Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah rawatan dengan selaran besi adalah salah satu daripada rawatan yang diizinkan dalam Islam? Dan ia menjadi penyembuh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Istilah kay (الكَيُّ) sepertimana dijelaskan dalam Lisan al-’Arab ialah: Al-Kayy merupakan perbuatan yang diketahui sebagai menempelkan (membakar) pada kulit (kawasan yang sakit atau terluka) dengan menggunakan besi panas atau sejenisnya. (Lihat Lisan al-’Arab, 15/235)

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, daripada Nabi SAW, Baginda SAW bersabda:

الشِّفَاءُ فِي ثَلاَثَةٍ: فِي شَرْطَةِ مِحْجَمٍ، أَوْ شَرْبَةِ عَسَلٍ، أَوْ كَيَّةٍ بِنَارٍ، وَأَنَا أَنْهَى أُمَّتِي عَنِ الكَيِّ

Maksudnya: “Kesembuhan ada pada tiga perkara: Berbekam, atau minum madu, atau selaran besi panas. Aku melarang (secara makruh; kurang afdhal jika terdapat hajat) umatku daripada selaran besi panas.”

Riwayat al-Bukhari (5681)

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa al-Khattabi berkata: “Secara garis umum, hadith ini mencakupi apa yang biasa digunakan untuk berubat oleh manusia, kerana bekam mengeluarkan darah yang merupakan zat berbahaya yang paling besar. Bekam akan sangat mujarab apabila dilakukan ketika darah bergejolak. Adapun madu dapat meneutralkan racun-racun tubuh (toksin). Ia masuk ke dalam ubat-ubatan untuk menjaga kekuatannya dan mengeluarkan racun-racun itu dari badan.

Manakala kayy (pengubatan dengan besi panas) digunakan untuk racun berbahaya yang tidak dapat dicegah kecuali dengan cara ini. Oleh kerana itu, Nabi SAW menyebut pengubatan ini, tetapi kemudian melarangnya. Baginda tidak menyukainya kerana menimbulkan rasa yang sangat sakit dan berisiko tinggi. Oleh kerana itu, orang-orang Arab mengatakan, “Ubat terakhir adalah kayy.” Namun, Nabi SAW pernah menggunakannya untuk mengubati Sa’ad dan selainnya. Begitu juga, sejumlah sahabat telah melakukannya.”

Aku (Ibn Hajar) katakan, Nabi SAW tidak bermaksud membataskan pengubatan pada tiga perkara ini, kerana kesembuhan boleh sahaja melalui selain ketiganya itu.

Berkenaan kayy, ia dilakukan sebagai alternatif terakhir untuk mengeluarkan zat-zat yang tidak lagi diperlukan oleh tubuh. Nabi SAW melarangnya, sedangkan Baginda menetapkan adanya kesembuhan padanya, mungkin kerana ia mengubati penyakit secara tabiatnya, maka tidak disukai kerana itu, buktinya mereka segera menggunakan cara pengubatan ini dengan anggapan dapat mengubati penyakit. Dengan demikian, orang yang berubat menggunakan kayy telah menanggung seksaan dengan api, kerana kesembuhan yang masih bersifat jangkaan. Sedangkan, mungkin sahaja penyakit itu tidak sesuai diubati menggunakan kayy.

Disimpulkan daripada menggabungkan sikap Nabi SAW yang tidak menyukai kayy dan perbuatan Baginda yang menggunakannya, bahawa kayy tidak ditinggalkan secara mutlak, dan tidak juga digunakan secara mutlak. Tetapi ia digunakan jika merupakan satu-satunya pilihan untuk penyembuhan atas izin Allah SWT. (Lihat Fath al-Bari, 28/112)

Ibn al-Qayyim berkata: “Hadith-hadith tentang ‘kay’ ada empat jenis.

  • Bahawa Rasulullah SAW melakukannya;
  • Bahawa Baginda tidak menyukainya;
  • Bahawa Baginda memuji orang yang meninggalkannya;
  • Bahawa Baginda melarang penggunaannya.

Dan Alhamdulillah tidak ada percanggahan di antara semua itu. Perbuatan Baginda menunjukkan kebolehan melakukannya. Ketidaksukaan Baginda tidak menunjukkan bahawa itu dilarang. Pujian Baginda terhadap orang yang meninggalkannya menunjukkan bahawa meninggalkannya lebih baik dan lebih utama. Adapun larangan Baginda mengandungi makna pilihan dan makruh, atau termasuk jenis yang tidak diperlukan, tetapi dilakukan kerana dikhuatiri timbul penyakit.”

Imam al-Nawawi menjelaskan pengubatan kayy adalah pilihan terakhir kerana menimbulkan rasa sakit yang sangat. Katanya: “Sabda Rasulullah SAW: ‘Aku tidak menyukai Kayy,’ adalah isyarat agar menjadikan pengubatan dengan Kayy adalah yang terakhir dan sekiranya terpaksa. Kerana menggunakan kayy akan menimbulkan rasa sakit yang sangat. Terkadang sakit (kerana penyakit) adalah lebih ringan daripada sakit yang disebabkan oleh Kayy. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/139)

Demikian juga pandangan ulama’ semasa, antaranya Syeikh Abd al-’Aziz bin Baz dan Fatwa al-Lajnah al-Da’imah. Katanya: “Ya, boleh berubat dengan kayy. Akan tetapi, jika ada keperluan untuk menggunakan kayy tidak mengapa. Sejumlah sahabat pernah melakukan kayy. Jika kayy diperlukan, maka tidak mengapa. Akan tetapi, meninggalkan kayy lebih baik jika ubat dan pengubatan lain lebih mudah. Kerana kayy menimbulkan sejenis penyeksaan (kerana panas), maka meninggalkannya lebih utama, kecuali ada keperluan dan hajat.[1]

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

 Nota kaki:

[1] http://www.binbaz.org.sa/mat/9464

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *