yang dibenarkan menurut undang-undang syarak. Prinsip ini penting untuk mengekalkan ikatan kasih sayang dan kekeluargaan yang rapat di antara anak-anak dan bapa, serta antara anak-anak sendiri. Ia juga berperanan dalam mencegah timbulnya perasaan kebencian dan perpecahan akibat perlakuan yang tidak adil.

Diriwayatkan daripada Nu’man Bin Basyir R.A menyatakan bahawa: Bapanya datang bersamanya menemui Rasulullah SAW lalu dia berkata: Aku hadiahkan anakku ini sebagai ghulam (pembantu) maka Rasulullah SAW bersabda:

كُلَّ ولَدِكَ نَحَلْتَ مِثْلَهُ، قالَ: لا، قالَ: فارْجِعْهُ.

Maksudnya: Apakah semua anakmu kamu hadiahkan seperti ini? Dia menjawab: Tidak maka Baginda bersabda: Kalau begitu lebih baik kamu bawa pulang kembali.

Riwayat Bukhari(2586)

Dapat difahami melalui hadith ini adalah adalah wajib berlaku adil antara anak-anak dan haram melebihkan dan mengkhususkan  sebahagian dari sebahagian yang lain. Yang demikian kerana tidak berlaku adil antara anak-anak merupakan kezaliman bahkan ulama mengatakan tidak boleh menjadikannya dia sebagai saksi. Oleh yang demikian, wajib ke atas kita mengingkari sesiapa yang tidak berlaku adil terhadap anak-anak dalam pemberian atau sebagainya kerana  ia dianggap  melakukan  kezaliman terhadap mereka.

Namun dalam situasi di mana anak itu susah dan miskin, maka tidak menjadi satu kesalahan sekiranya bapa melebihkan pemberian kepada anak tersebut sebagai bantuan bagi meringankan beban dan tanggungan anak itu sendiri.

Diriwayatkan dariapada ‘Aisyah R.A bahawa beliau berkata:

أن أَبا بَكرٍ الصِّدِّيقَ كانَ نَحَلَها جَادَّ عِشْرِينَ وَسْقًا مِن مَالِهِ بِالغَابَةِ

Maksudnya: Abu Bakar telah memberikannya dua puluh wasaq(enam puluh sha’) dari harta (kurma) miliknya di wilayah Ghabah. 

Riwayat Malik dalam al-Muwatta’(4/1089)

Abu Bakar mekhususkan pemberian tersebut kepada ‘Aisyah disebabkan hajat dan keperluannya disamping kelebihannya sebagai ummul mukminin atau dia ingin menghadiahkannya kepada orang lain akan tetapi kematian  yang menghalanginya sehingga dia memberikannya kepada ‘Aisyah  (Lihat Minhah al-’Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 7/32)

Ibn Hajar menyatakan bahawa: tidak dimakruhkan memberi keutamaan kepada seseorang, sebagaimana melebihkan pemberian kepada yang lebih memerlukan, atau kepada seseorang yang istimewa dengan kelebihannya, seperti yang dilakukan oleh As-Siddiq kepada Aisyah, R,Anhuma. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 6/308)

Dalam isu ini juga Dar al-Ifta al-Urduniyah juga ada menyatakan dalam fatwanya: Jika melebihkan pemberian itu atas sebab-sebab tertentu, seperti keistimewaan dalam kebaikan atau jika salah seorang anak itu  miskin, atau sakit, atau memerlukan wang untuk pendidikan, dan sebab-sebab yang seumpamanya, maka pada waktu itu melebihkan dalam pemberian  adalah dibenarkan dan tidak mengapa.[1]

Justeru tidak menjadi satu  kesalahan jika seorang bapa memberi lebih kepada anak yang miskin atau memerlukan bantuan, walaupun tidak menyamakan pemberian itu di antara anak-anak yang lain. Ini kerana Undang-undang syara’ telah membenarkan pemberian tersebut  bagi tujuan meringankan beban yang mereka hadapi.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam

 

Nota kaki:

[1] Lihat : https://aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=3740 Diakses pada pada 1 Disember 2023

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *