Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah berbekam mempunyai faedah dan Nabi SAW pernah berbekam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Berbekam ataupun dalam bahasa arabnya al-Hijamah (الْحِجَامَةُ) diambil daripada kata perbuatan Hajam (حَجَمَ) yang bermaksud bermaksud menyedut, dan bekam bermaksud menyedut darah dan mengeluarkannya daripada badan. (Lihat Lisan al-Arab, 3/67-68).

Berbekam  menurut fuqaha ialah  mengeluarkan darah  daripada bahagian tengkuk dengan  cara  hisap (menyedut) menggunakan alat bekam.  Sementara,  al-Zurqani menyatakan bahawa berbekam tidak khusus pada bahagian tengkuk bahkan seluruh badan (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 17/14).

Berbekam merupakan sebaik-baik perubatan. Daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW bersabda:

‏ إِنَّ أَفْضَلَ مَا تَدَاوَيْتُمْ بِهِ الْحِجَامَةُ‏ ‏.‏ أَوْ ‏:‏ إِنَّ مِنْ أَمْثَلِ دَوَائِكُمُ الْحِجَامَةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik perubatan yang kamu gunakan adalah berbekam” atau “Sebaik-baik ubat untuk kalian adalah berbekam.”

Riwayat al-Tirmizi (1199)

Rasulullah SAW pernah berbekam dan ia dilakukan oleh Abu Taibah. Kemudian Rasulullah SAW memberinya 2 gantang makanan. Adapun tempat berbekam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Malik bin Buhainah RA, bahawa Rasulullah SAW berbekam di kepalanya:

 أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم احْتَجَمَ بِلَحْىِ جَمَلٍ مِنْ طَرِيقِ مَكَّةَ، وَهْوَ مُحْرِمٌ، فِي وَسَطِ رَأْسِهِ‏.

Maksudnya:Sesungguhnya Rasulullah SAW berbekam di tengah kepalanya ketika berada di Lahyi Jamal semasa dalam perjalanan ke Makkah dan baginda berada di dalam keadaan ihram.”

Riwayat al-Bukhari (5698)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Berkenaan keutamaan bekam di kepala, disebutkan satu hadith lemah yang dinukilkan Ibn ‘Adi melalui Umar bin Rabah, daripada Abdullah bin Tawus, dari bapanya, dari Ibn ‘Abbas yang dinisbatkan kepada Nabi SAW: ‘ الْحِجَامَةُ فِي الرَّأْسِ تَنْفَعُ مِنْ سَبْعٍ: مِنَ الْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ وَالْبَرَصِ، وَالنُّعَاسِ وَالصُّدَاعِ، وَوَجَعِ الضِّرْسِ وَالْعَيْ’ (Bekam di kepala bermanfaat menyembuhkan tujuh penyakit: gila, kusta, sopak, mengantuk, sakit kepala, sakit gigi dan penyakit mata.”) Umar pada riwayat ini adalah seorang yang ditinggalkan riwayatnya, kerana dituduh oleh al-Fallas dan selainnya sebagai pendusta. Meskipun demikian, para pakar pengubatan mengakui bekam di kepala sangat bermanfaat. Telah diketahui bahawa Baginda SAW melakukannya seperti pada hadith pertama bab ini. Adapun hadith kedua, walaupun bersifat mutlak, tetapi dfahami dalam konteks hadith pertama. Disebutkan juga bahawa Baginda berbekam di pipi dan bahagian atas belakang. Demikian diriwayatkan al-Tirmizi dan dinyatakan hasan oleh Abu Daud dan Ibn Majah, dan dianggap sahih oleh al-Hakim.

Al-Hafiz Ibn Hajar turut menukilkan bahawa para ahli pengubatan berkata: Mengeluarkan darah melalui urat sekitar belakang bermanfaat menjaga suhu panas hati, limpa dan paru-paru. Juga bermanfaat mencegah mati mendadak dan semua penyakit kerana darah dari bahagian bawah lutut hingga pinggang. Mengeluarkan darah (fasd) melalui urat di sekitar bahu berfungsi menyembuhkan penyakit akibat lebihan zat beracun di seluruh badan. Kemudian mengalirkan darah melalui urat di leher bermanfaat bermanfaat menyembuhkan penyakit di kepala dan leher apabila darah berlebihan atau rosak. (Lihat Fath al-Bari, 28/152)

Terdapat banyak hadith yang menceritakan berkaitan berbekam, antaranya ialah:

  • Daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW bersabda:

حَجَمَ أَبُو طَيْبَةَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَأَمَرَ لَهُ بِصَاعٍ مِنْ تَمْرٍ، وَأَمَرَ أَهْلَهُ أَنْ يُخَفِّفُوا مِنْ خَرَاجِهِ‏.‏

Maksudnya: “Abu Thaibah membekam Rasulullah SAW lalu Baginda SAW membayarnya dengan satu sha’ kurma dan Baginda SAW mengarahkan keluarganya untuk meringankan pajaknya”.

Riwayat al-Bukhari (1960)

  • Daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma, katanya:

 حَجَمَ النَّبِيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ عَبْدٌ لِبَنِي بَيَاضَةَ فَأَعْطَاهُ النَّبِيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ أَجْرَهُ وَكَلَّمَ سَيِّدَهُ فَخَفَّفَ عَنْهُ مِنْ ضَرِيبَتِهِ وَلَوْ كَانَ سُحْتًا لَمْ يُعْطِهِ النَّبِيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ

Maksudnya:Nabi SAW pernah berbekam oleh seorang hamba kepunyaan Bani Bayadhah. Maka Nabi SAW memberinya upah dan Nabi SAW bercakap dengan tuannya agar meringankan tugasnya”. Jika berbekam ini adalah haram, tentu Nabi SAW tidak memberikannya upah.”

Riwayat Muslim (2955)

  • Daripada Abdullah bin Abbas, bahawa Nabi SAW bersabda:

احتجم النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ في الأخدعَيْنِ وبَينَ الكَتِفَيْنِ

Maksudnya: “Nabi SAW pernah berbekam di lehernya dan juga di antara dua bahunya.”

Riwayat Ahmad (1987)

  • Daripada Abdullah bin Abbas, Bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَنَّ النَّبِيَّ صلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم احْتَجَم وَهُوَ مُحرِمٌ، وَاحْتجَم وَهُوَ صَائِمٌ

Maksudnya: “ Nabi SAW berbekam dalam keadaan Baginda SAW berihram dan juga Baginda SAW berbekam ketika Baginda SAW berpuasa.”

Riwayat al-Bukhari (1802)

Hukum berbekam

Terdapat sebahagian para ulama’ mengatakan bahawa ia adalah sunnah secara mutlak. Iaitu sesiapa sahaja yang melakukan akan mendapat ganjaran sama ada ia berhajat padanya ataupun tidak. Namun begitu, berbekam adalah satu tuntutan terhadap sesiapa yang memerlukannya dan Nabi SAW juga telah mengatakan sedemikian. Jika orang yang sakit berbekam dengan pembekam yang berautoriti kerana beramal dengan apa yang dinasihatkan dan diajar oleh Nabi SAW maka perbuatan tersebut akan mendapat pahala daripada Allah SWT tanpa syak lagi. Manakala bagi sesiapa yang tidak memerlukannya maka tidak dikenakan apa-apa padanya. Wallahua`lam.

Faedah berbekam

Kami kemukakan di sini beberapa faedah berbekam[1], antaranya:

  • Membuang darah bertoksik yang ada di bawah permukaan kulit.
  • Melancarkan peredaran darah selain membuang angin dalam badan yang menimbulkan rasa tidak selesa.
  • Meringankan otot yang kejang.
  • Mengatasi ketegangan berpanjangan.
  • Membebaskan angin kotor dan toksik dalam badan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

 

Nota kaki:

[1] Pandangan ini sebagaimana dinyatakan oleh pengamal bekam, Zahrin Zulkifli dalam akhbar berita harian. Lihat: https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2016/06/163024/berbekam-buang-toksik-dalam-darah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *